Selasa, 30 Ogos 2011

Ucapan Khas Khairi Jalalluddin sempena Aidil Fitri 1432 Hijrah


                                  Tempat: Rumah Kediaman Rasmi Atase Pendidikan, Mohandesein, Kaherah
                                  

Isnin, 29 Ogos 2011

Ucapan Khas Aidil Fitri & Kemerdekaan dari Kaherah



Assalamualaikum & Salam 1Malaysia,

Bersempena Aidilfitri 1432 Hijrah yang mulia ini saya sekeluarga ingin memohon ampun dan maaf zahir & batin sekiranya ada melakukan kesilapan dan terlanjur berbicara.

Pepatah Arab mengatakan;

وما سمي الانسان إلا لنسيانه *** وما سمي القلب إلا لشدة تقلب
Maksudnya tidaklah dinamakan manusia kecuali kealpaannya dan tidak dinamakan hati kecuali ianya berbalik-balik.

Oleh kerana itu, sebagai manusia biasa saya tidak lari dari kesilapan khususnya dalam urusan harian samada rasmi atau tidak rasmi. Namun bukan bererti kita redha dengan kegagalan, bahkan kegagalan itulah yang mengajar kita apa erti kejayaan pada masa akan datang.

Firman Allah SWT;

Maksudnya akan ditimpa kehinaan/kehancuran kepada mereka walau di mana sahaja berada, kecualilah mereka yang menjaga hubungan dengan Allah SWT dan hubungan dengan manusia.

Dua elemen penting ini iaitu hubungan dengan Allah SWT dan manusia hendaklah seiring, tidaklah cukup hanya mengucap 2 kalimah syahadah, solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Mekah tetapi hubungan kita sesama manusia dikesampingkan.

Kalaulah ada silap dan salah, perbezaan pendapat bukanlah bermakna ia satu kebencian, tetapi saya percaya "perbezaan pendapat itu adalah rakan karib terbaik" lebih-lebih lagi pendapat yang diberi itu adalah membina bukan meruntuhkan antara satu sama lain.

Imam as-Syafie menunjukkan sikap keterbukaannya apabila beliau mengatakan;

رأيي صواب يحتمل الخطأ ورأي غيري خطأ يحتمل الصواب
Maksudnya bagiku pandanganku adalah tepat barangkali ada kesilapan, dan pandangan orang lain adalah salah tetapi barangkali ada ketepatan padanya.

Saya juga berpendapat tidak salah kita berbeza pendapat, yang jadi masalahnya apabila kita mendakwa diri kita paling Islam, paling banyak beri kebajikan, paling lantang perjuangkan kebenaran tetapi semata-mata propaganda. Hal ini amatlah dikesalkan lebih-labih lagi di bumi Kinanah ini.

Saya berpandangan bahawa persatuan yang berbeza label antara ISMA, ABIM, Kelab UMNO, PERUBATAN dan lain-lain bukanlah untuk kita bergasak sesama sendiri, tetapi saling melengkapi "Takaamul" ke arah kecemerlangan pelajar di dalam akademik dan kemahiran Insaniah. Bebaskanlah, merdekakanlah dari belenggu mereka yang bertopengkan kebajikan dan kebebasan Mahasiswa/wi selama ini.

Firman Allah SWT;
 فإذا الذي بينك وبينه عداوة كأنه ولي حميم
Maksudnya sekira ada berlaku permusuhan/kebencian di antara kamu dan dia ( maka buangkanlah permusuhan itu dan) jadilah teman yang paling rapat.

Akhir sekali, saya ingin menyusun 10 jari memohon kemaafan sekali lagi, "buang yang keruh, ambil yang jernih" . "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh." Jadikanlah bumi Mesir ini sebagai tempat perpaduan bangsa Melayu/Islam, tempat membina kecemerlangan dan sebagai contoh yang berguna kepada masyarakat Melayu di dunia ini.

Sekian Salam Aidilfitri dan Kemerdekaan kali ke-54;


"1Malaysia, Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera"


Khairi Jalalluddin






Ahad, 28 Ogos 2011

Imtihan Qabul (IQ); Peperiksaan Bahasa Arab di al-Azhar

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan,

Saya, Rektor Universiti al-Azhar, TYT Duta, Pengarah EME
Berkerusi roda: Penasihat Syeikh al-Azhar Imam al-Akbar

Imtihan Qabul atau IQ adalah merupakan mekanisme untuk mengukur kemampuan pelajar lepasan STAM untuk menjejakkan kaki ke semua kuliah Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Universiti al-Azhar (kecuali Kuliah Ulum Islamiah yang menggunakan sijil SPM).

