Rabu, 30 November 2011

TEKS UCAPAN TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN, TIMBALAN PRESIDEN UMNO DI MAJLIS PERASMIAN SERENTAK PERSIDANGAN PERWAKILAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2011


TEKS UCAPAN TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN, TIMBALAN PRESIDEN UMNO DI MAJLIS PERASMIAN SERENTAK PERSIDANGAN PERWAKILAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2011

“MENUNJANGI SURVIVAL BANGSA: SUATU JIHAD”
Assalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri

Saudara-saudari sidang perwakilan dan pemerhati sekalian.

1. Marilah kita dahului dengan sembah tahmid ke hadrat Allah S.W.T. dan selawat serta salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W. Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita bersama-sama berhimpun pada malam yang bersejarah ini untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bagi tahun 2011.

2. Perhimpunan tiga sayap penting parti UMNO ini adalah kemuncak manifestasi suara akar umbi umat Melayu yang mahu melihat perjuangan bangsa diperkasa, kesucian agama dibela, kedaulatan pertiwi dipertahan dan keutuhan parti UMNO sebagai gerakan pembela umat Melayu yang tiada galang-ganti ini diperkukuh dan diperteguhkan. Inilah perhimpunan terbesar umat Melayu yang mengangkat suara keramat rakyat dari segenap ceruk desa dan kota, dari segenap lapisan warga, untuk dijadikan suluhan, panduan dan sempadan dalam melayari bahtera di samudera perjuangan meninggikan agama, memartabatkan bangsa, mendaulatkan nusa dan menobatkan siasah parti UMNO yang tercinta.

Kesatuan kita ini ibarat kata pepatah Melayu:

Bulat Air kerana Pembetung
Bulat Manusia kerana Muafakat
Kata seia kata sepakat
Setuju sependirian setuju sependapat
Kata dibulati kata bertepati
Janji termeteri, kejayaan dinikmati


3. Maka dalam semangat Maal Hijrah, marilah kita perkukuhkan kesatuan hati sesama kita, marilah kita semarakkan muafakat yang membawa berkat, supaya terpancar darinya sinar azimat yang menyuluh lorong-lorong perjuangan kita. Demikianlah ajaran junjungan besar kita Rasulullah S.A.W yang membentuk kesatuan Ansar dan Muhajirin, yang mendamaikan permusuhan ‘Auz dan Khazraj.

4. Sesungguhnya, harapan umat Melayu terhadap UMNO tinggi menggunung. Sebagai parti yang tertubuh atas semangat kental perjuangan, UMNO memikul amanah besar untuk terus membela kesucian agama, menjulang maruah bangsa dan mempertahankan kedaulatan negara. Di atas jemala UMNO, terhimpun sejuta harapan dan cita-cita umat Melayu yang mahu melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang bermaruah, bermartabat dan merdeka jiwanya.

Kuasa Politik Melayu Goyah, Fitnah Terhadap UMNO

Saudara dan Saudari Sekalian,

5. Langit tidak selalunya cerah, laut tidak selalunya tenang. Tsunami politik yang melanda ketika Pilihan Raya Umum 2008 dilihat oleh banyak pihak sebagai titik mula perubahan landskap politik yang ketara di negara kita. Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen. Kedudukan UMNO dan parti-parti komponen BN tidak sekuat dulu. Kuasa politik Melayu semakin goyah.

6. Tidak semena-mena timbul persepsi bahawa UMNO tidak lagi mampu untuk membela nasib orang Melayu. Malah, pelbagai tuduhan liar dilempar kepada UMNO. Ada yang kata UMNO tidak berbuat apa-apa untuk orang Melayu selama 54 tahun memerintah; UMNO parti rasis; UMNO pemuflis negara; UMNO anti-demokrasi; malah ada yang mengatakan UMNO adalah ibu segala kejahatan. Na’uzubillahi min zalik.

7. Segala fitnah terhadap UMNO ini ibarat api yang memamah setiap helaian jasa dan bakti UMNO. Malah, dalam zaman fitnah yang menggila ini, pemimpin nombor satu kita tidak terkecuali daripada menerima percikan api fitnah. Hinggakan keheningan mengerjakan ibadah haji pun diganggu oleh kilang-kilang fitnah yang bekerja lebih masa. Kepada YAB Presiden, usah resah, usah gelisah, usah gundah, usah gulana. Teruskan perjuangan. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, ke lautan sama direnangi. La takhaf wa la tahzan innallaha ma’ana.

8. Sesungguhnya, percikan api fitnah mereka menyambar dan merebak ke segenap sudut kehidupan, menyemarak sentimen kebencian. Matlamat penyebar fitnah jahat ini amat jelas - hilangkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin utama UMNO dan meruntuhkan harapan orang Melayu terhadap parti keramat ini. Tujuan mereka tidak lain hanya mahu merampas kuasa politik.

Tembelang Pembangkang

9. Pada masa yang sama, parti-parti pembangkang mengambil kesempatan atas hakisan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 2008 untuk menunjukkan tembelang mereka yang sebenar. Parti DAP tanpa segan silu membuat kenyataan demi kenyataan menghina Islam dan orang Melayu. Daripada soal kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, segala-galanya cuba dipertikai dan dirobek satu demi satu oleh parti DAP.

10. Kemenangan DAP di Pulau Pinang dan kejayaannya mendominasi kerajaan pembangkang di Selangor, dan sebelum itu di Perak, seolah-olah memberikan lesen paling besar kepada parti paling rasis ini untuk menyerlahkan sikap cauvinis melampau. Mereka langsung tidak menghormati institusi Raja-raja Melayu, menghina pegawai-pegawai kerajaan yang majoritinya berbangsa Melayu, mencerca pasukan keselamatan dengan penghinaan yang keterlaluan, mempertikai institusi penguatkuasaan, menjatuhkan wibawa institusi kehakiman dan memperkuda sekalangan orang Melayu dengan tujuan mendapatkan kuasa bagi diri mereka sendiri.

11. Tembelang DAP untuk menubuhkan sebuah negara republik dengan mengetepikan nilai, sejarah dan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berpaksikan kedaulatan Raja-raja Melayu dan Islam sebagai Agama Persekutuan semakin jelas kelihatan. Masakan tidak, mereka berani mencadangkan supaya jawatan Perdana Menteri dipilih secara langsung dalam pilihan raya tanpa perlu dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong. Apa maknanya ini? Maknanya, sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembangaan yang kita amalkan selama ini sudah tidak sesuai lagi dengan tembolok mereka untuk melahap kuasa.

12. Ketika umat Islam bangkit bersatu mempertahankan akidah umat daripada diruntuhkan oleh kumpulan yang berniat jahat, DAP dan konco-konconya, bertubi-tubi mempersenda umat Islam. Semakin nyaring suara umat Islam membela kesucian agama, semakin ghairah mereka menjalankan dakyah jahat ke atas umat Islam atas nama kebebasan beragama. Agenda mereka yang sebenar ialah ingin melihat perpecahan di kalangan umat Islam dan melaga-lagakan umat Islam dengan bukan Islam.

13. Parti DAP ini tidak pernah melihat apa-apa kebaikan yang ada pada orang Melayu dan Islam. Bagi DAP, walaupun ia mendakwa ia parti demokratik pelbagai kaum, ironinya dari dulu hingga sekarang DAP hanya dipimpin oleh kelompok tertentu daripada satu kaum saja. Atau lebih tepat lagi, dari keluarga tertentu dalam kelompok tertentu dari kaum tertentu saja. Namun kita yakin dan percaya DAP tidak mewakili keseluruhan suara kaum itu.

14. Hari ini kita dengar DAP sedang giat memancing orang Melayu untuk menyertai parti itu. Mereka ditawarkan jawatan dalam parti dan dijanjikan menjadi calon dalam pilihan raya. Jika menang, mereka berpeluang dilantik sebagai ahli Exco atau Menteri Besar di negeri-negeri tertentu. Ganjarannya tampak sungguh lumayan.

15. Namun, orang Melayu mesti berwaspada. Jangan sampai terpedaya dengan muslihat jahat DAP. Tujuan sebenar parti paling rasis ini bukanlah untuk memberi kuasa kepada orang Melayu, jauh sekali menyerahkan kepimpinan parti itu kepada orang Melayu. DAP hanya mahukan si Melayu yang malang ini menjadi kuda tunggangan yang kerjanya sekadar menjaga kepentingan cauvinis DAP. Orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP adalah pengkhianat bangsa. Janganlah jadi pembelot seperti Si Kitol. Janganlah jadi seperti tikus membaiki labu. Janganlah jadi seperti Pak Kaduk, menang sorak, kampung tergadai. Janganlah sudah terhantuk, baru terngadah. Jangan sampai nasi menjadi bubur. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya. DAP sudah pasti bukanlah parti untuk orang Melayu dan Bumiputera.

16. Begitulah juga dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). PKR ini ketandusan agenda untuk orang Melayu dan Islam. PKR sebuah parti ultraliberal yang tiada asas moral dalam perjuangannya. Jika tidak, masakan orang yang sedang dibelenggu krisis kredibiliti yang serius terus diangkat memimpin parti itu secara tidak demokratik. Mana mungkin kedudukan agama, bangsa dan negara boleh dijaga oleh PKR jika yang diangkat menjadi pemimpin pun bergelumang dengan masalah kredibiliti.

17. Ringkasnya, PKR sebuah parti yang amat tenat. Hampir kesemua pengasas parti ini telah meninggalkan parti dan menyokong UMNO. Sudahlah tiada matlamat perjuangan yang jelas, retak dalam parti itu juga sedang menunggu belah. Masing-masing sedang menilik nasib Ketua Umum mereka. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Yang mahu terus timbul, mereka menggunakan pelbagai cara untuk menyucikan Ketua Umum mereka. Yang petah berceramah menggunakan pentas Islam untuk menjaja pelbagai konsep fikah – daripada fiqh maqasid kepada qazaf – semata-mata untuk membela Ketua Umum mereka. Bagi yang berfikiran ultraliberal, mereka mengambil kesempatan atas kemelut moral yang berlaku untuk mewajarkan pelbagai amalan yang bertentangan dengan budaya masyarakat Timur atas nama kebebasan. Mutakhir ini, pemikiran pluralisme agama yang amat mengelirukan umat Islam juga cuba dimurnikan oleh golongan ini semata-mata untuk mewajarkan pemikiran Ketua Umum mereka yang semakin bercelaru.

