Jumaat, 26 Ogos 2011

Program G to G dan MoU untuk Fakulti Perubatan di Universiti di Mesir

Assalamualaikum  kepada para pembaca yang budiman,


Prof Dr. Abdel Hakim A. Khalil, Naib Presiden Universiti Tanta
(Akademik & Hal Ehwal Pelajar)

Ada dua program yang sedang berjalan di Universiti di Mesir di mana ramai pelajar baru dan ibu bapa kurang jelas. Pertama program G to G iaitu program yang telah dimetrai antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Mesir . Kedua program MoU adalah perjanjian yang dibuat antara Kerajaan Malaysia dengan Universiti terbabit. Pada tahun 2006 program MoU telah membuka jalan kepada kemasukan ramai pelajar Malayu ke Mesir. Ini berikutan kouta MoU boleh menjangkau hingga 2000 kerusi, kerana pengambilannya amat mudah dan tidak mementingkan syarat minimum KPT Malaysia (sebab bayar mahal dari G to G). Justeru, terdapat beberapa agensi luar telah mengambil kesempatan dari hal tersebut.

Perbezaan antara Program G to G dan MOU

1. Kouta
1.1 Kouta yang diperuntukkan untuk program MoU pada tahun lepas ialah 1400 tempat, tahun ini telah diberi hingga 2000 tempat merujuk kepada tawaran Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa (Idaratul Wafidin) KPT Mesir.
1.2 Kouta bagi pelajar G to G terhad sebanyak 100 tempat sahaja.

2.Yuran
2.1 Yuran Pengajian bagi program MoU adalah lebih mahal harganya kesemuanya USD 48,000.00 = RM 152, 000.00 sepanjang 6 tahun. Mulai sesi 2010/2011 yuran diseragamkan antara semua Fakulti samada Perubatan, Pergigian atau Farmasi iaitu USD 8,000 setahun.
2.2 Manakala yuran bagi program G to G pula ialah 10,500.00 Pound Sterling = RM 75,000.00sepanjang pengajian.

3. Bahasa Pengantar
3.1 Bahasa yang digunakan untuk program MoU dalam bahasa Inggeris
3.2 Adapun bagi program G to G dalam bahasa Arab pasar*

4. Kelas
4.1 Kelas bagi program MoU adalah kelas khas maksudnya semuanya orang Malaysia dalam satu kelas.
4.2 Sedangkan kelas bagi program G to G adalah bercampur dengan orang Arab*.

* Walau bagaimanapun buku dan soalan peperiksaan, jawapan dalam bahasa Inggeris.

Permasalahan Program G to G

Pengalaman mengurus kemasukan pelajar sesi 2010/2011 ke Universiti di Mesir amat mencabar kerana berurusan dengan orang arab tidak semudah yang disangkakan. Budaya IBM (Insya Allah, Bukrah (esok) dan Ma'alish (tak apalah) kadang-kadang menyebabkan kesabaran kita diuji, ditambah lagi dengan duit kopi. Gejala ini masih menular walaupun negara telah revolusi. Betullah revolusi dalam bentuk lahiriah boleh dicapai dengan beberapa minggu, tetapi revolusi mental memerlukan masa yang agak lama. Itu pun jika pemimpin yang dipilih mampu melakukan perubahan.(Walaubagaimanapun... Alhamdulillah beribu pelajar perubatan, Pengajian Islam, Maahad Qiraat dan Kuliah Ulum Islamiah dapat memasuki Universiti hasil usaha pihak JPMK(EME sekarang ini))

