Isnin, 29 Ogos 2011

Ucapan Khas Aidil Fitri & Kemerdekaan dari Kaherah



Assalamualaikum & Salam 1Malaysia,

Bersempena Aidilfitri 1432 Hijrah yang mulia ini saya sekeluarga ingin memohon ampun dan maaf zahir & batin sekiranya ada melakukan kesilapan dan terlanjur berbicara.

Pepatah Arab mengatakan;

وما سمي الانسان إلا لنسيانه *** وما سمي القلب إلا لشدة تقلب
Maksudnya tidaklah dinamakan manusia kecuali kealpaannya dan tidak dinamakan hati kecuali ianya berbalik-balik.

Oleh kerana itu, sebagai manusia biasa saya tidak lari dari kesilapan khususnya dalam urusan harian samada rasmi atau tidak rasmi. Namun bukan bererti kita redha dengan kegagalan, bahkan kegagalan itulah yang mengajar kita apa erti kejayaan pada masa akan datang.

Firman Allah SWT;

Maksudnya akan ditimpa kehinaan/kehancuran kepada mereka walau di mana sahaja berada, kecualilah mereka yang menjaga hubungan dengan Allah SWT dan hubungan dengan manusia.

Dua elemen penting ini iaitu hubungan dengan Allah SWT dan manusia hendaklah seiring, tidaklah cukup hanya mengucap 2 kalimah syahadah, solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Mekah tetapi hubungan kita sesama manusia dikesampingkan.

Kalaulah ada silap dan salah, perbezaan pendapat bukanlah bermakna ia satu kebencian, tetapi saya percaya "perbezaan pendapat itu adalah rakan karib terbaik" lebih-lebih lagi pendapat yang diberi itu adalah membina bukan meruntuhkan antara satu sama lain.

Imam as-Syafie menunjukkan sikap keterbukaannya apabila beliau mengatakan;

رأيي صواب يحتمل الخطأ ورأي غيري خطأ يحتمل الصواب
Maksudnya bagiku pandanganku adalah tepat barangkali ada kesilapan, dan pandangan orang lain adalah salah tetapi barangkali ada ketepatan padanya.

Saya juga berpendapat tidak salah kita berbeza pendapat, yang jadi masalahnya apabila kita mendakwa diri kita paling Islam, paling banyak beri kebajikan, paling lantang perjuangkan kebenaran tetapi semata-mata propaganda. Hal ini amatlah dikesalkan lebih-labih lagi di bumi Kinanah ini.

Saya berpandangan bahawa persatuan yang berbeza label antara ISMA, ABIM, Kelab UMNO, PERUBATAN dan lain-lain bukanlah untuk kita bergasak sesama sendiri, tetapi saling melengkapi "Takaamul" ke arah kecemerlangan pelajar di dalam akademik dan kemahiran Insaniah. Bebaskanlah, merdekakanlah dari belenggu mereka yang bertopengkan kebajikan dan kebebasan Mahasiswa/wi selama ini.

Firman Allah SWT;
 فإذا الذي بينك وبينه عداوة كأنه ولي حميم
Maksudnya sekira ada berlaku permusuhan/kebencian di antara kamu dan dia ( maka buangkanlah permusuhan itu dan) jadilah teman yang paling rapat.

Akhir sekali, saya ingin menyusun 10 jari memohon kemaafan sekali lagi, "buang yang keruh, ambil yang jernih" . "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh." Jadikanlah bumi Mesir ini sebagai tempat perpaduan bangsa Melayu/Islam, tempat membina kecemerlangan dan sebagai contoh yang berguna kepada masyarakat Melayu di dunia ini.

Sekian Salam Aidilfitri dan Kemerdekaan kali ke-54;


"1Malaysia, Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera"


Khairi Jalalluddin