18. Walaupun satu pihak dalam PKR menggunakan hujah agama manakala satu pihak lagi menggunakan hujah ultraliberal melampau, matlamat mereka cuma satu, iaitu mempertahankan Ketua Umum mereka. Dari satu segi, PKR dulu, kini dan selamanya tidak pernah berganjak daripada tujuan penubuhannya, iaitu mempertahankan seorang individu. Untuk itu syabas kita ucapkan kepada PKR, walaupun sebenarnya:

Hisap rokok dalam kelambu,
Terbit asap menjadi abu
PKR umpama golok kayu
Tetak tak lut gadai pun tak laku.


19. Lain pula halnya dengan PAS. Suatu ketika dulu, PAS begitu komited dengan agenda mendirikan negara Islam. Bagi mereka, Islam adalah ghayah atau matlamat dan PAS adalah wasilah atau alat untuk mencapai matlamat. Mereka begitu komited sehinggakan sanggup menuduh sesiapa saja yang tidak menyokong perjuangan parti itu sebagai kafir. Malah, UMNO dikatakan parti taghut kerana tidak menyokong agenda negara Islam acuan PAS. Akibatnya, umat Islam berpecah dan berbalah sesama sendiri lantaran fatwa songsang PAS.

Saudara dan Saudari Sekalian,

20. Mutakhir ini, tak semena-mena PAS sudah tidak lagi memperkatakan tentang matlamat menubuhkan negara Islam. Tatkala sekali-sekala terpacul perkataan negara Islam dari mulut pemimpin PAS, berpakat-pakat pemimpin PKR dan DAP mengecam PAS. Bagi mereka, negara Islam bukanlah matlamat pakatan politik yang mereka bentuk.

21. Anehnya, PAS tidak pula mengatakan PKR dan DAP sebagai parti taghut. Jauh panggang dari api, PAS sebaliknya mengangkat kedua-dua parti itu sebagai rakan sekongkol dan sekedudukan mereka. Negara Islam sudah tidak ada lagi dalam kamus politik PAS. Ternyata, tsunami politik yang melanda dalam pilihan raya umum lalu telah menghanyutkan istilah negara Islam dari kamus politik PAS. Bagi PAS, dalam menghadapi landskap politik baharu ini, sokongan DAP dan PKR lebih penting berbanding mempertahankan prinsip perjuangannya sendiri.

22. Nampaknya, apa yang berlaku hari ini bukan PAS Ganti UMNO seperti yang dicanang oleh mereka. PAS takkan boleh menggantikan UMNO kerana UMNO tiada galang-ganti. Yang sebenarnya berlaku ialah DAP Ganti PAS. DAP bercakap mengenai Islam, PAS mengiyakan saja. Pemimpin DAP menyebut dua tiga patah ayat al-Qur’an walaupun salah, PAS mempertahankan. Pemimpin DAP menggelar dirinya Khalifah Umar Abdul Aziz, PAS memberi pengiktirafan. Pemimpin DAP berceramah, penyokong PAS bertakbir. Tetapi apabila PAS menyebut tentang Negara Islam, pemimpin DAP lah yang pertama sekali mengecam PAS. Dan apabila dikecam, PAS diam seribu bahasa. Apa maknanya ini? Maknanya, DAP lah yang memberi definisi kepada Islam yang dianuti oleh PAS. DAPlah yang menjadi penentu arah aliran Islam yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang. Bukankah ini maknanya DAP menggantikan PAS?

23. Untuk menutup kegagalan mereka mempertahankan kesucian Islam, PAS mengemukakan agenda Negara Berkebajikan. Kini, mereka mengatakan konsep Negara Islam tidak disebut dalam al-Quran, yang ada hanyalah Negara Berkebajikan. Malang bagi PAS kerana setelah puluhan tahun memperjuangkan negara Islam, tetapi akhirnya mengatakan konsep negara Islam tiada dalam al-Quran. Maknanya, selama ini PAS membohongi umat Islam dengan perjuangan palsu

24. Walau apapun, kita hendak bertanya kepada PAS. Negara Berkebajikan bagaimana yang mereka ingin wujudkan? Yang kita tahu, bekalan air bersih pun tidak mampu mereka sediakan kepada rakyat Kelantan. Bukankah air adalah keperluan rakyat paling asas yang mesti dipenuhi oleh mana-mana kerajaan. Justeru, kita nak katakan kepada PAS, kalau bekalan air bersih pun tak dapat disediakan, janganlah simpan angan-angan hendak wujudkan Negara Berkebajikan. Selesaikan dulu masalah air di Kelantan, kemudian barulah bercakap soal Negara Berkebajikan.

25. Sebenarnya PAS bukanlah beriya-iya benar hendak mewujudkan Negara Berkebajikan. Mereka sendiri pun tak faham apa maksud Negara Berkebajikan. Slogan Negara Berkebajikan hanyalah helah politik PAS untuk menutup kelemahan sendiri kerana tergadainya matlamat untuk mendirikan negara Islam. Apa yang penting bagi PAS, slogan Negara Berkebajikan boleh diterima oleh DAP.

Keresahan Melayu

Saudara dan Saudari Sekalian,

26. Perkembangan mutakhir ini semakin meresahkan orang Melayu. Mereka tertanya-tanya apakah nasib masa depan umat Melayu di tanah air sendiri. Terbangunkah ekonomi Melayu dan Bumiputera jika apa saja usaha untuk membantu mereka dianggap sebagai rasis dan berpilih kasih? Apakah orang Melayu dan Bumiputera akan mendapat bahagian yang adil dalam pengagihan kekayaan? Wujudkah peluang-peluang ekonomi untuk orang Melayu dan Bumiputera dalam dunia yang semakin kompetitif?

27. Bagaimana dengan peluang pendidikan untuk anak-anak Melayu dan Bumiputera? Masihkah boleh mereka bergantung harap kepada biasiswa daripada kerajaan? Apakah ada ruang untuk mereka membangunkan potensi diri dalam rancangan pembangunan modal insan negara? Bagaimana pula dengan peluang-peluang pekerjaan untuk mereka? Selain itu, apakah kedudukan istimewa agama Islam akan terus terjamin? Terbelakah agama Islam jika serangan bertubi-tubi kepada institusi-institusi Islam berterusan? Terpeliharakah kesucian Islam jika parti seperti DAP lebih berpengaruh mentakrifkan

28. Seterusnya, orang Melayu bertanya, akan kekalkah kuasa politik Melayu jika pembangkang terus melakukan serangan demi serangan terhadap institusi-institusi Melayu? Mampukah UMNO untuk membela nasib umat Melayu? Mampukah UMNO untuk terus bersuara mewakili mereka seperti dulu? Mampukah UMNO untuk terus memenuhi harapan orang Melayu? Atau adakah UMNO akan terus terperangkap dalam psikologi politik pasca-tsunami 2008 yang meresahkan orang Melayu?

UMNO Adalah Jawapan Kepada Keresahan Melayu

29. Sebenarnya, jawapan kepada persoalan-persoalan ini ada pada kita semua. Sebagai ahli UMNO, sebagai pemimpin UMNO, kita semua memikul amanah besar untuk terus membela agama, bangsa dan negara yang menjadi asas dan matlamat perjuangan UMNO.

30. Hakikatnya, UMNO telah bangkit daripada rempuhan tsunami 2008. Kita tidak pernah menyerah kalah kepada tujahan kuasa politik pembangkang yang ingin merobek segenap sudut perjuangan UMNO dalam membela orang Melayu. Ketika umat Melayu resah memikirkan apakah ada pembelaan terhadap mereka dalam sektor ekonomi, kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO tanpa rasa apologetik telah menubuhkan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Presiden selaku Perdana Menteri. MTAB bertanggungjawab untuk memastikan penyertaan orang Melayu dan Bumiputera dalam sektor ekonomi terus diperkasa. Lantaran itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) juga ditubuhkan untuk menyelaraskan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi yang semakin

31. Terkini, YAB Perdana Menteri telah pun melancarkan Program Transformasi Ekonomi Bumiputera dengan memberi tumpuan kepada tiga fokus strategik iaitu, (i) pengukuhan pendidikan serta pembinaan keupayaan Bumiputera; (ii) pembaharuan instrumen dasar dan rasionalisasi sistem penyampaian; dan (iii) penumpuan kepada pemerolehan, penciptaan dan pembangunan perniagaan berskala besar. Tiga fokus strategik ini diharapkan dapat melonjakkan pencapaian Bumiputera dalam bidang ekonomi. Selain itu, penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi akan terus dipertingkatkan melalui pelbagai projek pemula di bawah Program Transformasi Ekonomi dan juga melalui Program Transformasi Luar Bandar. Semua ini adalah kesinambungan daripada usaha-usaha yang telah dilakukan UMNO selama ini dalam perjuangan mengangkat martabat ekonomi

32. Begitu juga ketika orang Melayu resah memikirkan sama ada pendidikan anak-anak mereka akan terus terbela, pemimpin UMNO tegas mempertahankan hak pelajar Melayu dan Bumiputera yang berkelayakan untuk mendapatkan biasiswa dan lain-lain bantuan pendidikan daripada kerajaan. Terbaru, kita telah menubuhkan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera untuk membantu anak-anak Bumiputera mendapatkan pembiayaan pendidikan. Dengan dana sebanyak 500 juta ringgit, kita mensasarkan 12,000 pelajar Melayu dan Bumiputera akan menerima manfaat dalam tempoh 5 tahun akan datang. Semua ini adalah manifestasi komitmen UMNO untuk memastikan anak-anak Melayu dan Bumiputera yang cemerlang dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan berjaya dalam

33. Yakinilah, sebagai parti yang bertanggungjawab, UMNO akan terus membela hak anak-anak Melayu dan Bumiputera untuk mendapatkan segala bantuan pendidikan yang layak bagi diri mereka. Pada masa yang sama, atas dasar keadilan, kita juga tidak menafikan hak anak-anak kaum-kaum lain untuk mendapat kemudahan yang sama. Inilah prinsip al-‘adl wal ihsan yang ditekankan dalam agama

34. UMNO juga akan terus mempertahankan institusi-institusi agama dari terus dipersenda dan diperleceh. Kedudukan Raja sebagai Ketua Agama akan dijunjung. Kewibawaan institusi mahkamah syariah, agensi penguatkuasa agama dan undang-undang Islam akan terus dibela. Pendidikan Islam akan diperkasakan lagi. Kerajaan Pusat komited untuk membantu sekolah-sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri dari segi pembangunan infrastruktur, kurikulum, latihan guru dan sebagainya. Bantuan akan diberikan kepada semua sekolah agama melangkaui batas ideologi politik. Ini adalah keikhlasan UMNO untuk memastikan pendidikan Islam terus bermartabat di negara

35. Fokus kepada pendidikan Islam adalah selari dengan pendekatan wasatiyyah UMNO, iaitu sederhana dan berimbang, dalam melakukan lonjakan terhadap Islam dan hubungannya dengan pembangunan dan ketamadunan. Al Quran memberikan asas tentang ummatan wasata sebagai strategi terbaik membangunkan Islam, bukannya pendekatan ekstrem yang hanya terpancar dengan retorik dan kenyataan-kenyataan yang umum sifatnya dan tidak memberi kesan kepada pembangunan institusi dan sistem.

Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah ayat 143:

Yang bermaksud:

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan

36. Dengan pendekatan wasatiyyah ini kita seimbangkan pembangunan rohani dan pembangunan fizikal, antara tuntutan fardhu ‘ain dan fardhu kifayah. Kedua-duanya adalah dituntut oleh Islam. Dalam konteks ini, Islam harus diberi makna yang luas. Ianya bukan sahaja satu sistem kepercayaan, tetapi juga cara hidup yang mencakupi segenap segi kehidupan. Al-Quran dalam Surah Al-Asr yang memberi maksud orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang melakukan amal soleh. Ertinya, syi’ar Islam tidak hanya terpancar melalui amalan ritual semata-mata, tetapi juga melalui amal soleh dan pembangunan yang membawa kesejahteraan hidup

37. Inilah komitmen UMNO. Kita mengambil pendekatan seimbang dan bijaksana supaya umat Melayu diperkasa dan Islam dimartabat. Ini jugalah tekad politik UMNO dalam memastikan umat Melayu semakin maju dan berwibawa dalam segala bidang dan

38. Namun sebagai parti tunjang di dalam Barisan Nasional, UMNO telah membuktikan komitmen mensejahterakan rakyat merentasi batas kaum. Dengan konsep perkongsian kuasa, UMNO telah membuktikan keikhlasannya memimpin dalam kepelbagaian bangsa dan kelainan agama. Sebagai contoh, sewaktu kita memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru, walaupun kita dikritik hebat, hakikatnya limpahan nikmat turut sama dikongsi oleh semua kaum. UMNO tetap sedar bahawa bagi meneruskan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara, realiti landskap politik negara yang majmuk sifatnya mesti dipelihara. Jangan kita tanamkan kebencian kepada kaum-kaum lain. Jangan kita lemparkan kehinaan kepada agama-agama lain. Jangan kita titipkan prasangka kepada budaya-budaya lain. Kita bukan rasis seperti DAP.

Pilihan Raya Umum Ke-13

Saudara dan Saudari Sekalian,

39. Saya mengambil sedikit masa untuk menyentuh tentang persoalan-persoalan yang berlegar di benak fikiran orang Melayu, tentang beberapa isu yang amat penting kepada kelangsungan mereka, supaya generasi muda dan sayap-sayap parti memahami apakah psikologi dan minda Melayu yang kita hadapi hari ini. Sesungguhnya, kita sedang berada dalam satu situasi yang amat kritikal. Pilihan raya umum ke-13 adalah ibu segala pilihan raya yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu. Apakah kuasa politik kekal berada di tangan kita? Atau akan terlepas ke tangan orang lain?

40. Sanggupkah saudara-saudari melihat kuasa politik terlepas dari genggaman kita? Sanggupkah kita membenarkan pembangkang menawan Putrajaya? Sanggupkah kita melihat orang Melayu hilang kuasa di bumi sendiri? Jawapannya tentu sekali tidak.

41. Ayuh, gerakkan seluruh kekuatan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO untuk menjadi benteng parti. Datuk Seri Shahrizat, Pergerakan Wanita adalah srikandi UMNO. Pengaruh wanita amat kuat dalam masyarakat. Setiap undi wanita amat penting kepada UMNO. Perkukuhkan gerak kerja Jalinan Rakyat. Perhebatkan aktiviti Skuad Sayang dengan pendekatan yang tersusun dan teratur. Kajian sikap mesti tepat, penyelarasan dan kerjasama dengan kepimpinan bahagian mesti mantap.

42. Saudara Khairy, andalah panglima perang paling muda dalam UMNO. Gerakkan barisan pemudamu, jadilah benteng UMNO yang kukuh. Turun ke akar umbi, dekati dan selamilah aspirasi generasi seangkatan denganmu. Persiapkan hulubalang pemuda untuk bertarung dalam peperangan yang paling perit dalam sejarah parti kita. Bersedialah dengan kekuatan mental dan fizikal. Biar putih tulang, jangan putih mata!

43. Landskap politik kini adalah milik orang muda. UMNO komited untuk memberikan keyakinan, kepercayaan dan ruang kepada generasi muda. Kepada pemimpin-pemimpin UMNO, berilah laluan kepada generasi muda untuk sama-sama mencurahkan bakti kepada parti. Bimbinglah mereka. UMNO tidak akan menjadi parti yang kekal selama-lamanya tanpa dokongan orang muda.

44. Datuk Rosnah, Puteri adalah permata UMNO. Pimpinlah Puteri dengan kesatuan hati dan matlamat. Dalam kelembutan Puteri, serlahkan peranan anda untuk membawa golongan wanita muda ke pangkuan UMNO. Bingkaslah untuk menarik sokongan rakyat kepada parti. Perhebatkan program Puteri di segenap peringkat. Kembalikan kegemilangan Puteri sebagai sayap tempat bernaung remaja dan wanita muda untuk bersama-sama mencorak hala tuju Negara. Laksanakan peranan anda dengan berkesan supaya parti kita menjadi lebih kuat.

45. Atas segalanya, kitalah yang menentukan kekuatan parti kita. Jika kita bersatu hati (wahdatul qalb), bersatu minda (wahdatul fikr), bersatu amal (wahdatul amal) dan bersatu matlamat (wahdatul hadf) parti kita akan kuat. Ketepikan perbezaan dan persengketaan. Lemparkan segala sifat tercela jauh ke lautan hitam. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Yakinlah, perjuangan ini adalah jihad untuk agama, bangsa dan negara. Jihad untuk keadilan. Jihad untuk pertahan hak. Percayalah, pilihan raya umum nanti mempunyai makna yang cukup dalam kepada kelangsungan kita. Pilihan raya ini adalah medan jihad dan saudara-saudari adalah para mujahid dan mujahidah.

46. Calon adalah senjata parti untuk menang. Berilah sepenuh keyakinan kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya. Yang penting, calon kita mesti berkaliber, berpendidikan, berwibawa, berjiwa rakyat, bersih, jujur, amanah, tinggi moralnya dan diterima oleh rakyat. Akurlah dengan keputusan pucuk pimpinan. Berilah sokongan padu kepada setiap calon. Gerakkan jentera untuk membantu mereka.

47. Tumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada parti dan pemimpin. Marilah kita bersatu menjayakan agenda transformasi yang dibawa oleh YAB Presiden. Pendekatan berani YAB Presiden dalam memperkenalkan transformasi politik, dalam menunjangi perubahan, perlu disambut oleh segenap lapisan ahli-ahli UMNO.

48. Pertahankan parti dengan seluruh jiwa dan raga. Jangan lari dari medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabo. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan ‘mandikan’ calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan. Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihan raya. Ingat, pilihan raya nanti adalah pertandingan hidup atau mati. Ingat, pilihan raya nanti bukan untuk kemenangan diri tetapi adalah untuk kemenangan parti.

49. Sebagai sebuah organisasi, UMNO tidak sunyi daripada kelemahan dan kekurangan. UMNO bukanlah malaikat. Kita insaf dan sedar. Kita sentiasa mengorak langkah melakukan perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadai prinsip perjuangan.

50. Dalam perjuangan ini, UMNO tidak boleh bersendirian. Ajaklah, serulah, panggillah, pujuklah seluruh umat Melayu untuk bersama kita. Raih setiap sokongan dan keyakinan seluruh persatuan Melayu, gabungan Melayu, badan-badan ekonomi, sosial, pendidikan, agama, belia, budaya untuk bersama kita di bawah panji UMNO dalam mempertahankan survival umat Melayu. UMNO melihat seluruh organisasi Melayu sebagai pejuang. Mereka ada sumbangan dan peranan yang besar. Ajaklah penyokong pembangkang yang sudah hilang kepercayaan kepada perjuangan parti mereka yang sia-sia untuk bersama-sama kita. Demi kelangsungan umat Melayu, marilah kita bersatu. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Ali Imran Ayat 103:

Yang bermaksud:

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.

51. Gendang perang sudah dipalu. Langkah pendekar sudah disusun. Bangunlah! Berjuanglah! Pergilah ke seluruh 222 Parlimen, 576 Dewan Undangan Negeri dan 7470 Pusat Daerah Mengundi. Jangan ada yang tertinggal, tersisih dan tercicir. Jangan ada satu pun yang terlupa. Raih setiap undi di setiap kawasan. Ingat, walaupun satu undi ia akan menentukan kemenangan kita.

52. Beri tumpuan kepada masalah rakyat. Rasai denyut nadi mereka. Dengar rintihan dan keluhan mereka. Bantulah mereka. Kita adalah mata, telinga dan suara rakyat. Paling utama, kita mesti bertanggungjawab. Lunaskan tanggungjawab moral kita sebagai pejuang UMNO dengan membantu rakyat.

53. Membujur lalu melintang patah, jangan hanya dilaungkan tapi buktikan kita tidak rela membiarkan pembangkang terus menghina perjuangan parti kita. Kita tidak akan berganjak walau seinci daripada memastikan rakyat tidak diperdaya dan diperalatkan.

Patah sayap bertongkat paruh,
Patah paruh bertongkat siku,
Patah siku bertongkat dagu,
Patah dagu bertongkat kuku.


