Isnin, 5 Ogos 2019


perpecahan akidah punca keruntuhan tamadun islam


Khairi Jalalluddin


Akidah merupakan hal yang berkaitan dengan ketuhanan dan menjadi asas utama kepada pembinaan dan kemajuan tamadun Islam (al-Faruqi,2015). Ini kerana ia merupakan ikatan kerohanian antara umat Islam yang melangkaui kepelbagaian kaum, bangsa, fahaman dan ideologi. Implikasi daripada ikatan dan kesatuan akidah ini, akhirnya umat Islam telah dihormati dan pengaruh Islam telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Ruaidi, Tajulazhar, Maimun Aqsha & Isa (2014) menyatakan penanaman konsep ketuhanan dalam diri seseorang dan masyarakat mampu melahirkan tamadun yang gemilang mencakupi pelbagai aspek kehidupan.

Malangnya pada masa kini, umat Islam di serata dunia telah berpecah-belah akibat daripada pelbagai fahaman dan aliran dalam Islam. Fahaman yang pelbagai ini telah lama menular ke negara kita akibat daripada pelbagai faktor, antara penyumbang utamanya ialah penyebaran pelbagai fahaman daripada pelajar Malaysia yang belajar di luar negara khususnya graduan dari Timur Tengah (Zakaria Stapa, 2018)

Selain itu, perbalahan antara tokoh agamawan di Malaysia berkaitan isu akidah seperti isu “Allah bertempat atau tidak” telah didebatkan secara terbuka, bahkan disebarkan melalui media sosial khususnya youtube (Rozaimi, 2017). Hal ini tidak membantu mempercepatkan proses pembinaan ketamadunan Islam, sebaliknya menjadikan isu akidah punca perbalahan serta menimbulkan kebencian dan kekeliruan antara umat Islam. Menurut Adam (2016) masyarakat Islam dilihat cuba memperbesarkan jurang perbezaan antara salafi dan khalafi dengan menonjolkan perbezaan metodologi mereka, yang hakikatnya kedua-dua aliran tersebut masih lagi dalam ruang lingkup Ahlus sunnah wal jamaᶜah.

PERpecahan fahaman AKidah Pada Masa dahulu
Terdapat dua faktor perpecahan akidah masa dahulu iaitu faktor dalaman dan luaran. Pertama: Faktor dalaman iaitu di ketika pemerintahan Khalifah Usman dan Khalifah Ali (20-40H/664-661M), telah berlaku perpecahan politik yang diakhiri dengan pembunuhan mereka berdua (Dusuki, 1980; Tamim, 2014; Kolej Dar al-Hikmah, 2015). Kewujudan dua golongan Syiah dan Khawarij hasil daripada perbalahan politik ini menghasilkan fahaman-fahaman lain seperti Jabariyah (Jahmiyah), Qadariyah dan Mᶜutazilah. Umat Islam di ketika ini berhadapan dengan takwilan al-Quran dan periwayatan hadis palsu yang digunakan untuk menyokong fahaman masing-masing. Di zaman Bani Umaiyah, persoalan dan perbahasan isu akidah semakin melebar akibat daripada beberapa faktor seperti kepelbagaian fahaman akidah, keluasan empayar dan unsur-unsur agama lama dalam diri penganut Islam yang baharu memeluk Islam, contoh perdebatan berkaitan akidah di ketika itu seperti isu qada’ dan qadar. Menurut Khairunnas & Wan Muhammad Fariq (2013), perbalahan yang berlaku dalam isu tersebut, telah membawa kepada perpecahan umat Islam rentetan daripada isu lain yang timbul daripadanya seperti isu kafir-mengkafir, sesat dan menyesatkan antara satu sama lain.

Kedua: Faktor luaran yang berlaku di zaman Bani Abbasiyah (120-350H/737-961M). Permasalahan akidah di ketika itu tercetus rentetan daripada proses permindahan ilmu dari luar Tanah Arab. Hal ini telah berlaku dengan begitu pantas akibat daripada terjemahan ilmu asing ke dalam bahasa Arab. Para penterjemah dari golongan Yahudi, Kristian dan Parsi menyebarkan fahaman mereka melalui falsafah yang akhirnya terdapat perbezaan fahaman dalam ilmu akidah dan lahirnya ilmu kalam (Kolej Dar al-Hikmah, 2015).

Selepas zaman Bani Abbasiyah, golongan Asyai’rah yang dipelopori oleh Abu Hasan al-Asy’ari telah berkembang pesat. Beliau yang membawa aliran Ahlus sunnah wal jamaᶜah telah menentang fahaman Muktazilah. Aliran ini disokong dengan perubahan metodologi oleh tokoh-tokoh ulama Asyai’rah seperti al-Baghdadi, al-Juwaini, Imam al-Ghazali dan Al-Razi, manakala dari kalangan ahli falsafah seperti Ibn Sina dan al-Farabi (Wan Zailan, 1994).

Pada awal abad ke-7/8H telah muncul seorang ulama yang kontrovesi bernama Ibnu Taimiyah (661-728H/1263-1328M).Beliau telah menentang ilmu kalam dan falsafah yang melampau dalam mempertahankan akidah Islam. Beliau juga menentang golongan Asyai’rah, golongan Sufiyah (Tarekat) dan mereka yang taklid buta. Setelah itu, muncul gerakan yang dinamakan sebagai Salafiyah-Wahabiyah yang dipelopori oleh Muhammad bin Abd Wahab (1115-1206H/1703-1791M) dalam kurun ke 11/12H yang menghidupkan semula fahaman Ibn Taimiyah. Beliau telah berusaha untuk memurnikan akidah dan menghapuskan amalan syirik dan bidᶜah di seluruh pelusuk semenanjung Tanah Arab (Muhammad Faisal, 2010).

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa punca perpecahan akidah pada masa dahulu ialah akibat daripada perebutan kuasa politik dan sikap ᶜassobiyyah terhadap kumpulan masing-masing. Selain itu, kemunculan golongan Asyai’rah, Salafiyah-Wahabiyah, Syiah, Sufi, Khawarij, Jahmiyah dan Qadariyah menyebabkan umat Islam bertelagah dalam hal berkaitan cabang atau furu’ akidah. Dari sudut lain, perpecahan juga berpunca daripada kemasukan falsafah asing akibat daripada terjemahan ilmu oleh penterjemah Yahudi, Kristian dan Parsi ke dalam bahasa Arab. Nor Asiah, Mohd Othman & Hafizah (2017) menukilkan bahawa Syed Muhammad Naquib al-Attas berpendapat ilmu itu tidak bebas nilai atau neutral, tetapi sarat dengan nilai. Ini bermakna unsur fahaman dan ideologi penterjemah itu turut mempengaruhi ilmu yang diterjemahkan.

PERpecahan fahaman AKidah Pada Masa Kini
Terdapat dua faktor perpecahan akidah masa kini iaitu faktor dalaman dan luaran.Pertama: Faktor dalaman bagi permasalahan akidah masa kini telah sedia wujud di peringkat antarabangsa iaitu pertentangan antara fahaman Syiah dan Sunni. Iran merupakan negara yang mempunyai peratusan tertinggi pengganut Syiah (89-94%), manakala Arab Saudi pula mempunyai peratusan tertinggi pengganut Sunni (85-90%). Negara-negara lain seperti Iraq, Azerbaijan, Kuwait, Lubnan, Yaman, Bahrain dan Pakistan mempunyai penganut Syiah dengan peratusan yang melebihi 20%, manakala di Syiria walaupun penganut Syiah hanya 13% berbanding Sunni 74% kebanyakan pemimpin negara tersebut mengganut fahaman Syiah. Oleh itu, tidak hairanlah pertelingkahan yang tidak berkesudahan masih berlaku di Syiria sehingga kini. Peta geopolitik di bawah ini menunjukkan peratusan penganut Syiah di rantau Timur Tengah.





