Konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin (RLA) sebagai Pemangkin Integrasi
Nasional
Oleh:
Khairi Jalalluddin
Pendahuluan
Sejak kebelakangan ini pelbagai istilah, konsep dan gagasan telah
digunakan untuk dijadikan dasar sesebuah kerajaan, organisasi dan kumpulan
tertentu. Kesemuanya adalah untuk mencapai tujuan tertentu yang pada asalnya
adalah baik tetapi terkadang-kadang disalahertikan untuk tujuan lain. Di
Malaysia, slogan seperti Islam Hadhari, Wasatiyah dan terkini Islam Rahmatan
Lil ᶜAlamin telah dijadikan dasar untuk menterjemahkan Islam adalah sebagai
agama yang boleh menyatu padukan masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Namun,
persoalannya apakah konsep Islam seperti Rahmatan Lil ᶜAlamin berupaya mengintegrasikan
pelbagai kaum di Malaysia. Jika benar, apakah pendekatan dan pengisian yang
telah dan sedang dilakukan?. Justeru, artikel ini akan cuba membincangkan konsep
Rahmatan Lil ᶜAlamin dari perspektif Islam, seterusnya mengenalpasti
permasalahan kaum dan bagaimanakah pendekatan yang digunakan untuk
mengintegrasikan kaum di Malaysia.
Konsep Rahmatan
Lil ᶜAlamin (RLA)
Rahmatan Lil ᶜAlamin adalah gabungan dari tiga perkataan iaitu
Rahmah, Lil dan ᶜAlamin. Pertama: Rahmah ialah al-Riqqatu wal al-Taᶜattufi
iaitu sikap belas kasihan yang disertai dengan perasaan simpati. (Ibn
Manzur, 1999 ). Manakala al-Asfahani
(2009) berpendapat Rahmah ialah al-Ihsan al-Mujarrad duna al-Riqqat
iaitu belas kasihan sahaja tanpa disertai perasaan simpati. Terdapat dua
pembahagian, jika disandarkan kepada Allah swt ia bermaksud belas kasihan
semata-mata dan jika disandarkan kepada manusia ia bermaksud simpati
semata-mata (Muhmmad Makmun, 2016). Ibn Jawzi (1987) telah memberikan 16
tafsiran secara literal berkaitan pengertian Rahmah iaitu (1) Syurga, (2)
Islam, (3) Iman, (4) Kenabian, (5) Al-Quran, (6) Hujan, (7) Rezeki, (8) Nikmat,
(9) Kesihatan, (10) Pemberian, (11) Kehalusan, (12) Pengampunan, (13) Keluasan,
(14) Kasih Sayang, (15) Pemeliharaan dan (16) Cahaya.
Al-ᶜAlamin pula bermaksud
jamiᶜu al-kholaiq iaitu semua makhluk ciptaan Allah swt (al-Baaz, 2007).
Shihab (2002) mengatakan bahawa al-ᶜAlamin ialah alam yang hidup seperti
alam manusia, alam malaikat, alam tumbuhan dan alam binatang, tetapi tidak ada
istilah alam batu. Namun, menurut H.Abuddin (2016), kesemua itu walaupun tidak
bergerak hidup seperti alam batu tetapi ia makhluk ciptaan Allah swt. Amini
(2019) mengatakan al-ᶜAlamin bermaksud keseluruhan alam, semua alam
semesta dan semua makhluk di dunia ini.
Justeru, Rahmatan
Lil ᶜAlamin bermaksud kasih sayang dan belas kasihan Allah swt terhadap
makhluk-Nya di dunia ini dengan mengutuskan Nabi Muhammad saw sebagai pembawa
rahmat yang bersifat universal. Perutusan Nabi Muhammad ini berdasarkan dalil
al-Quran dan Hadis sebagaimana yang berikut.
Dalil Al-Quran
Hujah dari ayat al-Quran yang paling dominan dalam kebanyakan
kajian ialah ayat 107 dari surah al-ᶜAnbiya’ yang bermaksud: “Dan tiadalah kami mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan
untuk (menjadi) rahmat bagi sekalian alam”.
Pelbagai tafsiran
berkaitan ayat tersebut dan telah diringkaskan oleh Amini (2019) sebagaimana jadual 1 yang berikut;
Bil
|
Tokoh Ulama
|
Kitab
|
Maksud Rahmatan Lil ᶜAlamin
|
1.
|
Al-Qurtubi
|
Jami’ li Ahkam al-Quran
|
Bagi mereka yang beriman dengan
perutusan Nabi Muhammad saw, mereka akan mendapat kebahagiaan. Bagi mereka
yang kufur, mereka akan diselamatkan daripada bencana seperti umat terdahulu.
|
2.
|
Ibn Kathir
|
Tafsir al-Quran al-ᶜAzim
|
Allah memberikan rahmat
kepada semua manusia. Sesiapa yang menerima rahmat ini dan mensyukuri
keberkatan ini, maka mereka akan berbahagia di dunia dan akhirat. Sesiapa
yang menolak dan mengingkari rahmat ini, maka sebaliknya.
|
3.
|
Al-Tabari
|
Jami al-Bayan fi Ta’wil
al-Quran
|
Allah swt mengutus Nabi
Muhammad saw sebagai rahmat bagi sekalian manusia sama ada orang Islam atau
orang bukan Islam. Rahmat bagi orang beriman bermaksud Allah swt memberikan
hidayah dan petunjuk kepada mereka dengan sebab kerasulan Rasulullah
saw.Rahmat bagi orang yang tidak beriman pula kerana tidak disegerakan bala
Allah swt ke atas mereka seperti yang telah berlaku kepada umat-umat yang
ingkar terdahulu.
|
4.
|
Al-Sayuti
|
Al-Durar al-Mansur fi
al-Tafsir al-Ma’sur
|
Beliau memetik hadith
riwayat Ibn ᶜAbbas mengenai maksud ayat ini iaitu, sesiapa yang beriman
dengan Nabi Muhammad saw, maka ia akan menerima rahmat yang penuh
kesempurnaan di dunia dan akhirat. Manakala sesiapa yang tidak beriman,
dihindarkan baginya azab dan bencana sepertimana yang diturunkan kepada umat
terdahulu.
|
5.
|
JAKIM (online)
|
-
|
107. And We have not sent
you forth (O Muhammad) but as a Mercy to all the worlds.
|
6.
|
Muhammad Shakir
|
The Koran University of Michigan Digital Library Production Service
|
107. And We have not sent
you but as a mercy to the worlds.
|
7.