54. Medan perang di hadapan kita. Kita tiada banyak pilihan. Maralah ke hadapan dengan semangat kental Tariq bin Ziyad, panglima muda yang menakluki Andalusia. Ketika menyeberangi Selat Gibraltar dengan bilangan tentera yang kecil, Tariq berkata kepada tenteranya:

“Dengarlah semua! Ke mana kamu semua dapat lari? Lihat apa yang menanti kamu. Lautan di belakang dan musuh di hadapan. Pada diri kamu semua hanya tinggal keikhlasan dan kesabaran ... Musuh di hadapan sedang menanti dengan pasukan tentera dan peralatan yang lengkap ... Ingat, perlindungan daripada pihak musuh hanyalah pedang-pedang di tangan kamu. Sekiranya pasukan kita lambat mencapai kemenangan, peluang keemasan untuk terus hidup akan hilang. Ketakutan yang melanda pihak musuh berganti menjadi berani untuk menentang pihak kita. Oleh itu, berjuanglah bersungguh-sungguh bagi mempertahankan nyawa kamu”.

55. Ayuhlah srikandi UMNO! Ayuhlah hulubalang UMNO! Ayuhlah permata UMNO! Rapatkan saf perjuangan parti! Berdiri teguhlah di belakang YAB Presiden parti. Bangkitlah pertahankan kelangsungan umat Melayu! Bangunlah menjulang panji perjuangan! Maralah tewaskan musuhmu di hadapan. Pastikan kemenangan milik kita!

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Persidangan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2011.

Layari laman web khas Perhimpunan Agung UMNO 2011

Khamis, 17 November 2011

Benarkan mahasiswa berpolitik bukan jaminan kepekaan politik




Benarkan mahasiswa berpolitik bukan jaminan kepekaan politik

Oleh Akmal Saufi Mohamed Khaled
akmalsaufi@gmail.com
2011/11/07

PERUBAHAN corak pemikiran hari ini menjadikan masyarakat berbincang dan berdebat mengenai isu berkaitan undang-undang, isu semasa serta apa saja yang boleh dilihat dengan mata kasar. Penafian hak itu akan hanya menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat, merencatkan pembangunan intelek serta mencabar kebebasan bersuara seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan ini jika digunakan secara optimum akan memberi impak besar sekiranya masyarakat bijak dalam memperkasakan minda dengan berani mengkritik dengan kritikan bernas dan berkualiti.

Bagaimanapun, perkara ini tidak semudah dijangka. Matlamat ini terlalu sukar direalisasi sekiranya ia disalah tafsir. Selepas isu penggantungan Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kini kita menghadapi satu lagi babak sukar dalam dunia akademik. Mahkamah Rayuan baru-baru ini mengisytiharkan mahasiswa dibenarkan untuk terbabit dengan mana-mana parti politik, walaupun Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) melarang sama sekali.
Bukankah ini satu berita baik buat mahasiswa? Dengan keputusan mahkamah ini, mahasiswa kini diberi peluang menyokong serta berkempen mana-mana parti politik mengikut kehendak masing-masing. Tetapi perlu diingat, perkara ini harus diteliti dan dianalisis terlebih dulu. Apakah tafsiran terhadap pendapat dunia akademik dalam hal ini pelajarnya masih berkecuali jika mereka sendiri mempunyai kecenderungan terhadap mana-mana parti politik? Bukankah ini menjadikan pandangan mereka berat sebelah?
Adalah menjadi kerja gila jika matlamat pihak universiti serta kerajaan bukan untuk mempertingkatkan tahap pemikiran mahasiswa dan masyarakat secara amnya. Inilah sebab utama mengapa mahasiswa menuntut di universiti, iaitu dengan mempertingkatkan tahap pemikiran dan belajar untuk membuat keputusan termaklum. Atas alasan itu, pihak universiti seharusnya sentiasa menawarkan mahasiswa peluang menjelajahi ilmu agar mahasiswa tidak mudah diperkotak-katik pengaruh luar.

Beberapa tahun kebelakangan ini, perdebatan dan perbincangan mengenai isu banyak dijalankan institusi pengajian tinggi sering mendapat sambutan. Sebagai contoh di UIAM sendiri, perbincangan mengenai pembentangan Bajet 2012 berjaya diadakan tanpa perlu pelajar bersama dengan parti politik. Dunia akademik mampu menajamkan pemikiran mereka.

Kita sedia maklum, isu yang dibangkitkan parti politik mempunyai objektif meraih sokongan politik. Sedangkan, perbincangan sebegitu rupa yang diadakan di universiti berfungsi untuk berdiskusi bagi mencari jalan penyelesaian terbaik secara ilmiah. Perbincangan di universiti bukanlah hanya retorik atau mahu memenangi perdebatan semata-mata.

Mari pula kita fikirkan bagaimana jika kerajaan membenarkan penyertaan mahasiswa secara langsung dalam arena politik? Apakah batasannya? Apakah kesan terhadap integriti dan sifat berkecuali universiti? Bagaimanakah cara bagi sesebuah institusi itu mempertahankan imejnya? Kita sedia maklum bahawa sesebuah institusi pendidikan itu sewajarnya bersifat berkecuali tetapi kritikal dalam memberikan pandangan.
Namun sekiranya ada ahlinya yang cenderung ke arah sesebuah parti politik dan pandangan berkepentingan politik, bukankah ini memperlihatkan seolah-olah pandangan itu mewakili keseluruhan institusi berkenaan? Ini yang kita tidak mahu. Hal ini boleh digambarkan seperti yang terjadi dalam isu Dr Abdul Aziz, yang mana pihak universiti menjalankan siasatan mengenai kenyataan serta kritikan terbuka beliau terhadap Sultan Selangor. Adakah pandangan ini mewakili pihak universiti atau pandangan peribadi beliau?

Situasi ini membuktikan bahawa suatu garis panduan bersesuaian adalah suatu keperluan. Ia harus diperhalusi dalam memahami tatacara bersesuaian bagi ahli sesebuah institusi, terutama mahasiswa. Garis panduan ini berfungsi sebagai batu asas dalam memberi pendapat dan kritikan terhadap perkara yang berkaitan dengan isu politik, agar kritikan dan pandangan itu tidak melangkaui garisan pemisah antara pandangan akademik dengan pandangan yang cenderung terhadap parti politik semata-mata.

Berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini juga menyebabkan mahasiswa yang sebelum ini pendiriannya tidak kelihatan lebih menonjol. Secara am mereka boleh dibahagikan kepada; kumpulan yang menyokong mahasiswa berpolitik, mahasiswa yang mahu mempertahankan kredibiliti dunia akademik dan mahasiswa atas pagar.

Di celah kelompok mahasiswa ini juga wujud kelompok yang penuh dengan kecelaruan. Golongan ini memekik dan terlolong mengatakan bahawa parti politik dan fahamannya tidak patut menjejakkan kaki ke dunia akademik, tetapi pada masa sama, mereka jugalah golongan mahasiswa yang mahu membuka laluan mahasiswa aktif berpolitik. Jelas pendirian mereka ini ibarat lalang yang mudah ditiup ke sana ke mari. Inilah satu-satunya spesies lalang yang pergi kelas.

Hujahan mengatakan mahasiswa kurang peka terhadap isu politik dilihat menjadi sebab kepada pertikaian semasa. Bagaimanapun, membenarkan mahasiswa menyertai atau menyokong parti politik bukanlah bermaksud kepekaan mahasiswa terhadap politik juga bertambah. Peningkatan tahap kepekaan isu politik semasa bergantung kepada minat, persekitaran serta pemikiran individu itu dalam membantu dan berbakti kepada negara.

Penulis ialah Pelajar Tahun Akhir Jurusan Undang-Undang, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sabtu, 5 November 2011

Salam Aidil Adha 1432 Hijrah

Assalamualaikum

Pada hari esok, kita akan meyambut Hari Raya Korban di bumi Mesir (di Mesir Hari Raya Korban lebih meriah dari Hari Raya Puasa) dalam keaadaan negara ini yang masih tidak ada kestabilan politik, ekonomi dan sebagainya. Walau bagaimana pun, saya kagum masih ramai yang hadir ke sini untuk menadah ilmu dalam bidang agama dan perubatan, seterusnya mengejar kecemerlangan akademik dan sahsiah. (bukan tujuan bekerja sepenuh masa dengan persatuan!).

Itulah pengorbanan kita di sini diuji dengan pelbagai ujian samada yang datang dari dalam Mesir atau dari luar. Sesungguhya kejayaan itu tidak lari dari pengorbanan, dan pengorbanan yang paling besar ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya tiada tandingan kerana melibatkan nyawa antara bapa dan anak. Dalam al-Quran menyebutkan bahawa Nabi Ismail mengatakan.

يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya .. Wahai bapaku buatlah, laksanakanlah apa yang diperintahkan oleh Allah SWT ( untuk menyembelih dirinya iaitu Nabi Ismail) kamu akan dapati Insya Allah aku di kalangan mereka yang sabar.

Akhir sekali saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Salam Perjuangan dan bersabar dalam perjuangan, Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin jika ada silap dan salah, terkasar bahasa dan terlanjur bicara. Salam 1Malaysia untuk rakyat Malaysia di Mesir dan Malaysia.

"Bersedia Bekhidmat Pada Bila Masa & Ketika"

Khairi Jalalluddin





Selasa, 18 Oktober 2011

Isu Hudud: Penalti dan Pelaksanaannya














Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Pendahuluan

Sejak akhir-akhir ini pelbagai isu melibatkan agama dan politik telah diperbahaskan secara hebat di media baru sebagai langkah persediaan untuk menarik atau menawan hati dan minda rakyat khususnya generasi muda agar memihak kepada kumpulan atau parti tertentu.

Antara isu yang diperkatakan mutakhir ini ialah;
1. Murtad
2. Serbuan JAIS di Gereja
3. Belanjawan 2012
3. Komunis sebagai pejuang kemerdekaan
4. Video seks mirip Ketua Pembangkang
5. Himpun vs Bersih 2.0
6. Bob Lokman ceramah tanpa tauliah
7. Dakwaan Aziz Bari hina Sultan
8 . dan yang terkini ialah Anak Khalifah Umar Abdul Aziz P.Pinang meraba perempuan

Dalam kesempatan ini penulis tidak ingin mengupas satu persatu isu-isu tersebut yang kebanyakkannya bersifat ofensif kepada pembangkang di negara kita, malah bloggers mereka nampaknya "kalut" untuk menjawab balik serangan yang bertubi-tubi. Tetapi pada kali ini penulis ingin membicarakan isu berkaitan " HUDUD" yang ada kaitan dengan bidang pengajian penulis.

