Isnin, 5 Ogos 2019


perpecahan akidah punca keruntuhan tamadun islam


Khairi Jalalluddin


Akidah merupakan hal yang berkaitan dengan ketuhanan dan menjadi asas utama kepada pembinaan dan kemajuan tamadun Islam (al-Faruqi,2015). Ini kerana ia merupakan ikatan kerohanian antara umat Islam yang melangkaui kepelbagaian kaum, bangsa, fahaman dan ideologi. Implikasi daripada ikatan dan kesatuan akidah ini, akhirnya umat Islam telah dihormati dan pengaruh Islam telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Ruaidi, Tajulazhar, Maimun Aqsha & Isa (2014) menyatakan penanaman konsep ketuhanan dalam diri seseorang dan masyarakat mampu melahirkan tamadun yang gemilang mencakupi pelbagai aspek kehidupan.

Malangnya pada masa kini, umat Islam di serata dunia telah berpecah-belah akibat daripada pelbagai fahaman dan aliran dalam Islam. Fahaman yang pelbagai ini telah lama menular ke negara kita akibat daripada pelbagai faktor, antara penyumbang utamanya ialah penyebaran pelbagai fahaman daripada pelajar Malaysia yang belajar di luar negara khususnya graduan dari Timur Tengah (Zakaria Stapa, 2018)

Selain itu, perbalahan antara tokoh agamawan di Malaysia berkaitan isu akidah seperti isu “Allah bertempat atau tidak” telah didebatkan secara terbuka, bahkan disebarkan melalui media sosial khususnya youtube (Rozaimi, 2017). Hal ini tidak membantu mempercepatkan proses pembinaan ketamadunan Islam, sebaliknya menjadikan isu akidah punca perbalahan serta menimbulkan kebencian dan kekeliruan antara umat Islam. Menurut Adam (2016) masyarakat Islam dilihat cuba memperbesarkan jurang perbezaan antara salafi dan khalafi dengan menonjolkan perbezaan metodologi mereka, yang hakikatnya kedua-dua aliran tersebut masih lagi dalam ruang lingkup Ahlus sunnah wal jamaᶜah.

PERpecahan fahaman AKidah Pada Masa dahulu
Terdapat dua faktor perpecahan akidah masa dahulu iaitu faktor dalaman dan luaran. Pertama: Faktor dalaman iaitu di ketika pemerintahan Khalifah Usman dan Khalifah Ali (20-40H/664-661M), telah berlaku perpecahan politik yang diakhiri dengan pembunuhan mereka berdua (Dusuki, 1980; Tamim, 2014; Kolej Dar al-Hikmah, 2015). Kewujudan dua golongan Syiah dan Khawarij hasil daripada perbalahan politik ini menghasilkan fahaman-fahaman lain seperti Jabariyah (Jahmiyah), Qadariyah dan Mᶜutazilah. Umat Islam di ketika ini berhadapan dengan takwilan al-Quran dan periwayatan hadis palsu yang digunakan untuk menyokong fahaman masing-masing. Di zaman Bani Umaiyah, persoalan dan perbahasan isu akidah semakin melebar akibat daripada beberapa faktor seperti kepelbagaian fahaman akidah, keluasan empayar dan unsur-unsur agama lama dalam diri penganut Islam yang baharu memeluk Islam, contoh perdebatan berkaitan akidah di ketika itu seperti isu qada’ dan qadar. Menurut Khairunnas & Wan Muhammad Fariq (2013), perbalahan yang berlaku dalam isu tersebut, telah membawa kepada perpecahan umat Islam rentetan daripada isu lain yang timbul daripadanya seperti isu kafir-mengkafir, sesat dan menyesatkan antara satu sama lain.

Kedua: Faktor luaran yang berlaku di zaman Bani Abbasiyah (120-350H/737-961M). Permasalahan akidah di ketika itu tercetus rentetan daripada proses permindahan ilmu dari luar Tanah Arab. Hal ini telah berlaku dengan begitu pantas akibat daripada terjemahan ilmu asing ke dalam bahasa Arab. Para penterjemah dari golongan Yahudi, Kristian dan Parsi menyebarkan fahaman mereka melalui falsafah yang akhirnya terdapat perbezaan fahaman dalam ilmu akidah dan lahirnya ilmu kalam (Kolej Dar al-Hikmah, 2015).