Perlaksanaannya telah bermula pada sesi 2009/2010. Pada sesi 2010/2011 telah menyaksikan berita gempar apabila lebih 50% pelajar Malaysia yang menduduki peperiksaan telah gagal dalam peperiksaan tersebut. Hal ini menuntut supaya usaha dilakukan antaranya mengurangkan markah minimun kepada 40%, mengadakan Peperiksaan IQ di Malaysia, memansuhkan peperiksaan tersebut dan sebagainya. Namun cadangan yang dianggap rasional ialah peperiksaan di Malaysia untuk mengurangkan kos perbelanjaan sara hidup selama setahun jika berlaku kegagalan.

Peperiksaan IQ di Malaysia telah menjadi perbualan hangat apabila terdapat di antara mereka yang mendakwa ia adalah untuk menyekat orang belajar agama di Mesir khususnya di kalangan mereka yang berfikiran sempit. Pandangan saya sebenarnya IQ adalah untuk persiapan kemahiran berbahasa ( Mendengar, Membaca, Bertutur dan Menulis) yang merupakan alat untuk memahami pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik kuliah.  Ia akhirnya dapat mengelakkan pelajar Malaysia tercicir dan gagal setiap tahun, terdapat pelajar yang gagal berturut di tahun 4, namun ada di antara mereka yang tersalah tafsir dan menganggap kegagalan itu adalah "rezeki". Mungkin ada makna tersirat disebaliknya. Wallahu'alam

Berbalik kepada IQ, baru-baru ini saya mendapat panggilan telefon daripada pelbagai pihak, terdapat juga sms yang menanyakan bilakah IQ akan dilaksanakan. Saya memaklumkan ia akan dilaksanakan pada tahun hadapan (2012) di Malaysia. Hal ini disebabkan masa yang suntuk untuk dilaksanakan di Malaysia dan sebahagian pelajar ada yang telah menempah tiket ke Mesir. Tarikh peperiksaan di Kaherah Mesir yang dimaklumkan oleh pihak Universiti al-Azhar kepada saya ialah 15 September dan 1 Oktober 2011 (Jika tiada perubahan). Pelajar akan dibahagikan kepada dua kumpulan mengikut negeri sebagaimana tahun lepas.

Ada juga yang menanyakan bahawa terdapat syarikat atau agensi luar yang ingin melaksanakan IQ di Malaysia. Hal ini telah dijelaskan dalam website rasmi EME iaitu seperti berikut;

Urgent Note on IQ Test

EME has notified MoHE on Sofa N9’s effort to take over the Imtihan Qabul (IQ / University al-Azhar Admission Test) arrangement, as scheduled to be on the 6th September 2011, instead of KPT's postponement to year 2012. MoHE/KPT does not appoint any official agent for IQ Test in Malaysia.
Respective students and sponsoring bodies may however opt to choose either to register for the IQ at Sofa (bearing in mind that those who fail the IQ will consequently have to follow the one year Arabic course at their Language Centre before the resit test) or directly take it at al-Azhar university as normal practice. KPT has nothing to do with Sofa's arrangement and the situation remains as earlier message to al-Azhar for IQ implementation in Malaysia next year.
 





Jumaat, 26 Ogos 2011

Program G to G dan MoU untuk Fakulti Perubatan di Universiti di Mesir

Assalamualaikum  kepada para pembaca yang budiman,


Prof Dr. Abdel Hakim A. Khalil, Naib Presiden Universiti Tanta
(Akademik & Hal Ehwal Pelajar)

Ada dua program yang sedang berjalan di Universiti di Mesir di mana ramai pelajar baru dan ibu bapa kurang jelas. Pertama program G to G iaitu program yang telah dimetrai antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Mesir . Kedua program MoU adalah perjanjian yang dibuat antara Kerajaan Malaysia dengan Universiti terbabit. Pada tahun 2006 program MoU telah membuka jalan kepada kemasukan ramai pelajar Malayu ke Mesir. Ini berikutan kouta MoU boleh menjangkau hingga 2000 kerusi, kerana pengambilannya amat mudah dan tidak mementingkan syarat minimum KPT Malaysia (sebab bayar mahal dari G to G). Justeru, terdapat beberapa agensi luar telah mengambil kesempatan dari hal tersebut.