1. Pelbagai pandangan telah dibaca dan kita lihat sebelum ini termasuk pandangan ulama konvensional dan  kontemporari seperti Dr. Yusof al-Qaradhawi yang menyatakan  bahawa pelaksanaan penalti (uqbah) hudud adalah langkah terakhir menghukum penjenayah  selepas menutup jalan-jalan kepada jenayah hudud tersebut. Sebagai contohnya menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat agar tiada pengangguran dan seterusnya menyebabkan berlaku kecurian. Malangnya negeri yang paling Islamik di dunia sehingga digelarkan serambi Mekah gagal memenuhi tuntutan itu sehingga rakyatnya terpaksa berhijrah " beramai-ramai" ke negeri yang lain untuk mencari pekerjaan.

2. Dalam mebicarakan Hudud ada dua perkara yang perlu diketahui iaitu;
 a. Jenayah Hudud
b. Uqubah (Panalti) Jenayah Hudud.

Di negara kita jenayah hudud telah dikanunkan, (Lihat dalam Enakmen di Negeri2), tetapi pekara yang masih belum dikanunkan secara sempurna hanyalah Penalti (Uqubah) Hudud. Sebagai contohnya Penalti bagi Jenayah Zina ialah 100 kali sebatan bagi yang belum berkahwin, namun di Malaysia sebatannya tidak sampai pada tahap maksimum tersebut dan ia boleh diketegorikan sebagai Panalti Takzir.

3. Beberapa peringkat Penalti Jenayah dalam Islam perlu dikupas oleh cerdik pandai agama iaitu Penalti Maksimum (Hudud), Takzir, Taubat & Pengampunan.

Pertama: Hudud secara ringkasnya penalti hudud yang kita sedia maklum antaranya ialah potong tangan bagi pencuri, rejam bagi penzina yang telah berkahwin, bunuh bagi murtad, 80 kali sebatan bagi Qazaf, 40 kali sebatan bagi peminum arak dan hukuman kepada perompak (bunuh balas bunuh,  dan sekiranya merompak sahaja hukumnnya potong tangan kakinya secara bersilang) pendetailan boleh rujuk dalam kitab Fiqh Jenayat.
Kedua:Takzir ialah penalti alternatif bagi hukuman yang tidak sampai kepada tahap maksimum (hudud) seperti penjara, sebat tidak sampai 100 kali, denda, buang negeri dsb mengikut kebijaksanaan Hakim dan tahap kesalahan yang dilakukan. Ini bermakna Islam tidak akan melepaskan penjenayah walaupun tidak dapat membawa 4 saksi dalam isu zina.
Ketiga: Taubat
Hal taubat ini jarang dibincangkan secara bersama dengan ayat hudud oleh mereka yang memperjuangkan hudud di Malaysia sedangkan jika dikaji kesemua ayat penalti hudud dalam al-Quran menyertakan sekali hal berkaitan Taubat. Lihat ayat 39 Surah al-Maidah, ayat 5 Surah al-Nur, ayat 9 Surah al-Hujrat. Malah Taubat memainkan peranan penting dalam menggugurkan penalti hudud sekiranya belum dibawa ke Mahkamah. Contohnya jenayah Hirabah (merompak), ulama berpendapat jika penalti hudud hirabah boleh digugurkan dengan taubat, maka lebih utamalah jenaya hudud yang lain boleh digugurkan juga kerana hudud merompak lebih besar kerosakkannya jika dibandingkan dengan jenayah hudud yang lain. Lihat al-Muhalla jld 11 ms 131.
Keempat: Pengampunan (al-Afwu)
Melihat dalam buku karangan Dr. Yusof al-Qaradhawi berjudul Malamih al-Mujtamak al-Muslim.. ms 258 mengatakan bahawa .. bukan hanya individu sahaja yang boleh "mengampunkan" penjenayah daripada dijatuhkan penalti hudud tetapi pemerintah dan hakim juga boleh berbuat demikian. Inilah indahnya Islam yang menyarankan kita supaya mengampunkan pesalah. Di dalam al-Quran banyak isyarat yang jelas kepada hal tersebut seperti ayat 85 surah al-Hijr, ayat 134 surah Ali Imran, ayat 22 surah al-Nur dan ayat 199 surah al-A'raf. Kita juga sedia maklum bahawa Tuhan itu Maha Pengampun dan tirulah sebagaiman akhlak-Nya kata Nabi SAW...bukan Allah Maha Samseng macam Mursyidul Am PAS faham daripada ayat-ayat al-Quran.

Pelaksanaan Hudud.
Insya Allah akan dibicarakannya dalam tulisan akan datang setakat ini ada tiga golongan dalam hal perlaksanaan hudud. Semoga perkongsian ini dapat menambahkan keimanan kita. Sekian Wassalam ala man Ittiba' al-Huda





Khamis, 6 Oktober 2011

Pandanganku tentang Ziarah Orang Sakit, Pahala & Amal Soleh

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Hari ini saya ingin berkongsi pengalaman, persoalan dan sedikit ilmu berkaitan dengan menziarahi orang sakit, pemahaman tentang pahala dan amal soleh.

Hadis yang selalu dibacakan seperti dibawah ini kerap kita mendengar khususnya dari mereka yang berlatar belakangkan pengajian agama.

Nabi SAW telah bersabda;

“Tidaklah seorang Islam itu menziarahi seorang Islam yang lain pada waktu pagi, melainkan berselawat (berdoa) ke atasnya 70 ribu malaikat sehingga ke petang, dan tidak dia menziarahinya pada waktu malam, melainkan berselawat ke atasnya 70 ribu malaikat sehingga ke pagi, dan baginya buah-buahan yang dipetik di Syurga.” ( Riwayat Tirmizi dan Hadis ini bertaraf hassan kata beliau.

Islam menggalakkan umatnya menziarahi orang sakit, hukumnya adalah sunat muakkad (yang dituntut). Hal ini bermakna mereka yang menziarahi orang sakit akan mendapat PAHALA. Ini berdasarkan hadis di atas yang mana 70,000 Malaikat mendoakan ke atas mereka yang melawat orang sakit. Satu persoalan yang ada dalam fikiran... Apakah mereka yang melawat orang sakit akan mendapat pahala "hanya" untuknya sahaja?. Bagi mereka yang membuat polisi, merancang, membina Hospital, Klinik 1Malaysia, memberi gaji Pegawai Perubatan, menyediakan ubat-ubatan dan sebagainya.. apakah pekerja yang beragama Islam tidak mendapat PAHALA?

Sewaktu masa dahulu... ada seorang Pak Cik apabila ditanya.. apakah pekerjaan yang akan dapat pahala jika dilakukannya. Jawapan yang diberikannya ialah Tok Imam, Tok Bilal & Tok Siak. Cara berfikir sebegini dengan menyempitkan kefahaman Islam khususnya dalam menakrifkan amalan SOLEH sudah tidak relevan. Amal Soleh bukan hanya mengaji al-Quran, Zikir dan Solat atau menjadi Imam, Kadi dan sebagainya tetapi lebih daripada itu. 

Dalam al-Quran sana ada menyebutkan.

Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh".(al-Anbiya' 105)

Fokusnya pada ayat itu ialah bumi ini akan ditadbir urus oleh orang yang soleh. Persoalan..Orang yang tidak pandai mengurus, tidak ada jiwa negarawan, tidak ada integriti, tidak bermoral, kepentingan diri melebihi perkhidmatan, tidak ada wawasan...Apakah boleh diwarisi bumi ini kepadanya lebih-lebih lagi mewarisi pemerintahan di bumi Malaysia?. Hal ini perlu dikaji oleh orang bijak pandai agama....

Sedikit gambarku sebagai kenang-kenangan bersama pelajar Malaysia di Mesir.



                                              Pelajar Perak.. dan Pegawai Perak



                                 Pelajar Kedah.. angin ahmar , bersama Atase Agama



                                                        Pelajar Perak kemalangan jalan raya 



Yang akhir ini Majlis Akikah Pelajar Johor


Sekian Wassalam ala man ittiba' al-huda.




Isnin, 19 September 2011

Tahaluf Siasi (Perjanjian Politik) Pakatan Pembangkang: Merugikan umat Islam!

 
 
Perkongsian kuasa (Power Sharing) & Perjanjian politik ( Tahaluf Siyasi)[1]

Keterangan: Iaitu perkongsian pemerintahan negara dengan golongan “bukan Islam”. Ia diperkenalkan oleh Perikatan dan kemudian dikenali sebagai BN. Manakala istilah Tahaluf Siasi pula telah diperkenalkan oleh PAS untuk bersama DAP dan PKR.

Hujah PAS: Perkongsian kuasa antara BN adalah tidak bersandarkan siasah syariah dan tidak ada tahaluf siyasi. Maka mereka ini kafir[2] berdasarkan ayat Surah Ali Imran ayat : 28 “Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali ( teman,pemimpin, pelindung dan penolong ) dengan meninggalkan orang mukmin , barangsiapa berbuat demikian niscaya lepaslah ia dari pertolongan Allah .....
Hujah BN: Perkongsian kuasa itu adalah menepati siasah syar’iyah kerana ayat 28 yang dibaca hanya separuh. Separuhnya yang lain disembunyikan iaitu [ KECUALI kerana (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksanya ) dan hanya kepada Allah tempat kembali ] . Adapun Tahaluf Siyasi PAS dengan PR adalah Tahaluf yang haram kerana bersama golongan yang jelas menentang Islam.

Pendirian penulis: Perkongsian kuasa adalah merupakan pendekatan yang terbaik untuk negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia. Orang Melayu tidak mungkin boleh hidup tanpa bangsa bukan Melayu begitu juga sebaliknya. Begitu juga perjanjian politik atau “Tahaluf Siasi” yang hendak dilakukan, mestilah ianya tidak merugikan Islam atau memecah belahkan umatnya dan mengadaikan prinsip Islam.