Selepas zaman Bani Abbasiyah, golongan Asyai’rah yang dipelopori oleh Abu Hasan al-Asy’ari telah berkembang pesat. Beliau yang membawa aliran Ahlus sunnah wal jamaᶜah telah menentang fahaman Muktazilah. Aliran ini disokong dengan perubahan metodologi oleh tokoh-tokoh ulama Asyai’rah seperti al-Baghdadi, al-Juwaini, Imam al-Ghazali dan Al-Razi, manakala dari kalangan ahli falsafah seperti Ibn Sina dan al-Farabi (Wan Zailan, 1994).

Pada awal abad ke-7/8H telah muncul seorang ulama yang kontrovesi bernama Ibnu Taimiyah (661-728H/1263-1328M).Beliau telah menentang ilmu kalam dan falsafah yang melampau dalam mempertahankan akidah Islam. Beliau juga menentang golongan Asyai’rah, golongan Sufiyah (Tarekat) dan mereka yang taklid buta. Setelah itu, muncul gerakan yang dinamakan sebagai Salafiyah-Wahabiyah yang dipelopori oleh Muhammad bin Abd Wahab (1115-1206H/1703-1791M) dalam kurun ke 11/12H yang menghidupkan semula fahaman Ibn Taimiyah. Beliau telah berusaha untuk memurnikan akidah dan menghapuskan amalan syirik dan bidᶜah di seluruh pelusuk semenanjung Tanah Arab (Muhammad Faisal, 2010).

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa punca perpecahan akidah pada masa dahulu ialah akibat daripada perebutan kuasa politik dan sikap ᶜassobiyyah terhadap kumpulan masing-masing. Selain itu, kemunculan golongan Asyai’rah, Salafiyah-Wahabiyah, Syiah, Sufi, Khawarij, Jahmiyah dan Qadariyah menyebabkan umat Islam bertelagah dalam hal berkaitan cabang atau furu’ akidah. Dari sudut lain, perpecahan juga berpunca daripada kemasukan falsafah asing akibat daripada terjemahan ilmu oleh penterjemah Yahudi, Kristian dan Parsi ke dalam bahasa Arab. Nor Asiah, Mohd Othman & Hafizah (2017) menukilkan bahawa Syed Muhammad Naquib al-Attas berpendapat ilmu itu tidak bebas nilai atau neutral, tetapi sarat dengan nilai. Ini bermakna unsur fahaman dan ideologi penterjemah itu turut mempengaruhi ilmu yang diterjemahkan.

PERpecahan fahaman AKidah Pada Masa Kini
Terdapat dua faktor perpecahan akidah masa kini iaitu faktor dalaman dan luaran.Pertama: Faktor dalaman bagi permasalahan akidah masa kini telah sedia wujud di peringkat antarabangsa iaitu pertentangan antara fahaman Syiah dan Sunni. Iran merupakan negara yang mempunyai peratusan tertinggi pengganut Syiah (89-94%), manakala Arab Saudi pula mempunyai peratusan tertinggi pengganut Sunni (85-90%). Negara-negara lain seperti Iraq, Azerbaijan, Kuwait, Lubnan, Yaman, Bahrain dan Pakistan mempunyai penganut Syiah dengan peratusan yang melebihi 20%, manakala di Syiria walaupun penganut Syiah hanya 13% berbanding Sunni 74% kebanyakan pemimpin negara tersebut mengganut fahaman Syiah. Oleh itu, tidak hairanlah pertelingkahan yang tidak berkesudahan masih berlaku di Syiria sehingga kini. Peta geopolitik di bawah ini menunjukkan peratusan penganut Syiah di rantau Timur Tengah.





