Selasa, 6 September 2011

Menyambut Rombongan Pertama Pelajar Malaysia (Anak Perak) ke Mesir

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Jam menunjukkan 12.45 malam, mataku masih tidak mengantuk akibat keletihan hari ini. Tapi Alhamdulillah ada kepuasan di sana. Lalu aku membuka blog baruku ini untuk mencoretkan notaku. Hari ini 6 Sept, jam 7.30 pg aku telah bersiap untuk ke Airport bagi menyambut rombongan pertama pelajar Malaysia yang datang dari negeri Perak. (Terima kasih Pegawai HEP Perak kerana memaklumkan).



Kehadiran pelajar Perak di Terminal 2 dengan Kapal Terbang Royal Jordanian mengingatkanku semasa menaiki pesawat itu sewaktu belajar di Jordan. Sebenarnya Terminal 2 (Arrival), Cairo, Airport ini adalah kali pertama aku memasukinya sehingga ke tempat parking kapal terbang. Gambar di atas kelihatan anak-anak Perak sedang turun dari pesawat dan terus menuju ke pintu tempat aku sedang terpacak.




Lalu salam dihulurkan. Aku mengucapkan "Ahlan wa sahlan". Selamat datang ke bumi Mesir. Seramai 41 orang telah sampai diiringi oleh Pegawai MAIP. Aku membawa mereka turun ke tingkat bawah dan berdepan dengan imigresen. Terdapat beberapa orang Pegawai Keselamatan Mesir datang dan bertanyakan ke manakah rombongan ini akan dibawa, berapa bilangan, siapa uruskan dan untuk tujuan apa. Alhamdulillah jawapan diberikan dan mereka berpuashati, lebih-lebih lagi bila aku menyebutkan "Ana min Safarah Malaziya". (Maklumlah visa masuk yang digunakan ialah visa pelancong yang valid hanya 3 bulan.) sesuatu yang mungkin berbeza dengan negara lain yang mensyaratkan visa pelajar jika mahu belajar di negara yang berkenaan.




Setelah itu, aku meminta pelajar mengeluarkan pasport dan mengisi borang ketibaan jika belum lagi mengisi, ada juga yang hilang borang kecil itu. Tapi untuk mendapatkannya adalah mudah dan tiada masalah. Pelajar kemudiannya melalui imigresen dan aku membantu mengeluarkan troli dan menunjukkan cara mengambil troli. Suatu yang amat aku gembira ialah tiada beg pelajar yang hilang sebagaimana tahun lepas, jika hilang sudah tentu akan menyebabkan urusan bertambah lambat, maklumlah orang arab buat kerja semua manual. 

Setelah semua berkumpul, aku memanggil pengiring mereka dan mengatakan bahawa tugasku untuk melancar pergerakan di dalam Airport ini telah selesai, kini aku ada mesyuarat tergempar di Pejabat Kedutaan dan menyerahkan pelajar kepada anak-anak Perak yang sedang menunggu di luar. Justeru, aku terus keluar bersama mereka, rupanya ramai yang dah tunggu untuk mengambil beg, mengingatkanku semasa belajar dahulu, macamtulah semangat abang-abang senior membantu. Harapanku berilah bantuan kerana Allah SWT bukan kerana dunia. Aku sempat bertemu YDP BKAN Perak yang agak rapat denganku, "Ustaz Asyraf semua selesai dan selamat..." dan aku mengukirkan senyuman... kerana ingin bergegas ke Pejabat Kedutaan dan sebelah petang ada jemputan Rumah Terbuka TYT Duta. Harapanku sekali lagi, jagalah adik-adik baru ini dengan baik, ingatkan mereka tentang tujuan keberadaan mereka di Mesir dan jangan dialihkan dengan hal-hal lain. Sekian notaku hari ini.