Permasalaan G to G berlainan dengan MoU, kemasukannya yang agak ketat (sebolehnya semua subjek SPM dapat A+), malah lebih rigid dari syarat KPT Malaysia, mungkin kerana yuran murah dan 5 orang setiap tahun akan dapat biasiswa Mesir. Sesi 2010/2011 menyaksikan tidak sampai 20 orang dapat memasuki ke program tersebut. Permohonan pelajar G to G telah ditukarkan kepada program MoU akibat tidak mencapai tahap kelayakan KPT Mesir, hal ini menyebabkan urusan fail bertambah lambat dihantar di peringkat KPT Mesir ke Universiti ditambah lagi terdapat pelajar yang lewat membayar "qidam muahhil" iaitu denda SPM lewat tahun . Untuk makluman hanya 3 tahun sahaja valid SPM dari tarikh pendaftaran kemasukan di Universiti Azhar dan di Universiti di bawah KPT Mesir pula masih ada kelonggaran tetapi setiap tahun lewat didenda LE 500.00, jika 5 tahun ermmm... makin banyaklah yang akan dibayar.

Isu 2 orang pelajar di Tanta

Berdasarkan beberapa masalah yang berlaku di atas, terdapat pelajar yang sepatutnya berada di kelas G to G telah belajar ke kelas MOU. Hal ini menyebabkan pihak pentadbiran Universiti tidak berpuas hati kerana "bayar murah tetapi hendak belajar di kelas Mahal" sebagaimana yang berlaku di Cairo University. Setelah hubungan melalui telefon dibuat dan pertemuan semuka, jelas pihak pentadbiran tidak membenarkan pelajar yang berkenaan mengambil peperiksaan sebagai hukuman kerana meninggalkan kelas yang sepatutnya mereka hadir (Kehadiran 75%). Pihak kami juga mempertikaikan seorang pelajar lagi yang terlepas masuk peperiksaan (Dekan Perubatan Universiti tersebut dipersalahkan oleh Pentadbiran), rupanya setelah diselidiki pelajar tersebut telah mendapat biasiswa kerajaan Mesir. Ini yang menyebabkan ada berbezaan dengan seorang lagi. Pihak Kerajaan Mesir tidak mahu berlaku kerugian bagi pelajar tajaannya. Namun apa yang dibuat oleh Universiti tersebut tidak ada keadilan pada pandangan peribadi saya, yang akhirnya menyebab pelajar yang "tidak dapat biasiswa" itu akan dikira masuk ke sesi baru pada bulan 9 ini. Beginilah urusan di Mesir dan gelagat pelajar di Mesir... sebelum saya hadir dan juga bagi mereka yang akan mengantikan saya nanti.

Di bawah ini kenyaataan rasmi pihak EME berkaitan hal tersebut.

Pelajar Perubatan (G To G) Memasuki Ke Kelas (MoU) : Amaran Keras

Pihak EME telah dimaklumkan oleh pentadbiran universiti tentang amalan pelajar (G to G) yang berkenaan memasuki kelas perubatan (MoU) ; seperti kes Mohamad Aliff bin Sofian Gan dan Iramaya bt. Abdul Hamid dari Universiti Tanta. Perbuatan ini adalah menyalahi peraturan universiti dan menyebabkan mereka dihalang memasuki peperiksaan kerana kehadiran di kelas yang sebenar tidak mencapai 75%. Justeru, pihak EME memberi amaran keras kepada pelajar terbabit dan yang akan datang (sesi 2011/2012) supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut.Sekian dimaklumkan.


Penyelesaian  masalah G to G sesi 2011/2012



Melihat kepada isu pelajar G to G sesi 2010/2011, strategi baru diperkenalkan.

1. Memanggil semua pegawai HEP Negeri untuk melihat dan menyemak pelajar perubatan apakah mereka hendak mengikuti G to G atau MoU khususnya pelajar yang datang persendirian. (diminta untuk menelefon pelajar terbabit  mengikut negeri masing-masing di Malaysia)
2. Memastikan mereka yang mengikut syarat KPT Mesir (untuk G to G) sahaja yang akan dihantar ke Idaratul Wafidin (Pejabat Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa), KPT Mesir dan tidak melayan pelajar yang hendak ke G to G yang syaratnya tidak menepati syarat KPT Mesir.

Sekian dimaklumkan.

"Sedia membantu dan berkhidmat pada bila masa dan ketika"

Khairi Jalalluddin
Atase Pendidikan EME