Perbezaan antara Program G to G dan MOU

1. Kouta
1.1 Kouta yang diperuntukkan untuk program MoU pada tahun lepas ialah 1400 tempat, tahun ini telah diberi hingga 2000 tempat merujuk kepada tawaran Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa (Idaratul Wafidin) KPT Mesir.
1.2 Kouta bagi pelajar G to G terhad sebanyak 100 tempat sahaja.

2.Yuran
2.1 Yuran Pengajian bagi program MoU adalah lebih mahal harganya kesemuanya USD 48,000.00 = RM 152, 000.00 sepanjang 6 tahun. Mulai sesi 2010/2011 yuran diseragamkan antara semua Fakulti samada Perubatan, Pergigian atau Farmasi iaitu USD 8,000 setahun.
2.2 Manakala yuran bagi program G to G pula ialah 10,500.00 Pound Sterling = RM 75,000.00sepanjang pengajian.

3. Bahasa Pengantar
3.1 Bahasa yang digunakan untuk program MoU dalam bahasa Inggeris
3.2 Adapun bagi program G to G dalam bahasa Arab pasar*

4. Kelas
4.1 Kelas bagi program MoU adalah kelas khas maksudnya semuanya orang Malaysia dalam satu kelas.
4.2 Sedangkan kelas bagi program G to G adalah bercampur dengan orang Arab*.

* Walau bagaimanapun buku dan soalan peperiksaan, jawapan dalam bahasa Inggeris.

Permasalahan Program G to G

Pengalaman mengurus kemasukan pelajar sesi 2010/2011 ke Universiti di Mesir amat mencabar kerana berurusan dengan orang arab tidak semudah yang disangkakan. Budaya IBM (Insya Allah, Bukrah (esok) dan Ma'alish (tak apalah) kadang-kadang menyebabkan kesabaran kita diuji, ditambah lagi dengan duit kopi. Gejala ini masih menular walaupun negara telah revolusi. Betullah revolusi dalam bentuk lahiriah boleh dicapai dengan beberapa minggu, tetapi revolusi mental memerlukan masa yang agak lama. Itu pun jika pemimpin yang dipilih mampu melakukan perubahan.(Walaubagaimanapun... Alhamdulillah beribu pelajar perubatan, Pengajian Islam, Maahad Qiraat dan Kuliah Ulum Islamiah dapat memasuki Universiti hasil usaha pihak JPMK(EME sekarang ini))

Permasalaan G to G berlainan dengan MoU, kemasukannya yang agak ketat (sebolehnya semua subjek SPM dapat A+), malah lebih rigid dari syarat KPT Malaysia, mungkin kerana yuran murah dan 5 orang setiap tahun akan dapat biasiswa Mesir. Sesi 2010/2011 menyaksikan tidak sampai 20 orang dapat memasuki ke program tersebut. Permohonan pelajar G to G telah ditukarkan kepada program MoU akibat tidak mencapai tahap kelayakan KPT Mesir, hal ini menyebabkan urusan fail bertambah lambat dihantar di peringkat KPT Mesir ke Universiti ditambah lagi terdapat pelajar yang lewat membayar "qidam muahhil" iaitu denda SPM lewat tahun . Untuk makluman hanya 3 tahun sahaja valid SPM dari tarikh pendaftaran kemasukan di Universiti Azhar dan di Universiti di bawah KPT Mesir pula masih ada kelonggaran tetapi setiap tahun lewat didenda LE 500.00, jika 5 tahun ermmm... makin banyaklah yang akan dibayar.