|
Mohammed Marmaduke
Pickthall (1938)
|
The Meaning of The Glorious Quran
|
107. We sent thee not save
as a mercy for the peoples.
|
8.
|
Yusuf Ali
(Penterjemah)
|
The Holy al-Quran (1934)
|
107. We sent thee not, but
as a Mercy for all creatures. (There is no question now of race or nation, of
a “chosen people” or the “seed of Abraham”, or the “seed of David’ or of
Hindu Arya-varta , of Jew or Gentile, Arab or ᶜAjam (Persian), Turk or Tajik,
European or Asiatic, White or Coloured; Aryan, Semitic, Mongolian, or
African, or American, Australian or Polynesian. To all men and creatures
other than men who have any spiritual responsibility, the principles
universally apply.)
|
9.
|
Dr Muhammad Taqiuddin al-Hilali
dan Dr. Muhmmad Muhsin Khan
|
The Noble Quran
|
107. And We have sent you
(O Muhmmad) not but as a mercy for the ᶜAlamin (mankind, jinns and all the
exists)
|
10.
|
Zafar Ishaq Ansari
|
Towards Understanding The Qur’an Abridged Version (Leicester: 2006)
|
We Have sent you forth as
nothing but mercy to people of the whole world.
|
11.
|
Wahiduddin Khan
|
The Quran A New Translation
|
We have sent you forth as
a mercy to all mankind.
|
12.
|
Dr Shabbir Ahmed
|
The Quran As It Explains Itself
|
And thus, (O Prophet) We
have sent you not but as a Mercy for the Worlds. (Mankind will become one
Community through the Book revealed to you)
|
Menurut Amini ( 2019) , pendapat yang paling terbaik daripada tafsiran
yang disenaraikan di atas ialah pendapat yang diutarakan oleh al-Tabari iaitu
Rahmat bagi orang yang beriman bermaksud Allah swt memberikan hidayah dan
petunjuk kepada mereka (orang beriman) dengan sebab kerasulan Rasulullah saw,
manakala Rahmat bagi orang bukan Islam pula kerana mereka tidak disegerakan
bala bencana daripada Allah swt seperti umat-umat terdahulu yang mengingkari
para Rasul dan Nabi mereka. Ahmad Sanusi & Mohd Yusuf (2018), hakikatnya
pandangan al-Tabari ini ialah pendapat Ibn Abbas yang dinukilkan dalam kitab
beliau yang menyebut;
عن ابن عباس رضي الله عنهما في قوله: ( وما أرسلناك إلا
رحمة للعالمين ) ، الأنبياء 107 ، قال:
من آمن بالله واليوم الآخر كتب له الرحمة في الدنيا والآخرة ، ومن لم يؤمن بالله
ورسوله عوفي مما أصاب الأمم من الخسف والقذف.
Bermaksud: “ Daripada Ibn Abbas bahawa dia
mengatakan sesuatu berkenaan ayat (dan tidak kami utuskan engkau (wahai
Muhammad) melainkan sebagai rahmat buat sekalian alam), (Ibn Abbas) berkata: Sesiapa yang beriman
kepada Allah dan Rasul, maka akan ditulis ke atasnya rahmah (dia akan mendapat
rahmah), dan sekiranya dia tidak beriman, dia akan terselamat (ditangguhkan)
dari apa yang telah ditimpa terhadap umat terdahulu daripada bencana”.
Dalil Hadis
Terdapat beberapa hadis yang berkaitan dengan konsep Rahmatan lil ᶜAlamin.
Ia membawa maksud Rasulullah saw sendiri dengan erti kata tubuh badan dan
kehidupan baginda adalah Rahmah. Antaranya;
1.
Sabda
Nabi saw:
يا أيها
الناس إنما أنا رحمة مهداة
Maksudnya: “ Wahai sekalian manusia,
sesungguhnya aku adalah rahmat yang dihadiahkan oleh Allah”. (al-Darami,
2014)
2. Sabda Nabi saw:
وإنما بعثني رحمة للعالمين
Maksudnya: “
Sesungguhnya aku diutuskan adalah rahmat buat sekalian alam” (Abu Daud,
2009)
3. Sabda Nabi saw:
والذي نفسي بيده، لأقتلنهم، ولأصلبنهم، ولأهدينهم، وهم
كارهون، إني رحمة ، بعثني الله عزوجل ، ولايتوفاني حتى يظهر الله دينه
Maksudnya: “Dan
demi nyawaku yang berada di tanganNya, aku akan memerangi mereka, menyalib
mereka, dan memberi hidayah kepada mereka sekalipun mereka dalam keadaan yang
membenci. Sesungguhnya aku adalah rahmah yang diutuskan oleh Allah , dan Allah
tidak akan mematikan aku sehinggalah Allah memenangkan agamaNya”.
Bersadarkan hadis-hadis di atas khususnya hadis yang ketiga, ketegasan
itu juga adalah rahmah. Hal ini bagi melindungi aqidah, syariah dan syiar Islam
daripada diganggu-gugat. Sebagai contohnya sewaktu pembukaan kota Mekah,
Rasulullah saw telah menamakan beberapa orang bukan Islam yang sering menganggu
dan menghina Allah dan Rasul secara zahir (al-Mubarakfuri, tp.th). Baginda
mengarah supaya dibunuh sekalipun menyorok di sebalik kelambu Kaabah. Mereka
yang dinamakan itu antaranya ialah Abdullah ibn Abi Sarh, Abdullah ibn Khatal,
Miqyas ibn Sababah, Habbar ibn al-Aswad dan al-Harith ibn Talatil al-Khuza’i. Selain
itu, Khairul Azhar (2016) menyatakan orang bukan Islam dilarang melakukan
perkara yang boleh mengguris perasaan umat Islam seperti hasutan, provokasi
keagamaan, pencabaran hak serta penzahiran syiar agama mereka dalam kalangan
umat Islam.
Pandangan Ulama berkaitan konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin
Perbahasan berkaitan konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin tercetus apabila ia
dijadikan sebagai dasar negara di atas cadangan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (Mujahid, 2019). Di negara lain seperti Indonesia isu Rahmatan Lil ᶜAlamin
telah dibincang para ulama sehinggakan dijadikan sandaran dalam berdakwah
khususnya dalam menghadapi fahaman seperti Islam Liberal, Islam Progresif,
Islam Nusantara dan sebagainya (Muhammad Makmum, 2016). Di negara Arab
khususnya di Arab Saudi Perhimpunan Antarabangsa telah diadakan bagi
membincangkan konsep Rahmah dalam Islam pada awal tahun 2016. Berikut adalah
beberapa pandangan cendekiawan dan ulama Islam Malaysia masa kini berkaitan
konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin.