Terdapat beberapa usaha untuk memurnikan hubungan antara Sunni dan Syiah di peringkat antarabangsa khususnya bagi mencari titik persamaan antara dua fahaman tersebut (Ali Muhtaram, 2015), namun fahaman ini di Malaysia telah difatwakan sesat termasuk ajaran Syiᶜah Zaidiyah dan Syiᶜah Jaᶜafariyah (JAKIM, 2015). Fahaman Syiah ditolak untuk diamalkan di Malaysia kerana ia boleh menggugat keharmonian dan keselamatan negara (A.Halim, Zarina, Nor Azizan, 2018). Walau bagaimanapun golongan Syiah mutakhir ini semakin berkembang dan bergerak ke hadapan dengan menubuhkan Majlis Syiah Malaysia. Mereka tanpa taqiyah dengan berani telah menghantar memorandum terbuka kepada DYMM Yang DiPertuan Agong untuk memohon supaya mengkaji semula warta pengharaman aliran tersebut di Malaysia (Zakaria Stapa, 2018).

Selain itu, terdapat perdebatan hebat berkaitan dengan fahaman al-Ahbash atau Pertubuhan Kebajikan Islam yang berpusat di Lubnan sekitar tahun 2008 di Malaysia (Sulaiman, 2008). Fatwa negeri Perlis (2016) telah memutuskan bahawa golongan al-Ahbash ini adalah sesat, namun tidak diwartakan. Menurut Badlihisham, Othman Talib dan Sulaiman (2013) gerakan al-Ahbash mungkin menimbulkan kekeliruan, kontroversi dan menimbulkan fitnah khususnya dalam isu takfir, walaupun dalam sudut yang lain dilihat sebagai mengukuhkan aliran Ahlus sunnah wal jamaᶜah.

Manakala, aliran Salafiyah-Wahabiyah di Malaysia tidak difatwakan sesat tetapi menurut Abdul Syukor (2015) fahaman ini tidak sesuai diamalkan di negara ini. Di Negeri Sembilan Majlis Fatwa telah mengharamkan penyebaran fahaman Wahabi di negeri tersebut (Mohd Yusof, 2015).

Di bawah ini adalah jadual berkaitan perbezaan dan persamaan antara golongan Salafiyah-Wahabiyah dengan al-Ahbash dalam isu “Allah wujud tidak bertempat” atau “Allah berada di atas ᶜarash dan langit” yang menjadi perdebatan sehingga masa kini.

Bil
Kumpulan
Metodologi
Salahfaham
Tujuan
1.       1.
Salafiyah-Wahabiyah
itsbat dengan tanzih.
Contoh
الله فوق العرش مع أنه ليس كمثله شيء
Allah di atas ᶜarash (dan dalam masa yang sama (Tidak ada sesuatu/makhluk yang menyerupainya.

Fahaman ini membawa kepada mujassimah


Mentanzihkan/
Mensucikan Allah daripada sifat kekurangan

(Al-Syura: 11; al-Nahl: 17 & 74; al-Ikhlas:4 & al-Sofat: 180)
2.       2.
al-Ahbash
ta’wil atau tafwid.
Contoh
استوى بمعنى استيلاء أو ردّه إلى الله
Istawa bermaksud penguasaan atau serahkan maknanya kepada Allah
Fahaman ini membawa kepada muatilah

(sumber: Abdullah,1997; Bahagian Kajian dan Penyelidikan Islam di Jami’yyah al-Masyari’ al-Khairiyyah al-Islamiyyah,2005; Saᶜad, 2010)
Berdasarkan jadual ini, sewajarnya setiap kumpulan berlapang dada dengan perbezaan metodologi atau wasilah. Ini kerana setiap kumpulan mempunyai hujah masing-masing dan perkara yang lebih penting ialah tujuan mempelajari ilmu akidah ialah untuk mentanzih atau menyucikan Allah swt daripada sifat kekurangan. Ia bukan bertujuan untuk mengkafir sesama Islam atau melabelkan pihak lawan dengan akidah Yahudiyah sebagaimana yang telah dilakukan oleh kumpulan al-Ahbash (Jamil Halim, 2016). Menurut Badlihisham et al. (2013) gerakan al-Ahbash bukan merupakan rujukan utama bagi majoriti umat Islam di Malaysia. Walau bagaimanapun, metodologi ta’wil dan tafwid telah digunapakai oleh golongan Asyairah yang merupakan aliran dalam mazhab Ahlus sunnah wal jamaᶜah di Malaysia, namun ia bukan bertujuan untuk mengkafirkan mereka yang berbeza pendekatan dalam permasalahan cabang akidah.

Kedua: Faktor luaran perpecahan akidah masa kini pula ialah berkaitan dengan kemasukan fahaman-fahaman Barat. Setelah keruntuhan Kerajaan Abbasiyah akibat serangan tentera Tatar dan kemudiannya Kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah di Turki di zaman Sultan Abdul Hamid. Penjajahan Barat terhadap negara umat Islam telah berlaku selepas Perang Dunia Pertama. Barat telah memperkenalkan fahaman baharu seperti liberalisme, evolusionisme, sosiolisme, pragmatisme, nasionalisme dan sebagainya (Mohd Kamil, 1996). Mohd Aizam (2012) pula mengatakan ideologi Barat masa kini seperti sekularisme, kapitalisme, humanisme, hedonisme yang boleh membawa kesan negatif kepada iman dan akidah umat Islam. Kesemua ideologi ini adalah masalah yang datang dari Barat akibat tindak balas kongkongan fahaman agama dan feudalisme pada abad ke 18 M (Mahamad Naser, 2012). Malangnya fahaman tersebut yang sepatutnya diselesaikan di Barat telah dibawa ke negara-negara Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung khususnya ke negara Malaysia.

Menurut W Mohd Azam (2018) umat Islam masa kini berhadapan dengan cabaran semasa daripada Barat dengan sebahagiannya pada asalnya pemikiran silam yang dijenamakan semula dalam bentuk baharu. Isu-isu dalam era moden dan pasca modenisme seperti seperti human rights, feminisme dan pluralisme agama yang mendakwa semua agama adalah benar merupakan cabaran besar terhadap akidah umat Islam.

Begitu juga cabaran Islam Liberal yang sedang melanda umat Islam di nusantara. W Ismail, Mohd Nasir, Ahmad Syukran & Mohd Ismail (2015) menyatakan walaupun Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah memutuskan faham ini menyeleweng pada tahun 2006, ia sebenarnya masih menjadi satu ancaman dan cabaran kepada umat Islam di Malaysia. Walau bagaimanapun satu kajian kes telah dilakukan di sebuah sekolah menengah kebangsaan mendapati pengaruh elemen Islam Liberal berada di tahap yang rendah. Sungguhpun pun begitu, dapatan jelas membuktikan kewujudan pengaruh fahaman ini di sekolah tersebut (Muhamad Faiz, Ab. Halim & Kamarul Azmi, 2012)

Di antara ciri-ciri Islam Liberal ialah hanya mementingkan amalan ritual tanpa menjadikan Islam sebagai agama dalam kehidupan seharian, kebebasan dalam mentafsirkan nas al-Quran tanpa merujuk kepada ahli tafsir terdahulu (W Ismail et. al., 2015). Menurut Mohd Aizam (2013) antara doktrin mereka ialah mendahulukan logik akal apabila terdapat pertentangan antara nas dengannya. Selain itu, kebebasan memberi pandangan tanpa ada autoriti dalam agama dan menganggap semua agama menuju kebenaran (pluralisme).
Kesimpulannya, punca perpecahan fahaman akidah masa kini yang meruntuhkan tamadun Islam adalah disebabkan percanggahan aliran pemikiran Sunni dan Syiah. Dalam masa yang sama perpecahan di kalangan golongan Sunni telah mewujudkan kumpulan Asyai’rah, al-Ahbash, Salafiyah-Wahabiyah dan sebagainya. Selain itu, perpecahan pemikiran Islam juga berpunca daripada pengaruh fahaman dan ideologi Barat seperti pluralisme agama, liberalisasi agama, feminisme, human rights dan seterusnya membawa kepada fahaman Islam liberal di kalangan umat Islam. Justeru, umat Islam masa kini menghadapi cabaran besar bagi membangunkan semula keunggulan tamadun Islam sekiranya perpecahan akidah ini tidak ditangani secara bijaksana dan berhemah.