Tahaluf yang haram
Tahaluf yang boleh mendedahkan kepada musuh Islam untuk menyerang balik terhadap golongan Islam.
Tahaluf Fikri, perjanjian dalam bentuk pemikiran dengan memaksa supaya diterima pakai pemikiran atau ideologi yang bukan datang dari Islam.
Tahaluf yang akan menyebabkan umat Islam berpecah-belah dan bermusuh sesama sendiri.

Tahaluf Siasi PAS adalah haram
1. Formula perkongsian kuasa BN telah menjadi pengajaran kepada PR. Iaitu perjuangan secara bersendirian tanpa pertolongan non muslim tidak akan membawa ke mana-mana.
2. Maka PAS telah menghalalkan tindakan mereka yang selama ini bermusuh dengan Malaysian Malaysia DAP dengan istilah Tahaluf Siasi. Pas juga mengugurkan negara Islam dan hudud di peringkat Faderal asalkan dapat bersama DAP.
Haji Hadi telah mengatakan: “ Justeru, kerana isu negara Islam dan perlaksanaan hudud dan Syari’at menjadi punca perpecahan BA dahulu, maka PAS perlu membuat satu pengorbanan dan (ijtihad yang besar) untuk tidak memasukkan persoalan negara Islam dan perlaksanaan hudud di peringkat Faderal. Peruntukan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan seperti yang diamalkan kini di peringkat Faderal. Seandai menang dalam pilihanraya akan datang BA atau pembangkang akan menubuhkan kerajaan Demokratik dan Adil di peringkat Faderal atau Pusat yang mendokongi Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada”.[3]

Kesimpulannya
Tahaluf Siasi samada di Malaysia dalam hal yang bukan berbentuk peperangan bersenjata. Maka ia adalah harus.
Tahaluf yang menyebabkan kerugian di pihak Islam dan memecahbelahkan perpaduan umat Islam adalah haram. (mudharat) Ini seperti yang dilakukan oleh PAS semenjak tahun 1999.
Tahaluf yang boleh mengangkat martabat Islam, menguntungkan di pihak Islam dan umatnya adalah diharuskan bahkan boleh jadi wajib. (manfaat) Hal ini yang dilakukan oleh Nabi SAW sila rujuk buku Munir Muhammad al-Ghadban, al-Tahaluf al-Siyasi fi al-Islam.

[1] Lihat Munir Muhammad al-Ghadban, al-Tahaluf al-Siyasi fi al-Islam, Cetakan ke-3, Dar al-Salam 1999
[2] Lihat kertas putih kerajaan Malaysia bertarikh 8 November 1984, Fatwa tersebut dikeluarkan oleh Dewan Ulamak PAS pada bulan Ogos 1963.
[3] Amanat Perdan Pemangku Presiden “ Pilihanraya ke-11: Formula kemenangan” 18 Januari 2003

2 comments:


Anonymous 7 October 2009 10:43  
Perjanjian haram. Dulu UMNO bersama MCA kafir. Jadi perjanjian PAS & DAP terus masuk syurga. PAS di ceramah perdana suruh kita mengamanat Islam sebagai tunjang perjuangan. Tetapi dalam realiti sebenarnya Islam telah di hina Melayu di pijak dan PAS rela membiarkan berlaku demikian kerana semata ingin memenuhi nafsu politik. PAS untung rakayt akan rentung
Jngn terlalu emosional... just fikirlah apa yang dah berlaku.. jngn terlalu taksub pada PAS,PKR dan DAP. Aku dulu adalah pengikut sentiasa DSAI tetapi bnyk agenda yang tak boleh aku terima pakai demi untuk PR yang idea dari saudara Anwar Ibrahim. Terlalu bahaya. Aku juga yg membawa PKR kuat satu ketika di DUN Bemban ,Melaka dimana saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin dilahirkan di Kampung Kesang Tua.(Sam). Allhamdullilah aku sedar cepat demi aku ingin memperjuangkan bangsa dan agama aku. Percayalah dlm PR, penyokong PR akan memberi kelebihan kepada MT DAP dan PKR saja. PAS jngn bermimpi untuk memegang apa2 portfolio yg penting di setiap jajahan PR(PKR,PAS dan DAP) kecuali Saudara Anwar tidak dapat mengganggu-gugat Kelantan dan Kedah disbbkan PAS terlalu ramai di DUN. Aku tidak menyalahkan org PAS tetapi aku pelik kenapa pemimpin PAS masih tidak dapat memikir apa kehendak sebenarnya Anwar Ibrahim. Pengikut PAS jngn emosional berfikirlah apa yang berlaku kepada saudara islam kita di Selangor, Penang dan Perak satu ketika. Dan pengikut PAS jngn terkejut jika PAS Selangor akan keluar dr Pakatan Rakyat. Jngnlah kita membenarkan agama kita dihina dan dicaci seperti mana yang kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin DAP. Pertahankanlah jngn kita mudah diperkotak-katikkan demi mencapai agenda saudara Anwar Ibrahim yng bercita-cita menjadi P.M. Berfikirlah seperti Saudara Azman Ketua Pemuda PAS Gombak dan Datuk Dr Hassan Ali. Waallahuallam....

Sabtu, 10 September 2011

Membantu Urusan Pengkebumian Jenazah (Pelajar)






Assalamualaikum,

1. Semalam pada Hari Jumaat seorang pelajar telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Keledang, Kaherah. Sewaktu di Tanah Perkuburan kelihatan TYT Duta, Presiden Universiti al-Azhar, Ketua Canseri KBMK dan Pengarah EME turut hadir.  Bapa kepada Allahyarham telah bersalam dan menangis di hadapan mereka. Saya juga berkongsi kesedihan tersebut sejak mengetahui kematiannya pada hari Khamis daripada pegawai di Hospital. Pada hari itu, saya, Saudara Latif Ahmad dan Asir ingin menziarahi pelajar pada jam 4.00 petang selepas waktu kerja. Tetapi peristiwa tersebut memeranjatkan saya kerana pelajar tersebut telah meninggal sebelum kami sampai iaitu 12.00 mlm semalam sejam selepas Ustaz Faryzan pulang dari melawat pelajar tersebut. Kemalangan ini telah diketahui setelah Pn. Salwa, Pegawai EME menghantar sms kepada semua pegawai termasuk saya. Pn Salwa dan adiknya En Syarif Jasman mengenali pelajar tersebut sejak sekian lama, sebab itu maklumat cepat sampai kepada mereka.

2. Pendek ceritanya urusan pengurusan kematian ini mendapat kerjasama semua pihak dan yang paling penting ialah apabila berhadapan dengan orang arab ketika berurusan seperti di Hospital, Balai Polis, Pejabat Kesihatan, Niabah, Penjaga Kubur dan sebagainya bukanlah semudah yang disangkakan.

Kematian Pelajar di Mesir

3. Sepanjang keberadaan saya di bumi Mesir dan sepanjang kematian beberapa orang pelajar yang dihadapi kebanyakkan disebabkan kemalangan jalan raya. Betullah ajal telah sampai, namun kita juga diberikan ikhtiar oleh Allah SWT. Saya juga mendapati jalanraya di Kaherah kurang selamat kerana gaya pemanduan rakyatnya amat menakutkan. Oleh itu, dinasihatkan pejalan kaki dan penunggang motorsikal berhati-hati apabila menggunakan jalanraya di sini.

Kubur di Mesir

4. Kubur di Mesir tidak sama di Malaysia. Kalau di Malaysia liang lahadnya sempit tetapi di sini ia seperti sebuah bilik. Mayat diletakkan secara bersusun. Oleh kerana mayat diletak berdekatan antara satu sama lain maka tiadalah istilah "kubur masing-masing" ayat peringatan yang selalu saya beri tahu kepada pelajar supaya menjauhkan maksiat. Berbalik pada bentuk kubur tadi,  bilik juga terbahagi dua iaitu untuk lelaki dan perempuan. Terdapat ruang tamu di dalam tetapi tidak besar. Untuk memasuki ke kubur itu perlu melalui tangga ke bawah dan ada pintu. Pintu masuk itulah yang selalu dibuka,ditutup dan timbuskan dengan tanah. Setiap kali kematian saya akan beri tahu Syed Aisam untuk bersedia membuka pintu kubur bila diberi isyarat.

* Bersambung nanti.. tengah cari gambar dalam kubur. (sewaktu awal2 dibuka dan belum ada penghuni)





Rabu, 7 September 2011

Siapa Sebenarnya Mat Indera?

 Ghani Othman Jelaskan Siapa Mat Indera
 
 
 
 
NUSAJAYA: Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, Ahmad Indera atau Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya adalah anggota Regimen Ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM) yang kejam dan zalim.
Beliau berkata, berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM) melalui keanggotaannya dalam Rejimen ke-10, serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.
"Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan.
"Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).
"Bagaimanapun, Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan Johor di sini, Rabu.
Abdul Ghani berkata demikian bagi mengulas tindakan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu, yang dengan yakin mempertahankan kenyataannya (Mat Sabu) bahawa Mat Indera dan pengganas komunis dalam peristiwa berdarah di Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan sebenar.
Menurut Mohamad atau Mat Sabu, ia berdasarkan buku "Pengkukir Nama Johor" pada halaman 107 hingga 117 yang menceritakan latar belakang dan perjuangan Mat Indera.
Abdul Ghani berkata, tindakan Mat Indera menyertai PKM menyebabkan dia terpesong dan ianya berlainan daripada pemimpin haluan kiri lain seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad dan Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan.
Beliau berkata, kemuncak penglibatan Mat Indera yang kejam adalah peristiwa serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Muar pada 23 Feb 1950 dan fakta yang diperoleh daripada pelbagai sumber sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan Mat Indera bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan berkenaan.
Mengenai buku "Pengukir Nama Johor", Abdul Ghani berkata, dari sudut kegiatan Yayasan Warisan Johor (YWJ), segala kajian, penulisan dan catatan berhubung sejarah negeri, termasuk perjalanan hidup watak-watak seperti Mat Indera, merupakan data-data kemasyarakatan berkaitan anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku dalam negeri.
Katanya, penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.- BERNAMA

Selasa, 6 September 2011

Menyambut Rombongan Pertama Pelajar Malaysia (Anak Perak) ke Mesir

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Jam menunjukkan 12.45 malam, mataku masih tidak mengantuk akibat keletihan hari ini. Tapi Alhamdulillah ada kepuasan di sana. Lalu aku membuka blog baruku ini untuk mencoretkan notaku. Hari ini 6 Sept, jam 7.30 pg aku telah bersiap untuk ke Airport bagi menyambut rombongan pertama pelajar Malaysia yang datang dari negeri Perak. (Terima kasih Pegawai HEP Perak kerana memaklumkan).