1. Siddiq Fadzil (2015), menyatakan konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin berdasarkan kepada al-Rahman, al-Rahim
dan Rahmah bermaksud segala ajaran Islam adalah rahmat, belas kasihan bukan
beban dan deraan. Dengan maksud lain Islam itu dilaksanakan mengikut kemampuan
bukan paksaan.
2. Mujahid (2019), menyatakan pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin berdasarkan al-Quran dan hadis Rasulullah saw.
Konsep ini membawa mesej Nabi yang bersifat sejagat dan rahmat untuk seluruh
alam. Ia juga membawa makna kasih sayang, perpaduan dan toleransi insani.
3. Ismail Ibrahim (2019) menyatakan kata nama
Rahmat mempunyai pertalian yang kuat dengan nama Allah yang bersifat al-Rahman
dan al-Rahim dalam Basmalah dan ayat kedua dalam surah al-Fatihah iaitu Rabbul
‘Alamin.
4. Abdul Ghani Samsudin ( 2018) berpendapat
konsep Rahmah itu mengandungi 6 unsur asas iaitu agama Islam, nilai akhlak 70
atau 60 cabang dan contoh akhlak Rasulullah (solat 5 waktu), corak pembentukan
Allah dan nilai takwa, persaudaraan Islam dan kembali menjadi ahli syurga.
Pendekatan NGO Islam berkaitan konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin
Konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin merupakan salah satu isu yang
dibincangkan oleh beberapa NGO Islam di Malaysia khususnya antara Ikatan Muslim
Malaysia atau ISMA dan Pertubuhan IKRAM Malaysia atau IKRAM (Muhammad Haikal
& Muhammad Arif, 2018). Perbahasan konsep ini terjadi apabila kedua-dua NGO
tersebut ingin mempraktikkannya dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama
di Malaysia.
Konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin menurut ISMA
ISMA merupakan sebuah NGO yang berlabelkan Islam. Ia ditubuhkan
pada tahun 1997 dengan menggunakan nama Ikatan Siswazah Muslim Malaysia. Pada
tahun 2005 nama tersebut telah ditukarkan kepada Ikatan Muslimin Malaysia. Ini
berikutan keahliannya tidak terbatas kepada kepada para siswazah sahaja, malah
turut disertai oleh masyarakat umum ( Abdullah Zaik, 2017). Dua slogan yang
terkenal yang digunapakai oleh ISMA ialah “Membina Umat Beragenda” dan “Melayu
Sepakat Islam Berdaulat” (Muhammad Arif, 2015).
ISMA bersetuju dengan
konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin yang berasaskan al-Quran dalam ayat 107 surah al-ᶜAnbiya’.
Namun penggunaan konsep tersebut dengan tafsiran yang dianggap longgar
terutamanya apabila berdepan dengan pemikiran liberal tidak dipersetujui oleh
ISMA. ISMA dilihat lebih berhati-hati dan tegas apabila melibatkan pendekatan
yang digunakan terhadap bukan Islam (Muhammad Arif, 2015). Sebagai contohnya, tindakan
ISMA apabila melancarkan kempen “Sejuta Ummah Tolak COMANGO” yang dianggap
bertentangan dengan ajaran Islam pada tahun 2013 (Aminuddin, 2013).
Konsep Rahmatan Lil ᶜAlamin menurut IKRAM
Pertubuhan IKRAM Malaysia merupakan gerakan dakwah yang sebelum ini
dikenali dengan nama Jamaah Islam Malaysia atau JIM. Ia ditubuhkan pada tahun
1990 dan digantikan dengan nama IKRAM pada tahun 2009 (Norazlan, 2015).
Pemikiran IKRAM dipengaruhi oleh gerakan Islam di luar negara seperti Ikhwanul
Muslimin. Slogan IKRAM ialah “Memacu Perubahan Malaysia Rahmah Berasaskan
Maqasid Syariah” (Mohd Parid, 2015)
IKRAM berpendapat konsep
Rahmatan Lil ᶜAlamin atau ringkasnya Rahmah adalah untuk semua lapisan dan
golongan masyarakat termasuk kepada bukan Islam. Ini berdasarkan kepada ayat 8
surah al-Mumtahanah yang bermaksud:
“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada
orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak
mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berlaku adil”.
Pendekatan Rahmah yang
digunapakai oleh IKRAM lebih kepada membuka ruang interaksi, dialog bersama
bukan Islam dan golongan liberalisme. Pendekatan yang tidak berkonfrantasi ini
dapat dilihat dalam isu COMANGO, IKRAM telah menjalinkan hubungan yang baik
dengan kumpulan-kumpulan gabungan COMANGO ini. Hal ini berbeza dengan pendekatan
ISMA yang dilihat tegas.
Persamaan dan perbezaan antara dua
NGO Islam ini boleh diringkaskan sebagaimana jadual 2;
Bil
|
NGO
|
Persamaan
|
Perbezaan
|
1.
|
ISMA
|
Bersetuju
dengan bahawa konsep Rahmatal Lil ᶜAlamin adalah berdasarkan prinsip al-Quran
ayat 107 surah al-ᶜAnbiya’
|
Bersifat
berhati-hati dalam mendekati golongan bukan Islam dan golongan Liberalisme.
|
2.
|
IKRAM
|
Bersifat
mengambil peluang untuk mendekati golongan bukan Islam dan golongan
Liberalisme.
|
Sumber: Muhammad Haikal & Muhammad
Arif (2017)
Permasalahan Kaum di Malaysia
Isu perkauman di Malaysia wujud sejak zaman penjajahan lagi. Menurut
Mohamed Ali & Mohammad Redzuan (2012) dan Mohamed Ali Hanifa, Ayu Nor
Azilah & Mohan (2018), permasalahan kaum sehingga mencetus pergaduhan
antara kaum Cina dan Melayu telah berlaku setelah Jepun berundur dari Tanah
Melayu hingga berlakunya Darurat.