Selasa, 16 Julai 2019




Konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin (RLA) sebagai Pemangkin Integrasi Nasional

Oleh: 
Khairi Jalalluddin



Pendahuluan
Sejak kebelakangan ini pelbagai istilah, konsep dan gagasan telah digunakan untuk dijadikan dasar sesebuah kerajaan, organisasi dan kumpulan tertentu. Kesemuanya adalah untuk mencapai tujuan tertentu yang pada asalnya adalah baik tetapi terkadang-kadang disalahertikan untuk tujuan lain. Di Malaysia, slogan seperti Islam Hadhari, Wasatiyah dan terkini Islam Rahmatan Lil ᶜAlamin telah dijadikan dasar untuk menterjemahkan Islam adalah sebagai agama yang boleh menyatu padukan masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Namun, persoalannya apakah konsep Islam seperti Rahmatan Lil ᶜAlamin berupaya mengintegrasikan pelbagai kaum di Malaysia. Jika benar, apakah pendekatan dan pengisian yang telah dan sedang dilakukan?. Justeru, artikel ini akan cuba membincangkan konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin dari perspektif Islam, seterusnya mengenalpasti permasalahan kaum dan bagaimanakah pendekatan yang digunakan untuk mengintegrasikan kaum di Malaysia.

Konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin (RLA)
Rahmatan Lil ᶜAlamin adalah gabungan dari tiga perkataan iaitu Rahmah, Lil dan ᶜAlamin. Pertama: Rahmah ialah al-Riqqatu wal al-Taᶜattufi iaitu sikap belas kasihan yang disertai dengan perasaan simpati. (Ibn Manzur,  1999 ). Manakala al-Asfahani (2009) berpendapat Rahmah ialah al-Ihsan al-Mujarrad duna al-Riqqat iaitu belas kasihan sahaja tanpa disertai perasaan simpati. Terdapat dua pembahagian, jika disandarkan kepada Allah swt ia bermaksud belas kasihan semata-mata dan jika disandarkan kepada manusia ia bermaksud simpati semata-mata (Muhmmad Makmun, 2016). Ibn Jawzi (1987) telah memberikan 16 tafsiran secara literal berkaitan pengertian Rahmah iaitu (1) Syurga, (2) Islam, (3) Iman, (4) Kenabian, (5) Al-Quran, (6) Hujan, (7) Rezeki, (8) Nikmat, (9) Kesihatan, (10) Pemberian, (11) Kehalusan, (12) Pengampunan, (13) Keluasan, (14) Kasih Sayang, (15) Pemeliharaan dan (16) Cahaya.
Al-ᶜAlamin pula bermaksud jamiᶜu al-kholaiq iaitu semua makhluk ciptaan Allah swt (al-Baaz, 2007). Shihab (2002) mengatakan bahawa al-ᶜAlamin ialah alam yang hidup seperti alam manusia, alam malaikat, alam tumbuhan dan alam binatang, tetapi tidak ada istilah alam batu. Namun, menurut H.Abuddin (2016), kesemua itu walaupun tidak bergerak hidup seperti alam batu tetapi ia makhluk ciptaan Allah swt. Amini (2019) mengatakan al-ᶜAlamin bermaksud keseluruhan alam, semua alam semesta dan semua makhluk di dunia ini.
            Justeru, Rahmatan Lil ᶜAlamin bermaksud kasih sayang dan belas kasihan Allah swt terhadap makhluk-Nya di dunia ini dengan mengutuskan Nabi Muhammad saw sebagai pembawa rahmat yang bersifat universal. Perutusan Nabi Muhammad ini berdasarkan dalil al-Quran dan Hadis sebagaimana yang berikut.

Dalil Al-Quran
Hujah dari ayat al-Quran yang paling dominan dalam kebanyakan kajian ialah ayat 107 dari surah al-ᶜAnbiya’ yang bermaksud: “Dan tiadalah kami mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi sekalian alam”.

            Pelbagai tafsiran berkaitan ayat tersebut dan telah diringkaskan oleh Amini (2019) sebagaimana jadual 1 yang berikut;
Bil
Tokoh Ulama
Kitab
Maksud Rahmatan Lil ᶜAlamin
1.        
Al-Qurtubi
Jami’ li Ahkam al-Quran
Bagi mereka yang beriman dengan perutusan Nabi Muhammad saw, mereka akan mendapat kebahagiaan. Bagi mereka yang kufur, mereka akan diselamatkan daripada bencana seperti umat terdahulu.
2.        
Ibn Kathir
Tafsir al-Quran al-ᶜAzim
Allah memberikan rahmat kepada semua manusia. Sesiapa yang menerima rahmat ini dan mensyukuri keberkatan ini, maka mereka akan berbahagia di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menolak dan mengingkari rahmat ini, maka sebaliknya.
3.        
Al-Tabari
Jami al-Bayan fi Ta’wil al-Quran
Allah swt mengutus Nabi Muhammad saw sebagai rahmat bagi sekalian manusia sama ada orang Islam atau orang bukan Islam. Rahmat bagi orang beriman bermaksud Allah swt memberikan hidayah dan petunjuk kepada mereka dengan sebab kerasulan Rasulullah saw.Rahmat bagi orang yang tidak beriman pula kerana tidak disegerakan bala Allah swt ke atas mereka seperti yang telah berlaku kepada umat-umat yang ingkar terdahulu.
4.        
Al-Sayuti
Al-Durar al-Mansur fi al-Tafsir al-Ma’sur
Beliau memetik hadith riwayat Ibn ᶜAbbas mengenai maksud ayat ini iaitu, sesiapa yang beriman dengan Nabi Muhammad saw, maka ia akan menerima rahmat yang penuh kesempurnaan di dunia dan akhirat. Manakala sesiapa yang tidak beriman, dihindarkan baginya azab dan bencana sepertimana yang diturunkan kepada umat terdahulu.
5.        
JAKIM (online)
         -
107. And We have not sent you forth (O Muhammad) but as a Mercy to all the worlds.
6.        
Muhammad Shakir
The Koran University of Michigan Digital Library Production Service
107. And We have not sent you but as a mercy to the worlds.
7.        
Mohammed Marmaduke Pickthall (1938)
The Meaning of The Glorious Quran
107. We sent thee not save as a mercy for the peoples.
8.        
Yusuf Ali
(Penterjemah)
The Holy al-Quran (1934)
107. We sent thee not, but as a Mercy for all creatures. (There is no question now of race or nation, of a “chosen people” or the “seed of Abraham”, or the “seed of David’ or of Hindu Arya-varta , of Jew or Gentile, Arab or ᶜAjam (Persian), Turk or Tajik, European or Asiatic, White or Coloured; Aryan, Semitic, Mongolian, or African, or American, Australian or Polynesian. To all men and creatures other than men who have any spiritual responsibility, the principles universally apply.)
9.        
Dr  Muhammad Taqiuddin al-Hilali dan Dr. Muhmmad Muhsin Khan
The Noble Quran
107. And We have sent you (O Muhmmad) not but as a mercy for the ᶜAlamin (mankind, jinns and all the exists)
10.     
Zafar Ishaq Ansari
Towards Understanding The Qur’an Abridged Version (Leicester: 2006)
We Have sent you forth as nothing but mercy to people of the whole world.
11.     
Wahiduddin Khan
The Quran A New Translation
We have sent you forth as a mercy to all mankind.
12.     
Dr Shabbir Ahmed
The Quran As It Explains Itself
And thus, (O Prophet) We have sent you not but as a Mercy for the Worlds. (Mankind will become one Community through the Book revealed to you)

            Menurut Amini ( 2019) , pendapat yang paling terbaik daripada tafsiran yang disenaraikan di atas ialah pendapat yang diutarakan oleh al-Tabari iaitu Rahmat bagi orang yang beriman bermaksud Allah swt memberikan hidayah dan petunjuk kepada mereka (orang beriman) dengan sebab kerasulan Rasulullah saw, manakala Rahmat bagi orang bukan Islam pula kerana mereka tidak disegerakan bala bencana daripada Allah swt seperti umat-umat terdahulu yang mengingkari para Rasul dan Nabi mereka. Ahmad Sanusi & Mohd Yusuf (2018), hakikatnya pandangan al-Tabari ini ialah pendapat Ibn Abbas yang dinukilkan dalam kitab beliau yang menyebut;

            عن ابن عباس رضي الله عنهما في قوله: ( وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين ) ، الأنبياء 107 ، قال: من آمن بالله واليوم الآخر كتب له الرحمة في الدنيا والآخرة ، ومن لم يؤمن بالله ورسوله عوفي مما أصاب الأمم من الخسف والقذف.
Bermaksud:  Daripada Ibn Abbas bahawa dia mengatakan sesuatu berkenaan ayat (dan tidak kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat buat sekalian alam),  (Ibn Abbas) berkata: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul, maka akan ditulis ke atasnya rahmah (dia akan mendapat rahmah), dan sekiranya dia tidak beriman, dia akan terselamat (ditangguhkan) dari apa yang telah ditimpa terhadap umat terdahulu daripada bencana”.