Isu 2 orang pelajar di Tanta

Berdasarkan beberapa masalah yang berlaku di atas, terdapat pelajar yang sepatutnya berada di kelas G to G telah belajar ke kelas MOU. Hal ini menyebabkan pihak pentadbiran Universiti tidak berpuas hati kerana "bayar murah tetapi hendak belajar di kelas Mahal" sebagaimana yang berlaku di Cairo University. Setelah hubungan melalui telefon dibuat dan pertemuan semuka, jelas pihak pentadbiran tidak membenarkan pelajar yang berkenaan mengambil peperiksaan sebagai hukuman kerana meninggalkan kelas yang sepatutnya mereka hadir (Kehadiran 75%). Pihak kami juga mempertikaikan seorang pelajar lagi yang terlepas masuk peperiksaan (Dekan Perubatan Universiti tersebut dipersalahkan oleh Pentadbiran), rupanya setelah diselidiki pelajar tersebut telah mendapat biasiswa kerajaan Mesir. Ini yang menyebabkan ada berbezaan dengan seorang lagi. Pihak Kerajaan Mesir tidak mahu berlaku kerugian bagi pelajar tajaannya. Namun apa yang dibuat oleh Universiti tersebut tidak ada keadilan pada pandangan peribadi saya, yang akhirnya menyebab pelajar yang "tidak dapat biasiswa" itu akan dikira masuk ke sesi baru pada bulan 9 ini. Beginilah urusan di Mesir dan gelagat pelajar di Mesir... sebelum saya hadir dan juga bagi mereka yang akan mengantikan saya nanti.

Di bawah ini kenyaataan rasmi pihak EME berkaitan hal tersebut.

Pelajar Perubatan (G To G) Memasuki Ke Kelas (MoU) : Amaran Keras

Pihak EME telah dimaklumkan oleh pentadbiran universiti tentang amalan pelajar (G to G) yang berkenaan memasuki kelas perubatan (MoU) ; seperti kes Mohamad Aliff bin Sofian Gan dan Iramaya bt. Abdul Hamid dari Universiti Tanta. Perbuatan ini adalah menyalahi peraturan universiti dan menyebabkan mereka dihalang memasuki peperiksaan kerana kehadiran di kelas yang sebenar tidak mencapai 75%. Justeru, pihak EME memberi amaran keras kepada pelajar terbabit dan yang akan datang (sesi 2011/2012) supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut.Sekian dimaklumkan.


Penyelesaian  masalah G to G sesi 2011/2012



Melihat kepada isu pelajar G to G sesi 2010/2011, strategi baru diperkenalkan.

1. Memanggil semua pegawai HEP Negeri untuk melihat dan menyemak pelajar perubatan apakah mereka hendak mengikuti G to G atau MoU khususnya pelajar yang datang persendirian. (diminta untuk menelefon pelajar terbabit  mengikut negeri masing-masing di Malaysia)
2. Memastikan mereka yang mengikut syarat KPT Mesir (untuk G to G) sahaja yang akan dihantar ke Idaratul Wafidin (Pejabat Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa), KPT Mesir dan tidak melayan pelajar yang hendak ke G to G yang syaratnya tidak menepati syarat KPT Mesir.

Sekian dimaklumkan.

"Sedia membantu dan berkhidmat pada bila masa dan ketika"

Khairi Jalalluddin
Atase Pendidikan EME

Isnin, 15 Ogos 2011

Menyelesaikan Masalah Student di Salah Sebuah Universiti di Kaherah


                                Dekan Fakulti Pergigian Universiti Ain Shams


Salam Ukhuwah, hari ini saya merasa kepuasan bilamana dapat menyelesaikan masalah pelajar di Universiti di Kaherah. Sejak dari Malaysia memang jiwa saya begitu, selagi ada masalah, selagi itu akan cuba mendekatinya supaya ia dapat diselesaikan sebaik mungkin. Hal ini kerana masalah akan mengejar kita bila kita lari darinya. Samada lambat atau cepat ia pasti akan datang kembali.

Baru-baru ini seorang pelajar telah mengalami masalah berkaitan dengan pembayaran yuran. Beliau diminta untuk membayar yuran di mana beliau tidak hadir ke fakulti tersebut tahun itu akibat pelbagai masalah kewangan dan keluarga. Justeru, saya bersama dengan sahabat saya Ustaz Sulaiman Zaki, pembantu akademik telah berjumpa dengan Dekan Fakulti selepas Revolusi Mesir sekitar pertengahan bulan April. Alhamdulillah pertemuan dan perbincangan saya dengan Dekan itu sebenarnya telah menyebabkan pelajar tersebut dikecualikan bayaran. Mungkin juga kerana saya suka senyum :). Akhirnya pada hari ini 15 Ogos terbukti hal tersebut berlaku.Walaupun saya dapati ada pihak cuba menangguk di air keruh. Hari ini mereka terpaksa tutup mulut dan malu sendiri dengan kekeliruan yang mereka ciptakan sendiri. Moga-moga usaha kita hanyalah kerana Allah SWT bukan kerana manusia. Sekian selamat berpuasa. Ramadhan Karim


Sabtu, 6 Ogos 2011

Warkah Untuk Pelajar Yang Terlibat Perhimpunan Haram Bersih


                                   Mufti Mesir menolak demonstrasi jalanan




Assalamualaikum warahmatullhi wa barakatuh.