Hubungan antara
dua kaum ini amat buruk dan dipenuhi dengan syak wasangka yang menebal akibat
daripada polisi dasar pecah perintah ( divide and rule ) penjajah
British. Setelah pendudukan Jepun pada tahun 1941, dasar berbaik-baik penjajah
Jepun dengan kaum Melayu menyebabkan berlaku ketegangan yang memuncak antara
kaum Cina dan kaum Melayu (Ali Hanifa, Ayu Nor Azilah & Mohan (2018). Antara
dasar berbaik-baik secara politik oleh Jepun kepada orang Melayu dengan memberi
pekerjaan kepada penduduk kampung dalam sektor perlombongan dan perdagangan,
mengiktiraf secara rasmi kuasa Sultan-Sultan dalam hal ehwal agama Islam,
membentuk Majlis Agama Islam Malaya dan mempergunakan Masjid dan Surau untuk
tujuan propaganda Jepun. (Ibrahim, 1981 & Kassim, 2002)
Manakala dasar permusuhan Jepun dengan kaum Cina di Tanah Melayu
adalah kesan daripada peperangan Manchuria atau “Peristiwa Mukden” antara Empayar
Jepun dengan Republik Cina pada tahun 1931. Mohamed Ali & Mohammad Redzuan
(2012) menjelaskan bahawa Jepun telah bertindak membunuh 70,000 orang Cina di
Singapura dengan melabelkan semua kaum Cina adalah komunis dan kaum Melayu
telah dipaksa menjadi tali barut Jepun yang akhirnya telah disalah erti oleh
kaum Cina.
Setelah pengunduran tentera Jepun dari Tanah Melayu pada tahun
1945, Komunis telah bertindak membalas dendam dengan melakukan kezaliman
terhadap kaum Melayu. Mereka telah mengambil alih pemerintahan selama 14 hari
sewaktu kekosongan kuasa. Antara kezaliman yang dilakukan ialah memaksa
Penghulu dan Ketua Kampung menjadi Anti Japanese Union (AJU) dan mengarahkan
mereka mengutip cukai daripada penduduk kampung, mengganggu urusan hal ehwal
Islam dengan menyekat solat Terawih dan beribadat di Masjid (Hairi, 1973).
Zulhilmi & Rohani (2003) menyatakan bahawa selepas kembalinya
British ke Tanah Melayu, hubungan antara kaum disusahkan lagi dengan isu
Malayan Union pada tahun 1946. Sungguhpun Malayan Union tidak dapat
dilaksanakan, namun ia membuka jalan kepada orang bukan Melayu mendapat
kerakyatan dengan mudah menerusi prinsip Jus Soli. Malayan Union akhirnya
digantikan dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian pada 16
September 1963 telah terbentuknya Persekutuan Malaysia dengan penyertaan Sabah
dan Sarawak.
Punca
Permasalahan Kaum
1.
Pertama
Faktor Ekonomi: Dasar pecah perintah British
sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini telah menyebab ketidakseimbangan
berlaku dalam masyarakat Malaysia dalam bidang ekonomi. Kaum Cina begitu terkehadapan
dalam menguasai bidang ini kerana British telah melibatkan mereka di dalam
sektor perlombongan, perniagaan dan perdagangan. Sementara kaum Melayu
dikekalkan dalam sektor pertanian, perikanan dan sebagainya. Justeru, taraf
hidup kaum Melayu dan lain-lain jauh tertinggal sehingga akhirnya mencetuskan
pergaduhan kaum pada 13 Mei 1969, peristiwa di Kampung Rawa, Pulau Pinang pada
13 Mac 1998, peristiwa di Kampung Medan, Petaling Jaya, Selangor pada 4 Mac
2001 dan lain-lain. (Azlan & Mohamad Iszuan, 2017)
2.
Kedua
Faktor Politik : Parti-Parti di Malaysia bersaskan
perkauman sejak sebelum merdeka. Tunku Abdul Rahman telah mendapat tentangan
pada awalnya kerana cuba menggabungkan parti-parti politik yang mewakili tiga
kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India. Kritikan hebat telah diberikan oleh
golongan elit dan pertengahan Melayu kerana dijangka akan mengancam masa depan
politik kaum Melayu ( Siti Hajar, 2002). Kesannya semua parti akan
memperjuangkan kaum masing-masing dan melihat kepentingan kaum mereka mestilah
didahulukan daripada perpaduan dan pembelaan untuk semua bangsa.
3.
Ketiga Faktor Sosial: Faktor sosial
boleh dibahagikan kepada tiga perkara iaitu pendidikan, budaya dan
agama. Dari sudut sejarah pendidikan, Malaysia telah mewarisi sistem yang
dibentuk oleh penjajah British yang melahirkan lima jenis aliran sekolah iaitu
sekolah pondok dan madrasah, sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular
Cina, sekolah vernakular Tamil dan sekolah Inggeris. Pada masa kini setelah
lebih 60 tahun merdeka, masyarakat berbilang kaum di Malaysia masih
mempertahankan sistem pendidikan vernakular.
Hal ini menyukarkan usaha untuk
mengintegrasikan kaum di Malaysia kerana kanak-kanak dari pelbagai kaum tidak
bersama kaum lain sewaktu mereka masih kecil. Menurut Mior Khairul (2011), tindakan
mempertahankan sekolah vernakular dari kalangan kaum Cina dan India kerana
ingin mempertahankan bahasa ibunda mereka serta menjamin hak-hak mereka.Oleh
sebab itu, sehingga kini usaha untuk menyatukan sistem persekolahan di
peringkat rendah dan memperkasakan Sekolah Kebangsaan menjadi buntu dan tiada
jalan penyelesaian yang konkrit.
Dari sudut budaya, masyarakat di
Malaysia masih mengekalkan budaya dan cara hidup masing-masing. Hal ini berbeza
dengan rakyat Indonesia yang mempraktikkan asimilasi secara paksaan sehingga
tradisi budaya pelbagai etnik hampir tiada. (Abd Aziz et al, 2017). Di Malaysia kebudayaan semua kaum dijaga dan
diraikan dalam pelbagai majlis yang menjadi kebangaan rakyat Malaysia.
Dari sudut agama, Islam adalah agama
rasmi persekutuan sejak merdeka, namun agama lain boleh diamalkan, tetapi
dilarang untuk disebarkan. Dasar Penjajah British dan Jepun yang tidak
mencampuri urusan hal ehwal agama Islam, menjadikan negara Malaysia tiada
banyak mengalami masalah di ketika itu, namun oleh kerana pendidikan berasingan
sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, melahirkan bibit-bibit perpecahan atas
faktor agama sebagai contohnya peristiwa perarakan kepala lembu dan khinzir,
kes murtad seperti kes Lina Joy, isu kalimah Allah pada tahun 2013 – 2014,
penghinaan merentasi agama dalam media sosial seperti isu Kelvin Yip, Kiki dan
lain-lain.
4.