Dalil Hadis
Terdapat beberapa hadis yang berkaitan dengan konsep Rahmatan lil ᶜAlamin. Ia membawa maksud Rasulullah saw sendiri dengan erti kata tubuh badan dan kehidupan baginda adalah Rahmah. Antaranya;
1.      Sabda Nabi saw:
يا أيها الناس إنما أنا رحمة مهداة
Maksudnya: “ Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku adalah rahmat yang dihadiahkan oleh Allah”. (al-Darami, 2014)
2.      Sabda Nabi saw:
وإنما بعثني رحمة للعالمين
Maksudnya: “ Sesungguhnya aku diutuskan adalah rahmat buat sekalian alam” (Abu Daud, 2009)

3.      Sabda Nabi saw:
والذي نفسي بيده، لأقتلنهم، ولأصلبنهم، ولأهدينهم، وهم كارهون، إني رحمة ، بعثني الله عزوجل ، ولايتوفاني حتى يظهر الله دينه
Maksudnya: “Dan demi nyawaku yang berada di tanganNya, aku akan memerangi mereka, menyalib mereka, dan memberi hidayah kepada mereka sekalipun mereka dalam keadaan yang membenci. Sesungguhnya aku adalah rahmah yang diutuskan oleh Allah , dan Allah tidak akan mematikan aku sehinggalah Allah memenangkan agamaNya”.

Bersadarkan hadis-hadis di atas khususnya hadis yang ketiga, ketegasan itu juga adalah rahmah. Hal ini bagi melindungi aqidah, syariah dan syiar Islam daripada diganggu-gugat. Sebagai contohnya sewaktu pembukaan kota Mekah, Rasulullah saw telah menamakan beberapa orang bukan Islam yang sering menganggu dan menghina Allah dan Rasul secara zahir (al-Mubarakfuri, tp.th). Baginda mengarah supaya dibunuh sekalipun menyorok di sebalik kelambu Kaabah. Mereka yang dinamakan itu antaranya ialah Abdullah ibn Abi Sarh, Abdullah ibn Khatal, Miqyas ibn Sababah, Habbar ibn al-Aswad dan al-Harith ibn Talatil al-Khuza’i. Selain itu, Khairul Azhar (2016) menyatakan orang bukan Islam dilarang melakukan perkara yang boleh mengguris perasaan umat Islam seperti hasutan, provokasi keagamaan, pencabaran hak serta penzahiran syiar agama mereka dalam kalangan umat Islam.



Pandangan Ulama berkaitan konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin
Perbahasan berkaitan konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin tercetus apabila ia dijadikan sebagai dasar negara di atas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Mujahid, 2019). Di negara lain seperti Indonesia isu Rahmatan Lil ᶜAlamin telah dibincang para ulama sehinggakan dijadikan sandaran dalam berdakwah khususnya dalam menghadapi fahaman seperti Islam Liberal, Islam Progresif, Islam Nusantara dan sebagainya (Muhammad Makmum, 2016). Di negara Arab khususnya di Arab Saudi Perhimpunan Antarabangsa telah diadakan bagi membincangkan konsep Rahmah dalam Islam pada awal tahun 2016. Berikut adalah beberapa pandangan cendekiawan dan ulama Islam Malaysia masa kini berkaitan konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin.

1.      Siddiq Fadzil (2015), menyatakan konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin berdasarkan kepada al-Rahman, al-Rahim dan Rahmah bermaksud segala ajaran Islam adalah rahmat, belas kasihan bukan beban dan deraan. Dengan maksud lain Islam itu dilaksanakan mengikut kemampuan bukan paksaan.

2.      Mujahid (2019), menyatakan pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin berdasarkan al-Quran dan hadis Rasulullah saw. Konsep ini membawa mesej Nabi yang bersifat sejagat dan rahmat untuk seluruh alam. Ia juga membawa makna kasih sayang, perpaduan dan toleransi insani.

3.      Ismail Ibrahim (2019) menyatakan kata nama Rahmat mempunyai pertalian yang kuat dengan nama Allah yang bersifat al-Rahman dan al-Rahim dalam Basmalah dan ayat kedua dalam surah al-Fatihah iaitu Rabbul ‘Alamin.

4.      Abdul Ghani Samsudin ( 2018) berpendapat konsep Rahmah itu mengandungi 6 unsur asas iaitu agama Islam, nilai akhlak 70 atau 60 cabang dan contoh akhlak Rasulullah (solat 5 waktu), corak pembentukan Allah dan nilai takwa, persaudaraan Islam dan kembali menjadi ahli syurga.


Pendekatan NGO Islam berkaitan konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin
Konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin merupakan salah satu isu yang dibincangkan oleh beberapa NGO Islam di Malaysia khususnya antara Ikatan Muslim Malaysia atau ISMA dan Pertubuhan IKRAM Malaysia atau IKRAM (Muhammad Haikal & Muhammad Arif, 2018). Perbahasan konsep ini terjadi apabila kedua-dua NGO tersebut ingin mempraktikkannya dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin menurut ISMA
ISMA merupakan sebuah NGO yang berlabelkan Islam. Ia ditubuhkan pada tahun 1997 dengan menggunakan nama Ikatan Siswazah Muslim Malaysia. Pada tahun 2005 nama tersebut telah ditukarkan kepada Ikatan Muslimin Malaysia. Ini berikutan keahliannya tidak terbatas kepada kepada para siswazah sahaja, malah turut disertai oleh masyarakat umum ( Abdullah Zaik, 2017). Dua slogan yang terkenal yang digunapakai oleh ISMA ialah “Membina Umat Beragenda” dan “Melayu Sepakat Islam Berdaulat” (Muhammad Arif, 2015).
      ISMA bersetuju dengan konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin yang berasaskan al-Quran dalam ayat 107 surah al-ᶜAnbiya’. Namun penggunaan konsep tersebut dengan tafsiran yang dianggap longgar terutamanya apabila berdepan dengan pemikiran liberal tidak dipersetujui oleh ISMA. ISMA dilihat lebih berhati-hati dan tegas apabila melibatkan pendekatan yang digunakan terhadap bukan Islam (Muhammad Arif, 2015). Sebagai contohnya, tindakan ISMA apabila melancarkan kempen “Sejuta Ummah Tolak COMANGO” yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam pada tahun 2013 (Aminuddin, 2013).

Konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin menurut IKRAM
Pertubuhan IKRAM Malaysia merupakan gerakan dakwah yang sebelum ini dikenali dengan nama Jamaah Islam Malaysia atau JIM. Ia ditubuhkan pada tahun 1990 dan digantikan dengan nama IKRAM pada tahun 2009 (Norazlan, 2015). Pemikiran IKRAM dipengaruhi oleh gerakan Islam di luar negara seperti Ikhwanul Muslimin. Slogan IKRAM ialah “Memacu Perubahan Malaysia Rahmah Berasaskan Maqasid Syariah” (Mohd Parid, 2015)
      IKRAM berpendapat konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin atau ringkasnya Rahmah adalah untuk semua lapisan dan golongan masyarakat termasuk kepada bukan Islam. Ini berdasarkan kepada ayat 8 surah al-Mumtahanah yang bermaksud:
“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”.
      Pendekatan Rahmah yang digunapakai oleh IKRAM lebih kepada membuka ruang interaksi, dialog bersama bukan Islam dan golongan liberalisme. Pendekatan yang tidak berkonfrantasi ini dapat dilihat dalam isu COMANGO, IKRAM telah menjalinkan hubungan yang baik dengan kumpulan-kumpulan gabungan COMANGO ini. Hal ini berbeza dengan pendekatan ISMA yang dilihat tegas.
Persamaan dan perbezaan antara dua NGO Islam ini boleh diringkaskan sebagaimana jadual 2;
Bil
NGO
Persamaan
Perbezaan
1.        
ISMA

Bersetuju dengan bahawa konsep Rahmatal Lil ᶜAlamin adalah berdasarkan prinsip al-Quran ayat 107 surah al-ᶜAnbiya’
Bersifat berhati-hati dalam mendekati golongan bukan Islam dan golongan Liberalisme.
2.        
IKRAM
Bersifat mengambil peluang untuk mendekati golongan bukan Islam dan golongan Liberalisme.

Sumber: Muhammad Haikal & Muhammad Arif (2017)


Permasalahan Kaum di Malaysia
Isu perkauman di Malaysia wujud sejak zaman penjajahan lagi. Menurut Mohamed Ali & Mohammad Redzuan (2012) dan Mohamed Ali Hanifa, Ayu Nor Azilah & Mohan (2018), permasalahan kaum sehingga mencetus pergaduhan antara kaum Cina dan Melayu telah berlaku setelah Jepun berundur dari Tanah Melayu hingga berlakunya Darurat.
            Hubungan antara dua kaum ini amat buruk dan dipenuhi dengan syak wasangka yang menebal akibat daripada polisi dasar pecah perintah ( divide and rule ) penjajah British. Setelah pendudukan Jepun pada tahun 1941, dasar berbaik-baik penjajah Jepun dengan kaum Melayu menyebabkan berlaku ketegangan yang memuncak antara kaum Cina dan kaum Melayu (Ali Hanifa, Ayu Nor Azilah & Mohan (2018). Antara dasar berbaik-baik secara politik oleh Jepun kepada orang Melayu dengan memberi pekerjaan kepada penduduk kampung dalam sektor perlombongan dan perdagangan, mengiktiraf secara rasmi kuasa Sultan-Sultan dalam hal ehwal agama Islam, membentuk Majlis Agama Islam Malaya dan mempergunakan Masjid dan Surau untuk tujuan propaganda Jepun. (Ibrahim, 1981 & Kassim, 2002)
Manakala dasar permusuhan Jepun dengan kaum Cina di Tanah Melayu adalah kesan daripada peperangan Manchuria atau “Peristiwa Mukden” antara Empayar Jepun dengan Republik Cina pada tahun 1931. Mohamed Ali & Mohammad Redzuan (2012) menjelaskan bahawa Jepun telah bertindak membunuh 70,000 orang Cina di Singapura dengan melabelkan semua kaum Cina adalah komunis dan kaum Melayu telah dipaksa menjadi tali barut Jepun yang akhirnya telah disalah erti oleh kaum Cina.
Setelah pengunduran tentera Jepun dari Tanah Melayu pada tahun 1945, Komunis telah bertindak membalas dendam dengan melakukan kezaliman terhadap kaum Melayu. Mereka telah mengambil alih pemerintahan selama 14 hari sewaktu kekosongan kuasa. Antara kezaliman yang dilakukan ialah memaksa Penghulu dan Ketua Kampung menjadi Anti Japanese Union (AJU) dan mengarahkan mereka mengutip cukai daripada penduduk kampung, mengganggu urusan hal ehwal Islam dengan menyekat solat Terawih dan beribadat di Masjid (Hairi, 1973). 
Zulhilmi & Rohani (2003) menyatakan bahawa selepas kembalinya British ke Tanah Melayu, hubungan antara kaum disusahkan lagi dengan isu Malayan Union pada tahun 1946. Sungguhpun Malayan Union tidak dapat dilaksanakan, namun ia membuka jalan kepada orang bukan Melayu mendapat kerakyatan dengan mudah menerusi prinsip Jus Soli. Malayan Union akhirnya digantikan dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian pada 16 September 1963 telah terbentuknya Persekutuan Malaysia dengan penyertaan Sabah dan Sarawak.
Punca Permasalahan Kaum

1.      Pertama Faktor Ekonomi: Dasar pecah perintah British sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini telah menyebab ketidakseimbangan berlaku dalam masyarakat Malaysia dalam bidang ekonomi. Kaum Cina begitu terkehadapan dalam menguasai bidang ini kerana British telah melibatkan mereka di dalam sektor perlombongan, perniagaan dan perdagangan. Sementara kaum Melayu dikekalkan dalam sektor pertanian, perikanan dan sebagainya. Justeru, taraf hidup kaum Melayu dan lain-lain jauh tertinggal sehingga akhirnya mencetuskan pergaduhan kaum pada 13 Mei 1969, peristiwa di Kampung Rawa, Pulau Pinang pada 13 Mac 1998, peristiwa di Kampung Medan, Petaling Jaya, Selangor pada 4 Mac 2001 dan lain-lain. (Azlan & Mohamad Iszuan, 2017)

2.      Kedua Faktor Politik : Parti-Parti di Malaysia bersaskan perkauman sejak sebelum merdeka. Tunku Abdul Rahman telah mendapat tentangan pada awalnya kerana cuba menggabungkan parti-parti politik yang mewakili tiga kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India. Kritikan hebat telah diberikan oleh golongan elit dan pertengahan Melayu kerana dijangka akan mengancam masa depan politik kaum Melayu ( Siti Hajar, 2002). Kesannya semua parti akan memperjuangkan kaum masing-masing dan melihat kepentingan kaum mereka mestilah didahulukan daripada perpaduan dan pembelaan untuk semua bangsa.

3.      Ketiga Faktor Sosial: Faktor sosial boleh dibahagikan kepada tiga perkara iaitu pendidikan, budaya dan agama. Dari sudut sejarah pendidikan, Malaysia telah mewarisi sistem yang dibentuk oleh penjajah British yang melahirkan lima jenis aliran sekolah iaitu sekolah pondok dan madrasah, sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina, sekolah vernakular Tamil dan sekolah Inggeris. Pada masa kini setelah lebih 60 tahun merdeka, masyarakat berbilang kaum di Malaysia masih mempertahankan sistem pendidikan vernakular.
                Hal ini menyukarkan usaha untuk mengintegrasikan kaum di Malaysia kerana kanak-kanak dari pelbagai kaum tidak bersama kaum lain sewaktu mereka masih kecil. Menurut Mior Khairul (2011), tindakan mempertahankan sekolah vernakular dari kalangan kaum Cina dan India kerana ingin mempertahankan bahasa ibunda mereka serta menjamin hak-hak mereka.Oleh sebab itu, sehingga kini usaha untuk menyatukan sistem persekolahan di peringkat rendah dan memperkasakan Sekolah Kebangsaan menjadi buntu dan tiada jalan penyelesaian yang konkrit.
Dari sudut budaya, masyarakat di Malaysia masih mengekalkan budaya dan cara hidup masing-masing. Hal ini berbeza dengan rakyat Indonesia yang mempraktikkan asimilasi secara paksaan sehingga tradisi budaya pelbagai etnik hampir tiada. (Abd Aziz et al, 2017). Di  Malaysia kebudayaan semua kaum dijaga dan diraikan dalam pelbagai majlis yang menjadi kebangaan rakyat Malaysia.
Dari sudut agama, Islam adalah agama rasmi persekutuan sejak merdeka, namun agama lain boleh diamalkan, tetapi dilarang untuk disebarkan. Dasar Penjajah British dan Jepun yang tidak mencampuri urusan hal ehwal agama Islam, menjadikan negara Malaysia tiada banyak mengalami masalah di ketika itu, namun oleh kerana pendidikan berasingan sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, melahirkan bibit-bibit perpecahan atas faktor agama sebagai contohnya peristiwa perarakan kepala lembu dan khinzir, kes murtad seperti kes Lina Joy, isu kalimah Allah pada tahun 2013 – 2014, penghinaan merentasi agama dalam media sosial seperti isu Kelvin Yip, Kiki dan lain-lain.