Mahasiswa/wi yang saya hormati lagi sayangi,

Sayang anak tangan-tangankan...pepatah orang tua dulu-dulu cukup bermakna buat kita semua.

1. Semenjak perhimpunan haram bersih 2.0 yang diketuai oleh Ambiga (seorang pejuang yang menentang hukum Murtad), kita di Mesir juga merasai tempiasnya. Bumi para Nabi ini dicemari oleh mereka yang berselindung disebalik nama kebebasan dan kebajikan Mahasiswa dengan mengadakan perhimpunan yang menyokong tindakan Ambiga, akhirnya menyebabkan penganjurnya dibuang daripada Darul Ifta'  oleh Mufti Mesir sendiri. Dr Ali Jum'ah , Mufti Mesir merupakan ulama yang berintegriti tinggi dan mustahil beliau tergopoh-gapah dalam membuat keputusan. Fatwa beliau banyak dikeluarkan, malah hukuman bunuh juga dirujuk kepada beliau.
2. Sebelum tindakan kepada penganjur tersebut, pihak kami telah menghubungi dan memanggil pelajar yang berkenaan. Beberapa kali panggil telefon telah dibuat untuk menasihati supaya membatalkan hasrat mengumpul pelajar, khususnya di ketika pelajar sedang menduduki peperiksaaan akhir tahun (Jangan dialih perhatian pelajar!). Malangnya beliau tidak mengendahkan dan tidak bertemu dengan TYT Duta tetapi hanya berurusan melalui telefon sebagaimana yang difahamkan.
3. Saya juga kerap kali memberi tahu samada secara lisan dan tulisan (Pekeliling KBMK), bahawa jangan menyertai perhimpunan tersebut dan memaklumkan bahawa tindakan akan diambil kepada mereka yang terlibat. Walau bagaimanapun nasihat saya umpama mencurah di daun keladi. Akhirnya nasi telah menjadi bubur. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.
4. Tindakan Mufti Mesir membuang "seorang" pelajar ini hakikatnya adalah untuk memberi pengajaran kepada mereka yang lain, supaya tidak melakukan lagi pada masa akan datang. Sebarang perhimpunan sewajarnya mendapat persetujuan dan pandangan daripada pihak Kedutaan yang merupakan "ayah" kepada mahasiswa/wi semua. Jangan sesekali membelakangi kami. Apa yang kami buat hanyalah untuk "kepentingan ramai" bukan untuk kepentingan kelompok tertentu. Tujuan kami hanyalah satu iaitu untuk mengembalikan fokus pelajar kepada ilmu yang ada di bumi Mesir.

Carilah dan galilah ilmu semaksimum mungkin, kelak anda akan berjaya, kejayaan anda adalah kejayaan kami jua!

Dari;
Khairi Jalalluddin
Atase Pendidikan EME






Bermula Kisahku di Mesir

Masjid Amru Ibn al-'As

Piramid

Assalamualikum,

Sebenarnya kesibukanku dalam menguruskan pelajar Malaysia di Mesir membataskan masaku untuk mencoret apa yang berlaku di bumi Mesir. Nota harianku sebelum ini telah dicatatkan di halaman sosial facebook yang bernama Khairi Jalalluddin. Penggunaan FB yang mudah ditambah dengan kewujudan BlackBerry mempercepatkan maklumat disampaikan. Kini akaun tersebut telah dicerobohi oleh mereka yang iri hati dan dengki dengan idealisme perjuanganku. Facebook yang terkini ialah En Khairi Jalalluddin. Ia hanya terbatas kepada mereka yang dikenali sahaja.

Rakan-rakan di Malaysia meminta supaya mencoretkan apa yang berlaku di blog supaya memudahkan mereka mengikuti pengalamanku di bumi yang penuh dengan cabaran dan tribulasi. Insya Allah bermula hari ini blog ini akan dimuatkan dengan pengalamanku. Semoga banyak manfaat yang boleh didapati dari tarian penaku. Sekian salam ukhuwah dariku sekeluarga.