Keempat
Faktor Akhbar & Media Sosial:
Sewaktu penjajahan dahulu, akhbar memainkan peranan penting dalam
memberi maklumat kepada pelbagai kaum di Tanah Melayu. Terdapat akhbar yang
bersifat perkauman yang menggangu usaha ke arah pengintegrasian kaum. Menurut
Mohd Riduan (2015) kaum Cina mempunyai beberapa akhbar dalam bahasa Cina, orang
India memilik akhbar dalam bahasa Tamil, orang Melayu juga memilik akhbar dalam
bahasa Melayu dan terdapat akhbar dalam bahasa Inggeris di era penjajahan. Setiap
akhbar mempunyai agenda, kiblat masing-masing dan bersifat perkauman. Hal ini
tidak membantu proses pengintegrasian dan penyatuan kaum di Malaysia.
Dalam abad ke-21, perkara
ini bertambah kronik. Ini adalah kerana maklumat boleh didapati dengan mudah
melalui internet atau media sosial seperti blog, whatsapp, facebook, twitter
dan telegram. Terdapat isu sensetif yang boleh menjejaskan integrasi
kaum akibat kenyataan provokasi beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sebagai contoh isu Alvin Tan dan Vivian Lee yang didakwa dibawah Akta Hasutan
kerana mempersendakan umat Islam dengan menyiarkan gambar makanan haram (sup
tulang babi) Bak Kut Teh dengan kapsyen “Selamat Berbuka Puasa”. (Astroawani,
2015)
Model Ibn Khaldun dalam Mengatasi Permasalahan Kaum
Sebagaimana
perbincangan lepas, Malaysia mempunyai sejarah yang menyebabkan kepelbagaian
kaum wujud sehingga kini, begitu juga punca dan permasalahan yang telah berlaku
menyebabkan pelbagai usaha dibuat untuk menjamin keadilan, kesaksamaaan,
keharmonian dan ketenteraman masyarat. Walaupun terdapat bibit perpecahan dan “bom
jangka” boleh menyebabkan perpecahan kaum, namun menurut Shamsul Amri (2008)
masyarakat Malaysia boleh hidup dalam keadaan baik kerana dapat mengurus stable
tension iaitu “ketegangan yang stabil” .
Oleh kerana masing-masing kaum mempertahankan
bahasa, budaya dan kepercayaan masing-masing, pendekatan yang digunakan ialah unity
in diversity iaitu perpaduan dalam kemajmukan atau kepelbagaian. Inilah
pendekatan Malaysia (Manhaj Malizi) yang membezakan negara ini dengan
negara lain di rantau ini seperti Indonesia yang mengamalkan asimilasi yang
cuba menghilangkan identiti kaum dan mewujudkan satu bangsa Indonesia (Abd
Aziz, Farrah, Aimi & Nurliana, 2017)
Terdapat
berbagai pandangan dan model yang diketengahkan untuk mempraktikkan unity in diversity ini iaitu Model Ibn Khaldun sebagaimana dalam kajian Rosfazila (2016) yang telah menjelaskan lima ciri dalam model tersebut iaitu ukhuwah, nubuwwah
daawat al-haq, al-mulk, asabiyyah dan ma’unah. Kesemua ciri tersebut telah ditafsirkan dan diselaraskan
dengan prinsip rukun negara Malaysia sebagaimana jadual 3.
Model Ibn Khaldun
|
Huraian Ringkas
|
Rukunegara
|
Ukhuwah
|
Persaudaraan dan saling hormat –menghormati antara kaum
|
Kesopanan dan kesusilaan
|
Nubuwwah daawat al-haq
|
Seruan kebenaran dengan menekankan kepada Rule of Law bagi
menjamin keadilan dalam masyarakat.
|
Kedaulatan undang-undang
|
Al-mulk
|
Kekuasaan negara merujuk kepada prinsip Demokrasi berparlimen dan
Raja berperlembagaan
|
Keluhuran perlembagaan
|
Asabiyyah
|
Solidiriti kepada YDP Agong dan kerajaan sedia ada ( The
government of the day)
|
Kesetiaan kepada Raja dan negara
|
Ma’unah
|
Eleman ketuhanan dan agama sebagai asas penyatuan masyarakat
berbilang kaum
|
Kepercayaan kepada Tuhan
|
Pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin dalam mengintegrasikan kaum
Islam
agama yang rahmah kerana mempunyai prinsip-prinsipnya yang sesuai pada setiap
masa dan tempat. Justeru, pelbagai pandangan untuk menterjemahkan Islam sebagai
Rahmatan Lil ᶜAlamin khususnya bagi memelihara hubungan dan pengintegrasian
pelbagai kaum di Malaysia.
1.
Kesejagatan (ᶜAlamiyyah-Universality)
Islam adalah
agama yang sempurna (al-Maidah ayat 3), syumul (Saba’ ayat 28) dan lengkap
(al-Nahl ayat 89). Dalam Islam terdapat perkara yang statik dan fleksibel, perkara
yang diperincikan dan bersifat umum. Ole itu, Islam dilihat sebagai agama yang
boleh diterima oleh umat manusia dari segi kesejagatannya. Ia bukan agama
bersifat eksklusif untuk masyarakat di Timur Tengah, tetapi bersifat universal
sehingga boleh diterima oleh pelbagai masyarakat di seluruh pelusuk dunia.
Kesejagatan dan
Pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin
Kesejagatan
atau universalnya Islam ini bersesuaian dengan pendekatan Rahmatan Lil Lil ᶜAlamin
dari sudut nilai-nilai Islam yang bersifat sejagat. Di Malaysia penerapan
nilai-nilai Islam telah dijadikan dasar negara pada tahun 1982 dan dilaksanakan
dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini. Nilai-nilai murni tersebut amanah,
tanggungjawab, ikhlas, dedikasi, sederhana, tekun, bersih, berdisiplin,
bekerjasama, berbudi mulia dan bersyukur (Abdullah, 1998). Pada masa kini
nilai-nilai Islam ini telah diteruskan dengan menjadikan Rahmatan Lil Lil ᶜAlamin
sebagai dasar kerajaan baharu. Perkataan RAHMAT itu sendiri telah digambarkan
oleh Mujahid (2019) sebagai R merujuk kepada Rahmah, A membawa maksud Aman, H
memberi erti Harmoni, M melambangkan Mesra, A menterjemahkan Alami dan H memberi
maksud Hormat. Jesteru, nilai-nilai Islam yang bersifat universal ini mampu
mengintegrasikan kaum kerana tidak sedikit pun bertujuan menghapuskan budaya
dan identiti masyarakat yang berbilang bangsa di Malaysia.
2.