4.      Keempat Faktor Akhbar & Media Sosial:
Sewaktu penjajahan dahulu, akhbar memainkan peranan penting dalam memberi maklumat kepada pelbagai kaum di Tanah Melayu. Terdapat akhbar yang bersifat perkauman yang menggangu usaha ke arah pengintegrasian kaum. Menurut Mohd Riduan (2015) kaum Cina mempunyai beberapa akhbar dalam bahasa Cina, orang India memilik akhbar dalam bahasa Tamil, orang Melayu juga memilik akhbar dalam bahasa Melayu dan terdapat akhbar dalam bahasa Inggeris di era penjajahan. Setiap akhbar mempunyai agenda, kiblat masing-masing dan bersifat perkauman. Hal ini tidak membantu proses pengintegrasian dan penyatuan kaum di Malaysia.
            Dalam abad ke-21, perkara ini bertambah kronik. Ini adalah kerana maklumat boleh didapati dengan mudah melalui internet atau media sosial seperti blog, whatsapp, facebook, twitter dan telegram. Terdapat isu sensetif yang boleh menjejaskan integrasi kaum akibat kenyataan provokasi beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebagai contoh isu Alvin Tan dan Vivian Lee yang didakwa dibawah Akta Hasutan kerana mempersendakan umat Islam dengan menyiarkan gambar makanan haram (sup tulang babi) Bak Kut Teh dengan kapsyen “Selamat Berbuka Puasa”. (Astroawani, 2015)

Model Ibn Khaldun dalam Mengatasi Permasalahan Kaum
Sebagaimana perbincangan lepas, Malaysia mempunyai sejarah yang menyebabkan kepelbagaian kaum wujud sehingga kini, begitu juga punca dan permasalahan yang telah berlaku menyebabkan pelbagai usaha dibuat untuk menjamin keadilan, kesaksamaaan, keharmonian dan ketenteraman masyarat. Walaupun terdapat bibit perpecahan dan “bom jangka” boleh menyebabkan perpecahan kaum, namun menurut Shamsul Amri (2008) masyarakat Malaysia boleh hidup dalam keadaan baik kerana dapat mengurus stable tension iaitu “ketegangan yang stabil” .
           Oleh kerana masing-masing kaum mempertahankan bahasa, budaya dan kepercayaan masing-masing, pendekatan yang digunakan ialah unity in diversity iaitu perpaduan dalam kemajmukan atau kepelbagaian. Inilah pendekatan Malaysia (Manhaj Malizi) yang membezakan negara ini dengan negara lain di rantau ini seperti Indonesia yang mengamalkan asimilasi yang cuba menghilangkan identiti kaum dan mewujudkan satu bangsa Indonesia (Abd Aziz, Farrah, Aimi & Nurliana, 2017)
           Terdapat berbagai pandangan dan model yang diketengahkan untuk mempraktikkan unity in diversity ini iaitu Model Ibn Khaldun sebagaimana dalam kajian Rosfazila (2016) yang telah menjelaskan lima ciri  dalam model tersebut iaitu ukhuwah, nubuwwah daawat al-haq, al-mulk, asabiyyah dan ma’unah. Kesemua ciri tersebut telah ditafsirkan dan diselaraskan dengan prinsip rukun negara Malaysia sebagaimana jadual 3.

Model Ibn Khaldun
Huraian Ringkas
Rukunegara
Ukhuwah
Persaudaraan dan saling hormat –menghormati antara kaum
Kesopanan dan kesusilaan
Nubuwwah daawat al-haq
Seruan kebenaran dengan menekankan kepada Rule of Law bagi menjamin keadilan dalam masyarakat.
Kedaulatan undang-undang
Al-mulk
Kekuasaan negara merujuk kepada prinsip Demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan
Keluhuran perlembagaan
Asabiyyah
Solidiriti kepada YDP Agong dan kerajaan sedia ada ( The government of the day)
Kesetiaan kepada Raja dan negara
Ma’unah
Eleman ketuhanan dan agama sebagai asas penyatuan masyarakat berbilang kaum
Kepercayaan kepada Tuhan
                                                        

Pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin dalam mengintegrasikan kaum
Islam agama yang rahmah kerana mempunyai prinsip-prinsipnya yang sesuai pada setiap masa dan tempat. Justeru, pelbagai pandangan untuk menterjemahkan Islam sebagai Rahmatan Lil ᶜAlamin khususnya bagi memelihara hubungan dan pengintegrasian pelbagai kaum di Malaysia.

1.         Kesejagatan (ᶜAlamiyyah-Universality)
Islam adalah agama yang sempurna (al-Maidah ayat 3), syumul (Saba’ ayat 28) dan lengkap (al-Nahl ayat 89). Dalam Islam terdapat perkara yang statik dan fleksibel, perkara yang diperincikan dan bersifat umum. Ole itu, Islam dilihat sebagai agama yang boleh diterima oleh umat manusia dari segi kesejagatannya. Ia bukan agama bersifat eksklusif untuk masyarakat di Timur Tengah, tetapi bersifat universal sehingga boleh diterima oleh pelbagai masyarakat di seluruh pelusuk dunia.

Kesejagatan dan Pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin                       
Kesejagatan atau universalnya Islam ini bersesuaian dengan pendekatan Rahmatan Lil Lil ᶜAlamin dari sudut nilai-nilai Islam yang bersifat sejagat. Di Malaysia penerapan nilai-nilai Islam telah dijadikan dasar negara pada tahun 1982 dan dilaksanakan dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini. Nilai-nilai murni tersebut amanah, tanggungjawab, ikhlas, dedikasi, sederhana, tekun, bersih, berdisiplin, bekerjasama, berbudi mulia dan bersyukur (Abdullah, 1998). Pada masa kini nilai-nilai Islam ini telah diteruskan dengan menjadikan Rahmatan Lil Lil ᶜAlamin sebagai dasar kerajaan baharu. Perkataan RAHMAT itu sendiri telah digambarkan oleh Mujahid (2019) sebagai R merujuk kepada Rahmah, A membawa maksud Aman, H memberi erti Harmoni, M melambangkan Mesra, A menterjemahkan Alami dan H memberi maksud Hormat. Jesteru, nilai-nilai Islam yang bersifat universal ini mampu mengintegrasikan kaum kerana tidak sedikit pun bertujuan menghapuskan budaya dan identiti masyarakat yang berbilang bangsa di Malaysia.


2.         Kepelbagaian (Tanawwᶜu-Variety)
             Islam mengiktiraf kepelbagaian yang ada dalam dunia ini. Ia adalah fitrah kejadian manusia.               Hal ini berdasarkan firman Allah swt dalam ayat 22 surah al-Rum yang bermaksud: “Dan                   yang memahami kepelbagaian kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan                        berbeza-beza bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-                  benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui”.

Kepelbagaian dan Pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin
Menurut Mujahid (2019) Islam adalah agama kebenaran, namun bukanlah sebagai satu lesen untuk menghina agama lain. Islam itu dilihat rahmah apabila meraikan kepelbagaian agama (pluraliti) yang ada khususnya di Malaysia. Ayat 99 & 100 dalam surah Yunus dan ayat 118 & 119 Surah Hud menjelaskan akan ada agama lain yang wujud selain Islam. Dalam hal ini, terdapat salah faham berkaitan dua istilah pluraliti dan pluralisme agama. Zulkifli al-Bakri (2019) menjelaskan bahawa pluralisme agama merujuk kepada fahaman untuk menyamakan semua agama dengan maksud kebenaran ada dalam semua agama dan syurga boleh boleh dicapai melalui mana-mana fahaman agama. Hal ini adalah tidak benar dan berbeza dalam konteks Rahmatan Lil ᶜAlamin yang mengiktiraf pluraliti (kepelbagaian atau kemajmukan) samada dari segi etnik, budaya dan agama.