Terdapat beberapa usaha untuk memurnikan hubungan antara Sunni dan Syiah di peringkat antarabangsa khususnya bagi mencari titik persamaan antara dua fahaman tersebut (Ali Muhtaram, 2015), namun fahaman ini di Malaysia telah difatwakan sesat termasuk ajaran Syiᶜah Zaidiyah dan Syiᶜah Jaᶜafariyah (JAKIM, 2015). Fahaman Syiah ditolak untuk diamalkan di Malaysia kerana ia boleh menggugat keharmonian dan keselamatan negara (A.Halim, Zarina, Nor Azizan, 2018). Walau bagaimanapun golongan Syiah mutakhir ini semakin berkembang dan bergerak ke hadapan dengan menubuhkan Majlis Syiah Malaysia. Mereka tanpa taqiyah dengan berani telah menghantar memorandum terbuka kepada DYMM Yang DiPertuan Agong untuk memohon supaya mengkaji semula warta pengharaman aliran tersebut di Malaysia (Zakaria Stapa, 2018).

Selain itu, terdapat perdebatan hebat berkaitan dengan fahaman al-Ahbash atau Pertubuhan Kebajikan Islam yang berpusat di Lubnan sekitar tahun 2008 di Malaysia (Sulaiman, 2008). Fatwa negeri Perlis (2016) telah memutuskan bahawa golongan al-Ahbash ini adalah sesat, namun tidak diwartakan. Menurut Badlihisham, Othman Talib dan Sulaiman (2013) gerakan al-Ahbash mungkin menimbulkan kekeliruan, kontroversi dan menimbulkan fitnah khususnya dalam isu takfir, walaupun dalam sudut yang lain dilihat sebagai mengukuhkan aliran Ahlus sunnah wal jamaᶜah.

Manakala, aliran Salafiyah-Wahabiyah di Malaysia tidak difatwakan sesat tetapi menurut Abdul Syukor (2015) fahaman ini tidak sesuai diamalkan di negara ini. Di Negeri Sembilan Majlis Fatwa telah mengharamkan penyebaran fahaman Wahabi di negeri tersebut (Mohd Yusof, 2015).

Di bawah ini adalah jadual berkaitan perbezaan dan persamaan antara golongan Salafiyah-Wahabiyah dengan al-Ahbash dalam isu “Allah wujud tidak bertempat” atau “Allah berada di atas ᶜarash dan langit” yang menjadi perdebatan sehingga masa kini.

Bil
Kumpulan
Metodologi
Salahfaham
Tujuan
1.       1.
Salafiyah-Wahabiyah
itsbat dengan tanzih.
Contoh
الله فوق العرش مع أنه ليس كمثله شيء
Allah di atas ᶜarash (dan dalam masa yang sama (Tidak ada sesuatu/makhluk yang menyerupainya.

Fahaman ini membawa kepada mujassimah


Mentanzihkan/
Mensucikan Allah daripada sifat kekurangan

(Al-Syura: 11; al-Nahl: 17 & 74; al-Ikhlas:4 & al-Sofat: 180)
2.       2.
al-Ahbash
ta’wil atau tafwid.
Contoh
استوى بمعنى استيلاء أو ردّه إلى الله
Istawa bermaksud penguasaan atau serahkan maknanya kepada Allah
Fahaman ini membawa kepada muatilah

(sumber: Abdullah,1997; Bahagian Kajian dan Penyelidikan Islam di Jami’yyah al-Masyari’ al-Khairiyyah al-Islamiyyah,2005; Saᶜad, 2010)
Berdasarkan jadual ini, sewajarnya setiap kumpulan berlapang dada dengan perbezaan metodologi atau wasilah. Ini kerana setiap kumpulan mempunyai hujah masing-masing dan perkara yang lebih penting ialah tujuan mempelajari ilmu akidah ialah untuk mentanzih atau menyucikan Allah swt daripada sifat kekurangan. Ia bukan bertujuan untuk mengkafir sesama Islam atau melabelkan pihak lawan dengan akidah Yahudiyah sebagaimana yang telah dilakukan oleh kumpulan al-Ahbash (Jamil Halim, 2016). Menurut Badlihisham et al. (2013) gerakan al-Ahbash bukan merupakan rujukan utama bagi majoriti umat Islam di Malaysia. Walau bagaimanapun, metodologi ta’wil dan tafwid telah digunapakai oleh golongan Asyairah yang merupakan aliran dalam mazhab Ahlus sunnah wal jamaᶜah di Malaysia, namun ia bukan bertujuan untuk mengkafirkan mereka yang berbeza pendekatan dalam permasalahan cabang akidah.