Kepelbagaian (Tanawwᶜu-Variety)
Islam mengiktiraf kepelbagaian yang ada dalam dunia ini. Ia adalah
fitrah kejadian manusia. Hal ini berdasarkan firman Allah swt dalam ayat 22
surah al-Rum yang bermaksud: “Dan yang memahami kepelbagaian kekuasaan-Nya
ialah menciptakan langit dan bumi dan berbeza-beza bahasamu dan warna kulitmu.
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar- benar terdapat tanda-tanda bagi orang
yang mengetahui”.
Kepelbagaian dan Pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin
Menurut Mujahid (2019) Islam adalah
agama kebenaran, namun bukanlah sebagai satu lesen untuk menghina agama lain.
Islam itu dilihat rahmah apabila meraikan kepelbagaian agama (pluraliti) yang
ada khususnya di Malaysia. Ayat 99 & 100 dalam surah Yunus dan ayat 118 &
119 Surah Hud menjelaskan akan ada agama lain yang wujud selain Islam. Dalam
hal ini, terdapat salah faham berkaitan dua istilah pluraliti dan pluralisme
agama. Zulkifli al-Bakri (2019) menjelaskan bahawa pluralisme agama merujuk
kepada fahaman untuk menyamakan semua agama dengan maksud kebenaran ada dalam
semua agama dan syurga boleh boleh dicapai melalui mana-mana fahaman agama. Hal
ini adalah tidak benar dan berbeza dalam konteks Rahmatan Lil ᶜAlamin yang
mengiktiraf pluraliti (kepelbagaian atau kemajmukan) samada dari segi etnik, budaya
dan agama.
3.
Toleransi (Tasamuh-Tolerant)
Islam adalah
agama yang bertoleransi, bukan agama yang bersifat paksaan khususnya dalam
memaksa manusia memeluk agama Islam (ayat 256 surah al-Baqarah). Al-Qaradhawi
(2004) berhujah dengan ayat 79 surah al-Haj, ayat 99 surah Yunus dan ayat 8
surah al-Maidah yang menyatakan bahawa Allah swt dan Rasul saw menyeru berlaku
adil kepada manusia, walaupun kaum itu dibenci, begitu juga penentuan manusia
itu Islam atau tidak bukanlah ukuran di dunia tetapi di akhirat kelak. Umat
Islam dikehendaki dan mempercayai bahawa perbezaan agama yang dianuti oleh
manusia adalah kehendak Allah swt dan mempunyai hikmah di sebaliknya.
Toleransi dan Pendekatan
Rahmatan Lil ᶜAlamin
Zulkifli al-Bakri (2019) toleransi agama juga bukan membawa maksud
pluralisme agama. Tanggapan bahawa toleransi agama itu adalah pluralisme agama
adalah salah kerana Islam sejak dari dahulu lagi mementingkan toleransi dengan
pelbagai agama, kaum dan budaya. Justeru. Semangat toleransi ini adalah penting
untuk menjamin usaha mengintegrasikan kaum ini tercapai. Namun, terdapat kajian
sebelum ini yang mengatakan bahawa orang bukan Islam di Malaysia rasa kurang
berpuas hati dalam beberapa isu berkaitan agama seperti Islam agama yang
eksklusif, kebebasan beragama, pembinaan rumah ibadat, bidang kuasa mahkamah,
isu bahasa dan negara Islam ( Muhamad Faisal & Muhamad A’riff, 2019).
Begitu juga kajian Roslizawati, Mashitah, Marina & Khatijah (2018) yang
mendapati bahawa pemimpin Kristian berpendapat istilah toleransi beragama di
Malaysia sebagai negatif dan mendiskriminasikan bukan Islam. Terdapat juga
kajian yang kontra dengan kajian di atas yang menyatakan tahap toleransi agama
berdasarkan pengalaman mereka adalah sederhana dan baik, kerap dilayan dengan
baik walaupun berbeza agama dalam majlis-majlis tertentu (Khadijah, Khairul
Anwar & Fazilah, 2017)
4.
Akhlak
(Akhlaqiyyah-Ethic)
Islam agama
yang mementingkan akhlak. Hal ini dapat dilihat kepada tujuan diutus Nabi
Muhammad saw yang menyatakan bahawa perutusan baginda adalah untuk
menyempurnakan akhlak. Isteri baginda Saidatina Aisyah pernah menggambarkan
bahawa akhlak nabi itu adalah al-Quran,
yang bermaksud nilai-nilai tersebut terkandung dalam al-Quran dan diterjemahkan
oleh Nabi dalam kehidupan harian.
Akhlak dan Pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin
Islam meletakkan akhlak yang terpuji di tempat yang tinggi, banyak
perbahasan berkaitan akhlak dalam Islam khususnya dalam mendidik masyarakat,
malangnya umat Islam hari ini khususnya di kalangan remaja terjebak dengan
keruntuhan akhlak dan moral yang amat membimbangkan. Berdasarkan
stastistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes jenayah yang melibatkan pesalah
juvana meningkat 111 peratus (4,116 kes) dalam tempoh setahun iaitu pada tahun
2013 (7,816 kes) berbanding tahun 2012 (3,700 kes). Manakala, statistik
bilangan pelajar di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney berjumlah 2,353
orang pelajar pada tahun 2016. Majoriti pesalah juvana berbangsa Melayu yang
beragama Islam dengan kes jenayah berat seperti menagih dadah, merogol, meragut
dan membunuh (Berita Harian, 2017). Oleh itu, apakah pendekatan Rahmatan Lil
ᶜAlamin dalam hal ini. Dan bagaimanakah untuk menjadikan umat Islam dihormati
oleh bukan Islam di Malaysia?. Justeru, satu pendekatan berhikmah dengan
menyantuni golongan ini hendaklah dilakukan oleh semua pihak, bukan menyisihkan
golongan sebegini. Dalam isu LGBT yang melanda negara Malaysia (isu Nisha Ayub
& Pang Khee Teik) satu tindakan untuk mendekati golongan ini telah
dilakukan dengan memanggil, meminta penjelasan, berdialog dan menyatakan
pendirian bahawa Kerajaan tidak menyokong dan membenarkan LGBT dipromosikan
(Mujahid , 2019).
5.
Saling Berkenalan (Ta’aruf – To Know Each
Other )
Islam menyeru supaya umat Islam mengenali pelbagai kaum berdasarkan
ayat 13 surah al-Hujurat yang bermaksud “Wahai umat manusia!, Sesungguhnya
Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah
menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan
(dan beramah mesra antara satu sama lain). Ini adalah juga untuk memastikan
bahawa hubungan antara kaum dapat dijaga kerana pepatah Arab ada menyatakan
manusia akan memusuhi apa yang mereka tidak tahu “ al-Insan Aduwu li ma
juhila”.