3.         Toleransi (Tasamuh-Tolerant)
Islam adalah agama yang bertoleransi, bukan agama yang bersifat paksaan khususnya dalam memaksa manusia memeluk agama Islam (ayat 256 surah al-Baqarah). Al-Qaradhawi (2004) berhujah dengan ayat 79 surah al-Haj, ayat 99 surah Yunus dan ayat 8 surah al-Maidah yang menyatakan bahawa Allah swt dan Rasul saw menyeru berlaku adil kepada manusia, walaupun kaum itu dibenci, begitu juga penentuan manusia itu Islam atau tidak bukanlah ukuran di dunia tetapi di akhirat kelak. Umat Islam dikehendaki dan mempercayai bahawa perbezaan agama yang dianuti oleh manusia adalah kehendak Allah swt dan mempunyai hikmah di sebaliknya.

           Toleransi dan Pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin

           Zulkifli al-Bakri (2019) toleransi agama juga bukan membawa maksud pluralisme agama.                  Tanggapan bahawa toleransi agama itu adalah pluralisme agama adalah salah kerana Islam                  sejak dari dahulu lagi mementingkan toleransi dengan pelbagai agama, kaum dan budaya.                    Justeru. Semangat toleransi ini adalah penting untuk menjamin usaha mengintegrasikan kaum            ini tercapai. Namun, terdapat kajian sebelum ini yang mengatakan bahawa orang bukan Islam              di Malaysia rasa kurang berpuas hati dalam beberapa isu berkaitan agama seperti Islam agama            yang eksklusif, kebebasan beragama, pembinaan rumah ibadat, bidang kuasa mahkamah, isu                bahasa dan negara Islam ( Muhamad Faisal & Muhamad A’riff, 2019). Begitu juga kajian                      Roslizawati, Mashitah, Marina & Khatijah (2018) yang mendapati bahawa pemimpin Kristian            berpendapat istilah toleransi beragama di Malaysia sebagai negatif dan mendiskriminasikan                 bukan Islam. Terdapat juga kajian yang kontra dengan kajian di atas yang menyatakan tahap                toleransi agama berdasarkan pengalaman mereka adalah sederhana dan baik, kerap dilayan                  dengan baik walaupun berbeza agama dalam majlis-majlis tertentu (Khadijah, Khairul Anwar             &  Fazilah, 2017)

4.         Akhlak (Akhlaqiyyah-Ethic)
Islam agama yang mementingkan akhlak. Hal ini dapat dilihat kepada tujuan diutus Nabi Muhammad saw yang menyatakan bahawa perutusan baginda adalah untuk menyempurnakan akhlak. Isteri baginda Saidatina Aisyah pernah menggambarkan bahawa  akhlak nabi itu adalah al-Quran, yang bermaksud nilai-nilai tersebut terkandung dalam al-Quran dan diterjemahkan oleh Nabi dalam kehidupan harian.

Akhlak dan Pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin
Islam meletakkan akhlak yang terpuji di tempat yang tinggi, banyak perbahasan berkaitan akhlak dalam Islam khususnya dalam mendidik masyarakat, malangnya umat Islam hari ini khususnya di kalangan remaja terjebak dengan keruntuhan akhlak dan moral yang amat membimbangkan. Berdasarkan stastistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes jenayah yang melibatkan pesalah juvana meningkat 111 peratus (4,116 kes) dalam tempoh setahun iaitu pada tahun 2013 (7,816 kes) berbanding tahun 2012 (3,700 kes). Manakala, statistik bilangan pelajar di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney berjumlah 2,353 orang pelajar pada tahun 2016. Majoriti pesalah juvana berbangsa Melayu yang beragama Islam dengan kes jenayah berat seperti menagih dadah, merogol, meragut dan membunuh (Berita Harian, 2017). Oleh itu, apakah pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin dalam hal ini. Dan bagaimanakah untuk menjadikan umat Islam dihormati oleh bukan Islam di Malaysia?. Justeru, satu pendekatan berhikmah dengan menyantuni golongan ini hendaklah dilakukan oleh semua pihak, bukan menyisihkan golongan sebegini. Dalam isu LGBT yang melanda negara Malaysia (isu Nisha Ayub & Pang Khee Teik) satu tindakan untuk mendekati golongan ini telah dilakukan dengan memanggil, meminta penjelasan, berdialog dan menyatakan pendirian bahawa Kerajaan tidak menyokong dan membenarkan LGBT dipromosikan (Mujahid , 2019).

5.         Saling Berkenalan (Ta’aruf – To Know Each Other )
Islam menyeru supaya umat Islam mengenali pelbagai kaum berdasarkan ayat 13 surah al-Hujurat yang bermaksud “Wahai umat manusia!, Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Ini adalah juga untuk memastikan bahawa hubungan antara kaum dapat dijaga kerana pepatah Arab ada menyatakan manusia akan memusuhi apa yang mereka tidak tahu “ al-Insan Aduwu li ma juhila”.

Saling Berkenalan dan Pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin
Antara punca perpecahan kaum dalam sejarah Malaysia adalah kerana terdapat pengasingan pekerjaan dan tempat tinggal pelbagai kaum. Penjajah sengaja berbuat demikian (dasar pecah perintah) untuk memudahkan mereka mentadbir dan mengaut keutungan dari Tanah Melayu tanpa ada sebarang bantahan yang kuat dari penduduk setempat. Oleh hal yang demikian, pendekatan yang telah dilakukan dari masa ke semasa sejak dari kemerdekaan negara adalah dengan menyusun semua masyarakat yang berbilang kaum. Pelbagai dasar kerajaan telah diperkenalkan seperti DEB, DPN dan sebagainya. Namun, perkara yang menjadi isu ketika ini ialah bagaimana untuk mengenali antara satu sama lain jika pendidikan masyarakat diasingkan sejak kecil?.
Justeru, pendekatan secara bijaksana hendaklah dilakukan supaya keharmonian yang ada tidak diruntuhkan. Idea seperti Sekolah Wawasan perlu diperluas dan diperkasakan selain kurikulum pendidikan hendaklah menjurus kepada usaha memperkenal etnik, budaya dan agama yang pelbagai kepada pelajar sekolah kebangsaan. Tidak keterlaluan jika dicadangkan subjek Pendidikan Islam juga hendaklah dimasukkan asas-asas berkaitan tajuk menghormati agama lain dengan erti kata memperkenalkan asas-asas agama Kristian, Hindu, Budha dan sebagainya. Begitu juga cadangan supaya subjek Pendidikan Moral dimasukkan juga asas-asas agama Islam. Ini bagi mengelakkan kejutan budaya apabila mereka meningkat remaja.
Noor Aziera, Mohd Faizal, Rawi & Siti Nurul Izza (2017) mengatakan bahawa taᶜaruf merupakan perkara pertama dan asas dalam hubungan antara kaum, kerana ia menjadi titik tolak bagi satu kaum untuk memahami kaum yang lain. Begitu juga untuk mereka yang bukan Islam untuk mengenali Islam dan sebaliknya berdasarkan asas taᶜaruf ini.

6.      Saling Memahami ( Tafahhum-Understanding)
Saling memahami antara satu sama lain adalah rentetan daripada prinsip kenal mengenal Taᶜaruf sebelum ini. Islam menyeru umat Islam supaya menjauhi prasangka dalam menjalinkan hubungan sosial. Rasulullah saw telah memberi contoh yang terbaik bagaimana baginda melayan madᶜu atau orang yang hendak didakwahnya antaranya sikap terbuka baginda terhadap orang bukan Islam seperti memelihara nyawa mereka, berlaku baik dan menghormati mereka, menziarahi mereka, memberi dan menerima hadiah dan memanfaatkan kepakaran orang bukan Islam dalam urusan pekerjaan (Ahmad Sanusi & Mohd Yusof, 2018)

Saling Memahami dan Pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin
Prinsip Tafahhum ini amatlah penting bagi negara yang berbilang kaum, budaya dan agama seperti Malaysia. Ia bagi mengelakkan salah faham terhadap apa jua tindakan yang dilakukan khususnya yang melibat agama. Sebagai contohnya pendekatan mengadakan program kebajikan di rumah ibadat agama lain (dewan) sewajarnya dipandang positif oleh semua pihak. Mujahid (2019) mengatakan bahawa tidak salah bagi seorang pemimpin menganjurkan program kebajikan di rumah ibadat agama lain selagi kita menghormati agama mereka dan mereka turut hormat agama kita (Islam)”.