Kedua: Faktor luaran perpecahan akidah masa kini pula ialah berkaitan dengan kemasukan fahaman-fahaman Barat. Setelah keruntuhan Kerajaan Abbasiyah akibat serangan tentera Tatar dan kemudiannya Kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah di Turki di zaman Sultan Abdul Hamid. Penjajahan Barat terhadap negara umat Islam telah berlaku selepas Perang Dunia Pertama. Barat telah memperkenalkan fahaman baharu seperti liberalisme, evolusionisme, sosiolisme, pragmatisme, nasionalisme dan sebagainya (Mohd Kamil, 1996). Mohd Aizam (2012) pula mengatakan ideologi Barat masa kini seperti sekularisme, kapitalisme, humanisme, hedonisme yang boleh membawa kesan negatif kepada iman dan akidah umat Islam. Kesemua ideologi ini adalah masalah yang datang dari Barat akibat tindak balas kongkongan fahaman agama dan feudalisme pada abad ke 18 M (Mahamad Naser, 2012). Malangnya fahaman tersebut yang sepatutnya diselesaikan di Barat telah dibawa ke negara-negara Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung khususnya ke negara Malaysia.

Menurut W Mohd Azam (2018) umat Islam masa kini berhadapan dengan cabaran semasa daripada Barat dengan sebahagiannya pada asalnya pemikiran silam yang dijenamakan semula dalam bentuk baharu. Isu-isu dalam era moden dan pasca modenisme seperti seperti human rights, feminisme dan pluralisme agama yang mendakwa semua agama adalah benar merupakan cabaran besar terhadap akidah umat Islam.

Begitu juga cabaran Islam Liberal yang sedang melanda umat Islam di nusantara. W Ismail, Mohd Nasir, Ahmad Syukran & Mohd Ismail (2015) menyatakan walaupun Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah memutuskan faham ini menyeleweng pada tahun 2006, ia sebenarnya masih menjadi satu ancaman dan cabaran kepada umat Islam di Malaysia. Walau bagaimanapun satu kajian kes telah dilakukan di sebuah sekolah menengah kebangsaan mendapati pengaruh elemen Islam Liberal berada di tahap yang rendah. Sungguhpun pun begitu, dapatan jelas membuktikan kewujudan pengaruh fahaman ini di sekolah tersebut (Muhamad Faiz, Ab. Halim & Kamarul Azmi, 2012)

Di antara ciri-ciri Islam Liberal ialah hanya mementingkan amalan ritual tanpa menjadikan Islam sebagai agama dalam kehidupan seharian, kebebasan dalam mentafsirkan nas al-Quran tanpa merujuk kepada ahli tafsir terdahulu (W Ismail et. al., 2015). Menurut Mohd Aizam (2013) antara doktrin mereka ialah mendahulukan logik akal apabila terdapat pertentangan antara nas dengannya. Selain itu, kebebasan memberi pandangan tanpa ada autoriti dalam agama dan menganggap semua agama menuju kebenaran (pluralisme).
Kesimpulannya, punca perpecahan fahaman akidah masa kini yang meruntuhkan tamadun Islam adalah disebabkan percanggahan aliran pemikiran Sunni dan Syiah. Dalam masa yang sama perpecahan di kalangan golongan Sunni telah mewujudkan kumpulan Asyai’rah, al-Ahbash, Salafiyah-Wahabiyah dan sebagainya. Selain itu, perpecahan pemikiran Islam juga berpunca daripada pengaruh fahaman dan ideologi Barat seperti pluralisme agama, liberalisasi agama, feminisme, human rights dan seterusnya membawa kepada fahaman Islam liberal di kalangan umat Islam. Justeru, umat Islam masa kini menghadapi cabaran besar bagi membangunkan semula keunggulan tamadun Islam sekiranya perpecahan akidah ini tidak ditangani secara bijaksana dan berhemah.