Saling Berkenalan dan Pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin
Antara punca perpecahan kaum dalam sejarah Malaysia adalah kerana
terdapat pengasingan pekerjaan dan tempat tinggal pelbagai kaum. Penjajah
sengaja berbuat demikian (dasar pecah perintah) untuk memudahkan mereka
mentadbir dan mengaut keutungan dari Tanah Melayu tanpa ada sebarang bantahan
yang kuat dari penduduk setempat. Oleh hal yang demikian, pendekatan yang telah
dilakukan dari masa ke semasa sejak dari kemerdekaan negara adalah dengan
menyusun semua masyarakat yang berbilang kaum. Pelbagai dasar kerajaan telah
diperkenalkan seperti DEB, DPN dan sebagainya. Namun, perkara yang menjadi isu
ketika ini ialah bagaimana untuk mengenali antara satu sama lain jika pendidikan
masyarakat diasingkan sejak kecil?.
Justeru, pendekatan secara bijaksana
hendaklah dilakukan supaya keharmonian yang ada tidak diruntuhkan. Idea seperti
Sekolah Wawasan perlu diperluas dan diperkasakan selain kurikulum pendidikan
hendaklah menjurus kepada usaha memperkenal etnik, budaya dan agama yang
pelbagai kepada pelajar sekolah kebangsaan. Tidak keterlaluan jika dicadangkan
subjek Pendidikan Islam juga hendaklah dimasukkan asas-asas berkaitan tajuk
menghormati agama lain dengan erti kata memperkenalkan asas-asas agama
Kristian, Hindu, Budha dan sebagainya. Begitu juga cadangan supaya subjek
Pendidikan Moral dimasukkan juga asas-asas agama Islam. Ini bagi mengelakkan
kejutan budaya apabila mereka meningkat remaja.
Noor Aziera, Mohd Faizal, Rawi &
Siti Nurul Izza (2017) mengatakan bahawa taᶜaruf merupakan perkara
pertama dan asas dalam hubungan antara kaum, kerana ia menjadi titik tolak bagi
satu kaum untuk memahami kaum yang lain. Begitu juga untuk mereka yang bukan
Islam untuk mengenali Islam dan sebaliknya berdasarkan asas taᶜaruf ini.
6.
Saling
Memahami ( Tafahhum-Understanding)
Saling memahami antara satu sama lain adalah rentetan daripada prinsip
kenal mengenal Taᶜaruf sebelum ini. Islam menyeru umat Islam supaya
menjauhi prasangka dalam menjalinkan hubungan sosial. Rasulullah saw telah
memberi contoh yang terbaik bagaimana baginda melayan madᶜu atau orang
yang hendak didakwahnya antaranya sikap terbuka baginda terhadap orang bukan
Islam seperti memelihara nyawa mereka, berlaku baik dan menghormati mereka,
menziarahi mereka, memberi dan menerima hadiah dan memanfaatkan kepakaran orang
bukan Islam dalam urusan pekerjaan (Ahmad Sanusi & Mohd Yusof, 2018)
Saling Memahami dan Pendekatan
Rahmatan Lil ᶜAlamin
Prinsip Tafahhum ini amatlah penting bagi negara yang berbilang
kaum, budaya dan agama seperti Malaysia. Ia bagi mengelakkan salah faham
terhadap apa jua tindakan yang dilakukan khususnya yang melibat agama. Sebagai
contohnya pendekatan mengadakan program kebajikan di rumah ibadat agama lain
(dewan) sewajarnya dipandang positif oleh semua pihak. Mujahid (2019)
mengatakan bahawa tidak salah bagi seorang pemimpin menganjurkan program
kebajikan di rumah ibadat agama lain selagi kita menghormati agama mereka dan
mereka turut hormat agama kita (Islam)”.
7.
Saling
Bekerjasama (al-Ta’awun- Cooperataion)
Islam menggalakkan prinsip saling bekerjasama sebagaimana dalam
ayat 2 surah al-Maidah yang menyatakan bekerjasamalah dalam perkara kebaikan
dan ketakwaan dan jangan bekerjasama dalam perkara dosa dan permusuhan. Rashid
Redha pernah menyatakan :
نتعاون فيما اتفقنا عليه ، ويعذر بعضنا بعضا
فيما اختلفنا فيه
Maksudnya: “Bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati dan bertolak
ansur antara kita dengan sebahagian yang lain dalam perkara yang
diperselisihkan”
Saling Bekerjasama dan Pendekatan Rahmatan
Lil ᶜAlamin
Konsep
kerjasama ini boleh diperluaskan lagi kepada kerjasama dalam perkara sejagat
yang melibatkan pelbagai kaum seperti menjaga keharmonian dan keamanan negara. Melihat
kepada sejarah Malaysia kosep kerjasama ini telah dipraktikkan oleh pemimpin
politik untuk mencapai kemerdekaan. Dasar perkongsian kuasa antara pelbagai
kaum ini diteruskan dalam pemerintahan kerajaan baharu. Mahathir (2019)
mengatakan pembangunan negara Malaysia berstatus negara maju 2025 memerlukan
kerjasama antara kaum. Semangat perpaduan yang ditunjukkan sejak awal
kemerdekaan turut membolehkan negara Malaysia mengharungi cabaran rusuhan
antara kaum pada 13 Mei 1969. Beliau mengatakan bahawa cita-cita besar untuk
menjadi negara maju 2025 agak terlewat dari sasaran wawasan 2020 sebelum ini
akibat kekangan yang tidak dapat dielakkan.
8.
Kemanusiaan (Insaniyyah – Humanity)
Sifat kemanusiaan telah termaktub dalam al-Quran ayat 70 surah
al-Isra’ yang bermaksud “ Dan sesungguhnya kami telah muliakan anak-anak
adam (manusia)”. Memuliakan di sini bererti menjaga hak-haknya tidak kira
bangsa, agama, budaya dan sebagainya. Dalam satu peristiwa yang terkenal,
Rasulullah saw pernah bangun dari tempat duduk terhadap jenazah orang Yahudi.
Lalu sahabat bertanya, bukankah dia seorang Yahudi?. Rasulullah saw menjawab:
Bukankah dia seorang manusia?. Hadis ini menjelaskan bahawa penghormatan
hendaklah dilakukan kepada bukan Islam walaupun jenazah mereka, apatah lagi
yang masih hidup sudah tentu dihormati hak-hak mereka.