7.         Saling Bekerjasama (al-Ta’awun- Cooperataion)
Islam menggalakkan prinsip saling bekerjasama sebagaimana dalam ayat 2 surah al-Maidah yang menyatakan bekerjasamalah dalam perkara kebaikan dan ketakwaan dan jangan bekerjasama dalam perkara dosa dan permusuhan. Rashid Redha pernah menyatakan :
نتعاون فيما اتفقنا عليه ، ويعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه
Maksudnya: “Bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati dan bertolak ansur antara kita dengan sebahagian yang lain dalam perkara yang diperselisihkan”

Saling Bekerjasama dan Pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin
Konsep kerjasama ini boleh diperluaskan lagi kepada kerjasama dalam perkara sejagat yang melibatkan pelbagai kaum seperti menjaga keharmonian dan keamanan negara. Melihat kepada sejarah Malaysia kosep kerjasama ini telah dipraktikkan oleh pemimpin politik untuk mencapai kemerdekaan. Dasar perkongsian kuasa antara pelbagai kaum ini diteruskan dalam pemerintahan kerajaan baharu. Mahathir (2019) mengatakan pembangunan negara Malaysia berstatus negara maju 2025 memerlukan kerjasama antara kaum. Semangat perpaduan yang ditunjukkan sejak awal kemerdekaan turut membolehkan negara Malaysia mengharungi cabaran rusuhan antara kaum pada 13 Mei 1969. Beliau mengatakan bahawa cita-cita besar untuk menjadi negara maju 2025 agak terlewat dari sasaran wawasan 2020 sebelum ini akibat kekangan yang tidak dapat dielakkan.

                         
8.         Kemanusiaan (Insaniyyah – Humanity)
Sifat kemanusiaan telah termaktub dalam al-Quran ayat 70 surah al-Isra’ yang bermaksud “ Dan sesungguhnya kami telah muliakan anak-anak adam (manusia)”. Memuliakan di sini bererti menjaga hak-haknya tidak kira bangsa, agama, budaya dan sebagainya. Dalam satu peristiwa yang terkenal, Rasulullah saw pernah bangun dari tempat duduk terhadap jenazah orang Yahudi. Lalu sahabat bertanya, bukankah dia seorang Yahudi?. Rasulullah saw menjawab: Bukankah dia seorang manusia?. Hadis ini menjelaskan bahawa penghormatan hendaklah dilakukan kepada bukan Islam walaupun jenazah mereka, apatah lagi yang masih hidup sudah tentu dihormati hak-hak mereka.

Kemanusiaan dan Pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin
Pendekatan Rahmatan lil ᶜAlamin yang melangkaui fahaman agama hendaklah dilaksanakan dengan mengambil kira “manusia” itu perlu dilayan sebagai manusia dengan menjaga hak-haknya. Istilah dan label seperti kafir, kafir harbi dalam wacana Islam hendaklah diubah kepada yang lebih sesuai. Al-Qaradhawi (2014) mencadangkan wacana Islam masa kini di era globalisasi hendaklah diubah seperti perkataan “orang kafir” ditukarkan kepada “orang bukan Islam”, “ahli zimmah” di tukarkan kepada warganegara (muwatinun) . Begitu juga tidak melabelkan kafir harbi (kafir yang memerangi Islam) kepada orang bukan Islam di Malaysia yang tidak sefahaman dari sudut politik, sedangkan perlembagaan negara Malaysia menjamin warganegara bukan Islam (Mujahid,2018).

Kesimpulan
Konsep dan pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin bertepatan dengan al-Quran, Hadis serta   pandangan ulama besar kontemporari seperti Yusof al-Qaradhawi. Walaupun terdapat sedikit perbezaan antara NGO Islam seperti IKRAM dan ISMA, namun perbezaan hanya dari sudut pendekatan bukan matlamat. Perlaksanaan Islam Rahmatan Lil ᶜAlamin ini juga mengambil kira faktor sejarah, kesan penjajahan dan punca perpecahan kaum di Malaysia. Selain itu, konsep ini berupaya menangani isu kepelbagaian kaum jika dilaksanakan dalam bentuk dakwah yang telus, dan bukan atas pentas politik kepartian tertentu. Ia juga boleh dijadikan asas dan panduan dalam usaha mengintegrasikan pelbagai kaum di Malaysia.

Rujukan
Al-Qaradhawi.2004.Khitabuna al-Islamiy fi 'Asri al-Aulamah. Kaherah: Dar al-Syuruk
Abdullah Ab. Rahman. 1998. Pelaksanaan dasar Penerapan Nilai –Nilai Murni di Tiga Agensi Induk Jabatan Perdana Menteri. http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/9070/1/FPP_1998_74_A.pdf (25 Mei 2019)
Amini Amir Abdullah.2019.Konsep dan Gagasan Rahmatan Lil Alamin. Majalah Dakwah YADIM. 46: 30-35
Berita Harian.2017. Pembentukan Sahsiah Anak Tanggungjawab Ibu Bapa.
Hairi Abdullah.1973. Kebangkitan dan Gerakan Tentera Selendang Merah dalam Sejarah Daerah Muar dan Batu Pahat. http://journalarticle.ukm.my/533/1/1.pdf (31 Mei 2019)
Ismail Ibrahim.2019. Rahmatan Lil Alamin: Pelaksanaannya Dalam Masyarakat Majmuk. Majalah Dakwah YADIM. 46: 12-21
Ibrahim Mahmood.1981.Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Penebit Pustaka Antara.
Kassim Thukiman.2002.Malaysia, Perspektif, Sejarah dan Politik. Johor Bahru:Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Khadijah Muda, Khairul Anwar Mastor & Fazilah Idris. 2017. Pengalaman Toleransi Beragama Belia Pelbagai Etnik. International Journal of Islamic and Civilizational Studies. UMRAN. 1 (5): 100-107
Muhamad Faisal Ashaari & Mohamad A’riff Khushairi.2019. Isu-Isu Agama dalam Hubungan Kaum di Malaysia 1980-2005. International Journal of Civilization Studies and Human Sciences. 2 ( 1) : 87-98
Mujahid Yusof.2019. Gagasan Pentadbiran Islam di Era Malaysia Baharu. Teks Ucapan Sempena Perhimpunan Agensi-Agensi di Bawah YB Menteri di JPM bertempat di JAKIM pada 7 Januari 2019
Mujahid Yusof.2019. Hindar Islamfobia dengan Fahaman Agama Sempit. https://www.sinarharian.com.my/article/30984/BERITA/Nasional/Hindar-Islamofobia-dengan-fahaman-agama-sempit-kata-Mujahid. (1 Jun 2019)
Mujahid Yusof.2018. Larang Guna Istilah Kafir Harbi & Zimmi, Malaysia Bukan Negara Islam Sepenuhnya https://www.youtube.com/watch?v=F-Cc3iBscoI https://www.youtube.com/watch?v=F-Cc3iBscoI (1 Jun 2019)
Roslizawati Mohd Ramly, Mashitah Sulaiman, Marina Munira Ab. Mutalib dan Khatijah Othman.2018. Persepsi Pemimpin Agama Kristian Terhadap Konsep dan Amalan Toleransi Beragama di Malaysia. Journal of Islamic Sciences an Humanities. 16: 235-245
Siti Hajar Abu Bakar.2002. Pengantar Dasar Sosial Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya
           Shamsul Amri.2008. Malaysia in a State of Stable Tension.   
            https://www.thestar.com.my/news/nation/2008/05/22/malaysia-in-a-state-of-stable-tension-
            says-don/ (28 Mei 2019)
             Zulhilmi Padi & Rohani Ab. Ghani.2003. Kenegaraan Malaysia: Isu-Isu dalam Pembinaan                Negara. Kuantan: PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.
             Zulkifli Mohamad al-Bakri.2019. Pluraliti Agama Bukan Pluralisme Agama.  
             http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/tashih-al-mafahim/2999-tashih-al-mafahim-8-  
             pluraliti-agama-bukan-pluralisme-agama (30 Mei 2019)