Kehadiran pelajar Perak di Terminal 2 dengan Kapal Terbang Royal Jordanian mengingatkanku semasa menaiki pesawat itu sewaktu belajar di Jordan. Sebenarnya Terminal 2 (Arrival), Cairo, Airport ini adalah kali pertama aku memasukinya sehingga ke tempat parking kapal terbang. Gambar di atas kelihatan anak-anak Perak sedang turun dari pesawat dan terus menuju ke pintu tempat aku sedang terpacak.




Lalu salam dihulurkan. Aku mengucapkan "Ahlan wa sahlan". Selamat datang ke bumi Mesir. Seramai 41 orang telah sampai diiringi oleh Pegawai MAIP. Aku membawa mereka turun ke tingkat bawah dan berdepan dengan imigresen. Terdapat beberapa orang Pegawai Keselamatan Mesir datang dan bertanyakan ke manakah rombongan ini akan dibawa, berapa bilangan, siapa uruskan dan untuk tujuan apa. Alhamdulillah jawapan diberikan dan mereka berpuashati, lebih-lebih lagi bila aku menyebutkan "Ana min Safarah Malaziya". (Maklumlah visa masuk yang digunakan ialah visa pelancong yang valid hanya 3 bulan.) sesuatu yang mungkin berbeza dengan negara lain yang mensyaratkan visa pelajar jika mahu belajar di negara yang berkenaan.




Setelah itu, aku meminta pelajar mengeluarkan pasport dan mengisi borang ketibaan jika belum lagi mengisi, ada juga yang hilang borang kecil itu. Tapi untuk mendapatkannya adalah mudah dan tiada masalah. Pelajar kemudiannya melalui imigresen dan aku membantu mengeluarkan troli dan menunjukkan cara mengambil troli. Suatu yang amat aku gembira ialah tiada beg pelajar yang hilang sebagaimana tahun lepas, jika hilang sudah tentu akan menyebabkan urusan bertambah lambat, maklumlah orang arab buat kerja semua manual. 

Setelah semua berkumpul, aku memanggil pengiring mereka dan mengatakan bahawa tugasku untuk melancar pergerakan di dalam Airport ini telah selesai, kini aku ada mesyuarat tergempar di Pejabat Kedutaan dan menyerahkan pelajar kepada anak-anak Perak yang sedang menunggu di luar. Justeru, aku terus keluar bersama mereka, rupanya ramai yang dah tunggu untuk mengambil beg, mengingatkanku semasa belajar dahulu, macamtulah semangat abang-abang senior membantu. Harapanku berilah bantuan kerana Allah SWT bukan kerana dunia. Aku sempat bertemu YDP BKAN Perak yang agak rapat denganku, "Ustaz Asyraf semua selesai dan selamat..." dan aku mengukirkan senyuman... kerana ingin bergegas ke Pejabat Kedutaan dan sebelah petang ada jemputan Rumah Terbuka TYT Duta. Harapanku sekali lagi, jagalah adik-adik baru ini dengan baik, ingatkan mereka tentang tujuan keberadaan mereka di Mesir dan jangan dialihkan dengan hal-hal lain. Sekian notaku hari ini.