Kemanusiaan dan Pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin
Pendekatan
Rahmatan lil ᶜAlamin yang melangkaui fahaman agama hendaklah dilaksanakan
dengan mengambil kira “manusia” itu perlu dilayan sebagai manusia dengan
menjaga hak-haknya. Istilah dan label seperti kafir, kafir harbi dalam wacana
Islam hendaklah diubah kepada yang lebih sesuai. Al-Qaradhawi (2014)
mencadangkan wacana Islam masa kini di era globalisasi hendaklah diubah seperti
perkataan “orang kafir” ditukarkan kepada “orang bukan Islam”, “ahli zimmah”
di tukarkan kepada warganegara (muwatinun) . Begitu juga tidak
melabelkan kafir harbi (kafir yang memerangi Islam) kepada orang bukan
Islam di Malaysia yang tidak sefahaman dari sudut politik, sedangkan
perlembagaan negara Malaysia menjamin warganegara bukan Islam (Mujahid,2018).
Kesimpulan
Konsep dan pendekatan Rahmatan Lil ᶜAlamin bertepatan dengan
al-Quran, Hadis serta pandangan ulama
besar kontemporari seperti Yusof al-Qaradhawi. Walaupun terdapat sedikit
perbezaan antara NGO Islam seperti IKRAM dan ISMA, namun perbezaan hanya dari
sudut pendekatan bukan matlamat. Perlaksanaan Islam Rahmatan Lil ᶜAlamin ini
juga mengambil kira faktor sejarah, kesan penjajahan dan punca perpecahan kaum
di Malaysia. Selain itu, konsep ini berupaya menangani isu kepelbagaian kaum jika
dilaksanakan dalam bentuk dakwah yang telus, dan bukan atas pentas politik
kepartian tertentu. Ia juga boleh dijadikan asas dan panduan dalam usaha
mengintegrasikan pelbagai kaum di Malaysia.
Rujukan
Al-Qaradhawi.2004.Khitabuna al-Islamiy fi 'Asri al-Aulamah. Kaherah: Dar al-Syuruk
Al-Qaradhawi.2004.Khitabuna al-Islamiy fi 'Asri al-Aulamah. Kaherah: Dar al-Syuruk
Abdul Ghani Samsudin.2018. https://www.slideshare.net/AbdulGhani2/malaysia-baharu-satu-perspektif-latest-126412686
(31 Mei 2019)
Abdullah Ab.
Rahman. 1998. Pelaksanaan dasar Penerapan Nilai –Nilai Murni di Tiga Agensi Induk
Jabatan Perdana Menteri. http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/9070/1/FPP_1998_74_A.pdf
(25 Mei
2019)
Amini Amir
Abdullah.2019.Konsep dan Gagasan Rahmatan Lil Alamin. Majalah Dakwah YADIM. 46:
30-35
Astroawani.2015. Tindakan
Alvin Tan, Vivian Lee Hina Agama Islam-Saksi http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tindakan-alvin-tan-vivian-lee-hina-agama-islam-saksi-82147
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tindakan-alvin-tan-vivian-lee-hina-agama-islam-saksi-82147
( 1 Jun 2019)
Berita Harian.2017. Pembentukan Sahsiah Anak
Tanggungjawab Ibu Bapa.
Hairi
Abdullah.1973. Kebangkitan dan Gerakan Tentera Selendang Merah dalam Sejarah
Daerah Muar dan Batu Pahat. http://journalarticle.ukm.my/533/1/1.pdf (31 Mei 2019)
Ismail
Ibrahim.2019. Rahmatan Lil Alamin: Pelaksanaannya Dalam Masyarakat Majmuk.
Majalah Dakwah YADIM. 46: 12-21
Ibrahim
Mahmood.1981.Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Penebit
Pustaka Antara.
Kassim
Thukiman.2002.Malaysia, Perspektif, Sejarah dan Politik. Johor
Bahru:Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Khadijah Muda, Khairul Anwar Mastor & Fazilah Idris. 2017.
Pengalaman Toleransi Beragama Belia Pelbagai Etnik. International Journal of
Islamic and Civilizational Studies. UMRAN. 1 (5): 100-107
Muhamad Faisal Ashaari & Mohamad A’riff Khushairi.2019. Isu-Isu
Agama dalam Hubungan Kaum di Malaysia 1980-2005. International Journal of
Civilization Studies and Human Sciences. 2 ( 1) : 87-98
Mujahid
Yusof.2019. Gagasan Pentadbiran Islam di Era Malaysia Baharu. Teks Ucapan
Sempena Perhimpunan Agensi-Agensi di Bawah YB Menteri di JPM bertempat di JAKIM
pada 7 Januari 2019
Mujahid Yusof.2019. Hindar Islamfobia dengan Fahaman Agama Sempit. https://www.sinarharian.com.my/article/30984/BERITA/Nasional/Hindar-Islamofobia-dengan-fahaman-agama-sempit-kata-Mujahid.
(1 Jun 2019)
Mujahid Yusof.2018. Larang Guna
Istilah Kafir Harbi & Zimmi, Malaysia Bukan Negara Islam Sepenuhnya https://www.youtube.com/watch?v=F-Cc3iBscoI
https://www.youtube.com/watch?v=F-Cc3iBscoI
(1 Jun 2019)
Mahathir Mohamad.2019. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerjasama-perpaduan-kaum-penentu-capai-status-negara-maju-2025-tun-m-198051
(1 Jun 2019)
Roslizawati Mohd Ramly, Mashitah Sulaiman, Marina Munira Ab.
Mutalib dan Khatijah Othman.2018. Persepsi Pemimpin Agama Kristian Terhadap
Konsep dan Amalan Toleransi Beragama di Malaysia. Journal of Islamic
Sciences an Humanities. 16: 235-245
Siti Hajar Abu
Bakar.2002. Pengantar Dasar Sosial Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit
Universiti Malaya
Shamsul
Amri.2008. Malaysia in a State of Stable Tension.
https://www.thestar.com.my/news/nation/2008/05/22/malaysia-in-a-state-of-stable-tension-
says-don/ (28 Mei 2019)
https://www.thestar.com.my/news/nation/2008/05/22/malaysia-in-a-state-of-stable-tension-
says-don/ (28 Mei 2019)
Zulhilmi Padi & Rohani Ab.
Ghani.2003. Kenegaraan Malaysia: Isu-Isu dalam Pembinaan Negara.
Kuantan: PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Zulkifli
Mohamad al-Bakri.2019. Pluraliti Agama Bukan Pluralisme Agama.
http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/tashih-al-mafahim/2999-tashih-al-mafahim-8-
pluraliti-agama-bukan-pluralisme-agama (30 Mei 2019)
http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/tashih-al-mafahim/2999-tashih-al-mafahim-8-
pluraliti-agama-bukan-pluralisme-agama (30 Mei 2019)