Ahad, 4 September 2011

AL-QURAN DIJADIKAN PENGESAT NAJIS OLEH KOMUNIS





Prof Datuk Dr. Ramlah Adam

1. SERANGAN bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) ke atas Balai Polis Bukit Kepong, 35 kilometer dari Muar, jam 4.30 pagi pada 25 Februari 1950, adalah sangat berkesan dalam sejarah negara.
2. Serangan itu memperlihatkan kegigihan dan kecekalan anggota polis yang begitu kecil jumlahnya iaitu 20 orang bersama enam Pengawal Kampung (Home Guards) mempertahankan maruah sebuah institusi yang melambangkan keselamatan dan kedaulatan negara dan masyarakat. Mereka memang menjadi sasaran Parti Komunis Malaya yang meletakkan Rejimen 3 dan 4 untuk bergerak dan menguasai Johor. Serangan yang melibatkan 180-200 orang anggota Malayan Races Liberation Army (MRLA), PKM itu telah diketuai oleh Mat Indera. Dalam serangan itu Sarjan Jamil Mohd Noh, Ketua Balai telah mengetuai anak buahnya untuk mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong, Balai Penghulu dan Berek Kelamin Polis daripada ditawan oleh komunis. Mereka tidak mahu menyerah kalah walaupun dipujuk oleh Mat Indera melalui isteri seorang anggota polis yang dapat ditangkapnya di berek kelamin.
3. Mereka tidak berganjak daripada lubang-lubang kubu pertahanan mereka walaupun seorang demi seorang anggota polis itu tercedera dan tertewas oleh peluru komunis yang datang seperti hujan menimpa bumi. Mereka berjuang selama enam jam tanpa mengira keselamatan nyawa mereka. Ada juga isteri-isteri polis yang cuba melawan membela kematian suami mereka. Namun, kudrat mereka tidak seberapa. Kekejaman komunis mengatasi segala-galanya. Mereka bukan sahaja membakar kompleks balai polis itu menjadi debu, tetapi sanggup membaling seorang anggota polis yang cedera ke dalam api yang sedang membara. Tiga orang isteri polis juga dihumban ke dalam api tanpa belas kasihan. Ada yang terpaksa berpelukan ketakutan menunggu kematian yang menyeksakan itu. Seorang kanak-kanak juga menjadi mangsa kekejaman komunis. Mereka rentong seperti arang. Hanya Yusof Rono, seorang anggota polis yang cedera parah dapat melepaskan diri untuk meminta bantuan. Dato’ Onn Ja’afar, Menteri Besar Johor dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri, yang telah melawat kawasan itu menyifatkan pertahanan anggota-anggota Balai Polis itu adalah sebagai sesuatu tindakan yang sangat `determined and heroic’. Seramai 25 orang yang terkorban mempertahankan Balai Polis itu; 19 orang anggota polis dan 6 orang pengawal kampuong. Bagi Mat Indera dan PKM, ini adalah satu kejayaan besar. Mat Indera tidak rasa bersalah walaupun mereka yang dibunuh dan dibakar hidup-hidup adalah sebangsa dan seagama dengannya.
4. Mengapa Mat Indera berada dalam PKM dan terlibat dalam Peristiwa Bukit Kepong? Jika disusuri sejarah politik negara, PKM telah menjalankan satu dasar Malayan United Front iaitu satu dasar yang telah diputuskan sebelum 1948 lagi. Dalam dasar ini, PKM akan cuba menyebarkan pengaruh dan ideologi komunis kepada semua bangsa di Tanah Melayu. PKM yang ditubuhkan pada 1927/1930, selama ini hanya mendapat sokongan daripada satu bangsa sahaja sedangkan orang India dan Melayu terutamanya tidak ramai menjadi anggotanya.
5. Untuk mencapai tujuan ini, anggota PKM telah meresap masuk dan menubuhkan kesatuan sekerja, parti-parti politik serta badan-badan masyarakat yang lain. Malah mereka juga menyamar dengan nama orang Melayu dan menggelarkan dirinya sebagai Haji seperti Cheng Nan yang menyamar sebagai Haji Hashim dan bergaul dengan masyarakat Melayu di Pahang. Malah untuk menunjukkan imej kerjasama bangsa itu, Musa Ahmad, seorang kelulusan sekolah agama rakyat telah dilantik sebagai Pengerusi PKM. Beliau kemudian digantikan oleh Abdullah C.D. apabila Musa bermastautin di China. Namun, mereka adalah boneka kerana Chin Peng adalah pemegang dasar PKM.
6. Mat Indera dan ramai orang Melayu pada masa itu terpengaruh dengan dasar ini. PKM telah membakar semangat mereka dengan perasaan anti–kolonial dan anti-kuasa Barat. British yang menguasai Persekutuan Tanah Melayu dilihat sebagai penjajah yang mengeksploitasi ekonomi negara. Manakala Raja-Raja Melayu dan pembesar Melayu yang memimpin UMNO dilihat sebagai penyokong British. Ini kerana PKM telah gagal untuk mendapat perhatian British selepas Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1948. Sebelum itu PKM telah bekerjasama dengan British untuk menentang pihak Jepun di antara tahun 1942-1945. Ramai anggota Komunis telah diberi penghargaan oleh British. Chin Peng diberi gelaran Sir oleh British. PKM juga menyokong rancangan Malayan Union yang diperkenalkan oleh British pada April 1946. Ini kerana Malayan Union bersifat kesatuan dan republik serta menjadi tanah jajahan takluk British. Kerakyatan juga terbuka kepada sesiapa sahaja yang lahir di tanah jajahan takluk British. Rancangan Malayan Union ini dianggap progresif kerana tamadun Melayu yang terbina sejak 1273 atau 1400 dengan Kesultanan Melaka dan kerajaan-kerajaan Melayu yang lain akan terhapus. Seluruh Tanah Melayu akan dikenal sebagai Malayan Union dan diperintah oleh Gabenor yang dilantik oleh Raja England dan Wales. Ketuanan Melayu yang berpaksikan Raja Melayu akan termusnah sama sekali.
7. Ini dibantah oleh Raja-Raja Melayu dan orang Melayu yang menyatukan diri mereka dalam kongres Melayu 1946 yang menubuhkan United Malays National Organization (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR). Raja-Raja Melayu dan UMNO berunding selama dua tahun sebelum British bersetuju menarik Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. British menolak Perlembagaan Rakyat cadangan PKM dan sekutunya. Inilah puncanya PKM berdendam dengan British dan memeranginya pada 1948. Orang Melayu iaitu Raja-Raja Melayu dan UMNO menjadi musuhnya. Mereka dilihat sebagai penyokong British yang melangsungkan penjajahan dan tidak memberi kemerdekaan. Walaupun pada masa itu British telah mula memberi semula kuasa pentadbiran negeri kepada Menteri Besar dan ketua-ketua jabatan kerajaan yang dilantik oleh Sultan negeri masing-masing. British hanya berjawatan sebagai Penasihat British sahaja.
8. Orang Melayu memang menolak PKM kerana serik dengan kekejaman yang dilakukannya selama 13 hari semasa mengisi kekosongan pemerintahan Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah. Kekosongan itu telah membolehkan PKM keluar daripada hutan dan menguasai balai polis dan bandar-bandar serta menunjukkan kekuasaannya. Dengan senjata yang canggih, Bintang Tiga PKM menghukum penduduk kampung yang dikatakan bersubahat dengan Jepun atau melakukan kesalahan kepada mereka. Ramai Tok Guru, imam, bekas-bekas pekerja pejabat Jepun dan orang biasa yang telah ditangkap dan dibunuh. Banyak rumah yang dibakar diwaktu malam ketika penghuninya tidur nyenyak di dalamnya. Masjid-masjid juga dicemari dan al-Quran dijadikan pengesat najisnya. Ada orang Melayu yang dikurung dalam bakul keranjang mengangkat babi. Mereka di seksa, ditikam dan dikelar serta disepak seperti bola. Ada yang ditanam hidup-hidup dengan kepalanya di atas tanah untuk disepak seperti bola. Ada yang dibawa masuk ke hutan tanpa berita sehingga kini. Kekejaman komunis itu memang tidak terperikan. Ini menyebabkan kebangkitan beberapa pemimpin Melayu yang membalasnya seperti Kiai Salleh di Batu Pahat dan Cikgu Latif di Negeri Sembilan. Pergaduhan orang Melayu dengan PKM juga berlaku di Perak dan Pahang.
9. Namun, bukan semua orang Melayu melihat kekejaman KOmunis. Mereka yang inginkan kuasa politik tetap bersekongkol dengan PKM. Golongan ini menolak Fiudalisme dan mahukan kemerdekaan seperti kebanyakan negara-negara Asia Tenggara, terutamanya Indonesia yang telah mendapat kemerdekaan dengan menentang Belanda pada 1945. Pengaruh Indonesia ke atas orang Melayu di dalam bidang persuratan dan politik memang tidak dapat dinafikan. Malah ada yang telah menubuhkan cawangan parti politik Indonesia di Tanah Melayu seperti Ibrahim Haji Yaakob, yang mendakwa telah menubuhkan cawangan Partai Nasional Indonesia (PNI) di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), semasa beliau belajar di sana. Malah beliau telah bekerjasama dengan Presiden Sukarno untuk merdeka bersama Indonesia pada 15 Ogos 1945 di bawah tajaan politik berkuasa tentera Jepun. Beliau telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan kemudiannya Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjung (KRIS) untuk menunjukkan minatnya untuk merdeka dalam Indonesia Raya atau dipanggilnya Melayu Raya. Beliau kemudian mendapat perlindungan politik dan menjadi orang penting di Indonesia di bawah pemerintahan Presiden Sukarno. Beliau kemudian bersama-sama terlibat untuk mengganyang Malaysia di bawah pemerintahan Presiden itu pada tahun 1963.
10. PKM melihat ada ruang untuk membawa orang Melayu bersamanya menentang British. Mengikut Ahmad Boestamam sendiri dalam bukunya, bahawa PKM telah datang berjumpa dengannya untuk memberi bantuan modal bagi menjadikan akhbar Suara Rakyat itu sebagai bahan propaganda menentang British. Beberapa ketika kemudian PKM telah meminta Ahmad Boestamam menubuhkan sebuah parti sosialis khas untuk orang Melayu; namun Ahmad Boestamam mencadangkan parti tu dinamakan Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) supaya ia mudah diterima oleh orang Melayu. Parti itu ditubuhkan sempena sambutan genap setahun kemerdekaan Indonesia dicapai. Bendera Indonesia 'Sang Saka Merah Putih' dan lagu Indonesia Raya menjadi jata rasminya. Parti itu dipimpin oleh Mokhtaruddin Lasso, seorang anggota Parti KOmunis Indomesia (PKI).
11. Ahmad Boestamam kemudian menubuhkan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang menggunakan slogan "Merdeka Dengan Darah". SEbuah bahagian wanita ditubuhkan dengan nama Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang dipimpin oleh Shamsiah Fakeh, isteri Ahmad Boestamam. Barisan Tani Malaya (BATAS) dan Barisan Buruh Malaya juga ditubuhkan. Ke semua ini kemudian bergabung dalam Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA). Mereka bekerjasama rapat dengan PKM (1946-1948) untuk menentang British dan UMNO yang sedang berunding untuk menubuhkan sebuah Persekutuan Tanah Melayu bagi mendapatkan semula negeri dan kedudukan politik seperti sebelum 1941. Kalau dahulu Ibrahim Yaakob bekerjasama dengan Jepun untuk merdeka bersama Indonesia, tetapi kini sebilangan kecil orang Melayu yang masih memperjuangkan Melayu Raya/ Indonesia Raya, bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya untuk mendapat kedudukan dan kuasa politik.
12. Mat Indera termasuk dalam kumpulan ini. Beliau percaya bahawa British itu penjajah. Beliau dengan itu menjadi anggota API dan sama-sama bergerak di bawah payung PUTERA dan PKM. Apabila British mengisytiharkan Darurat pada JUn 1948, semua parti itu terharam. Anggota PKMM, API, AWAS, BATAS dan Barisan Buruh Malaya yang menjadi anggota PUTERA, dengan itu memilih untuk ikut sama berjuang dengan PKM secara gerila di dalam hutan. PKM menubuhkan Rejimen 10 Khas untuk orang Melayu yang bergerak bersamanya. Abdullah C.D. menjadi ketuanya dan pusat gerakannya di Temerloh, Pahang. Di anggarkan seramai 300 orang termasuk wanita menjadi anggotanya. Ini termasuklah Manap Jepun, Wan Ali, Wahi Annuar, Shamsiah Fakeh, Ibrahim Chik dan ramai lagi. Ahmad Boestamam telah ditahan lebih awal manakala DR. Burhanuddin bergerak di Singapura. Pada bulan Disember 1950, Dr. Burhanuddin terlibat dalam kes Natrah dan dipenjarakan selama beberapa tahun di Singapura oleh British. Ternyata Mat Indera dan kumpulannya telah menjadi anggota dan penyokong PKM yang mengangkat senjata untuk menegakkan ideologi komunisme. Mereka menjadi kuda tunggangan KOmunis.
13. Kebangkitan sejata PKM itu telah ditentang oleh tenaga-tenaga muda anak-anak kampung yang bekerja sebagai POlis, Polis Khas (Special Constable) dan Polis Simpanan. Mereka menyahut seruan untuk menjaga keselamatan dan keamanan Persekutuan Tanah Melayu. Mereka sanggup menggadai nyawa untuk memburu pengganas komunis di hutan belantara walaupun gaji yang diterima sangat kecil. Seramai 161, 281 orang anggota Polis yang terlibat dalam penentangan terhadap pengganas komunis itu. Asakar Melayu juga memainkan peranan yang penting dalam usaha mengatasi ancaman komunis itu. Tiga Batalion telah ditubuhkan untuk menentang komunis dalam Darurat 1948-1960. Bersama-sama dengan pasukan anggota KOmanwel yang lain (British, Australia, New Zealand, Fiji, Gurkha dan Afrika), Askar Melayu dan pasukan Polis tempatan telah menentang sejumlah 12,500 pengganas komunis yang mengangkat senjata itu. Operasi ketenteraan British dan orang tempatan itu di samping tindakan-tindakan lain, telah berjaya memburu komunis sehingga akhirnya mereka terpaksa beroperasi kebanyakannya di sempadan Persekutuan Tanah Melayu dan Thailand pada 1953, menandakan kekuatan PKM dan penyokong-penyokongnya (Rejimen 10) telah dapat di atasi. Mat Indera kemudian dapat ditumpaskan oleh Askar Gurkha.
14. Pada tahun 1963/1967, PKM bangkit bagi kali kedua. Parti itu bekerjasama dengan PKI untuk mengganyang Malaysia. Di dalam negara pula, PAS pimpinan DR. Burhanuddin dan Parti Rakyat Malaya pimpinan Ahmad Boestamam sama-sama menentang penubuhan Malaysia di atas dasar Malaysia adalah neo-kolonialisme dan agenda blok Barat. Revolusi Brunei di bawah A.M. Azahari telah diadakan bagi menentang penubuhan Malaysia. Bagaimanapun, Malaysia terus dibina dan PKM dan PKI gagal untuk mendapat kuasa politik. Dalam Peristiwa 13 Mei 1969 sekali lagi menunjukkan campurtangan PKM melalui kerjasamanya dalam parti-parti politk ekstrim yang membangkitkan isu-isu perkauman dan sensitif. Ia mengambil peluang untuk mendapatkan kuasa politik secara kekerasan. Persitiwa 13 Mei telah menyaksikan pertumpahan darah antara kaum di Kuala Lumpur; beratus-ratus orang awam terkorban akibat rasa marah yang tidak terkawal. Pihak tentera dan polis serta komando sekali lagi bertugas menjaga keamanan negara.
15. INi bermakna PKM dan para penyokongnya termasuk Mat Indera tidak berhenti-henti cuba menegakkan ideologinya, dengan menggunakan kekerasan senjata untuk mendapat kuasa politik. Mereka yang mempertahankan keamanan itu adalah anggota polis dan tentera yang bekerja keras bergadai nyawa untuk kesejahteraan masyarakat terbanyak. Dengan kegigihan mereka memburu komunis di hutan belantara, maka ancaman pengganas komunis itu dapat diatasi. Kedaulatan dan kemerdekaan negara dapat dipertahankan. Apakah mereka pembelot bangsa.? Adakah patut Mat Indera dianggap pejuang apabila dia sanggup bersekongkol dengan komunis dan membiarkan bangsanya dan agamanya dimusnahkan? Mengapa pula orang seperti Mat Sabu sanggup mengagungkan penjenayah dan tidak berterima kasih kepada mereka yang telah berjuang menegakkan keamanan sehingga beliau mampu untuk menjadi wakil rakyat pada hari ini? Janganlah memesongkan sejarah dan menghina bangsa demi kepentingan politik peribadi..

Oleh,
Prof Datuk DR. Ramlah Adam
Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi
Universiti Teknologi MARA